Ads Top

Wabak Fobia-Komitmen Terhadap Perkahwinan Pada Era Digital

Beberapa hari yang lepas saya mengadakan sebuah pertemuan dengan sahabat saya untuk mengadakan sesi diskusi buku yang baru kami asaskan. Awal perbualan mukaddimah, saya terdetik untuk lebih tahu mengenai latar bidang kerjaya sahabat saya itu.

Beliau bercerita dengan saya serba sedikit pengetahuan am mengenai bidang kerja yang beliau terlibat iaitu mengendalikan sebuah mesin penapis minyak untuk kegunaan sebuah syarikat pasaraya terkenal AEON sebagai satu langkah penjimatan. 

Dalam perbualan itu beliau pun memulakan asas titik kepada tajuk yang akan saya rincikan lebih lanjut iaitu tentang jurang yang semakin melebar dikalangan generasi Milennial.

Saya tertarik dengan kegusaran sahabat saya itu, lalu saya bertanya lagi lebih spesifik tentang apa yang bermain di fikirannya. Beliau pun menjelaskan bahawa apa yang beliau nampak apa yang sedang berlaku dan bakal berlaku lebih merisaukan ialah soal komitmen generasi kini yang semakin longgar. 

Beliau sambung lagi dengan beberapa contoh sekitar awal tahun 2000 dahulu, kalau sesiapa yang lahir dalam generasi Y (1975-2000) hendak menonton sebuah anime Dragon Ball, kita perlu bangun sejam sebelum rancangan anime itu bersiaran langsung sebab kita kena solat subuh, mandi dan sarapan dahulu seperti yang emak kita didik. Kalau terlepas satu episod, tiada ulangan, terpaksa tanya semula pada kawan-kawan sekolah kalau ada sesiapa yang sempat mengikuti.

Berbeza sekali dengan generasi kanak-kanak hari ini, untuk menonton kartun beratus siri Didi & Friends tidak perlu memakan masa yang lama macam kita habiskan Dragon Ball dahulu. Sebab kita sudah ada aplikasi stream seperti Youtube, halaman streaming begini telah sedikit sebanyak mengubah sikap anak-anak hari ini lalu membentuk seseorang karakter yang tak tahu sabar, tak memahami erti menunggu dan mematuhi masa dengan baik.

Jadi Apa Solusinya?

Idea penulis bukan untuk mengajak pembaca semua anti kepada segala teknologi tetapi untuk kita memuhasabah diri sejauh itu akan berlaku kejurangan antara generasi Y dan Z kini dan akan datang.

Sempat juga saya bertanya kembali kepada sahabat saya setelah beliau bersungguh-sungguh menaburkan pelbagai contoh untuk menegaskan kepercayaan beliau itu, saya segera bertanya “Jadi apakah solusinya? Adakah teknologi musuh kita?” jawab beliau, itu hanya jawapan simplistik dan kurang berhemah.

Beliau menarik nafas panjang dan cuba membetulkan semula jawapan supaya lebih kemas, praktikal dan berpijak dengan realiti, beliau menyambung jawapan dengan berkata,

“Solusinya ialah kita renung kembali fungsi toma’ninah dalam rukun solat, fungsi menyambung ukhuwah, fungsi hadis-hadis berkaitan dengan isti’jal (ketergesaan) dalam berdoa dan seumpamanya.”

Ya! Jawapannya kembali kepada ajaran-ajaran islam yang asas seperti itu namun untuk merealisasikannya kita tidak boleh bermudah-mudah dengan sekadar melampiaskan kata-kata berbasa basi seperti “kembalilah kepada Islam”. Bunyinya benar, tapi bermudah-mudah dan kurang memerhati akan efektifnya jawapan tersebut kepada persoalan yang berserabut pada hari ini.

Allah SWT telah berfirman :

خُلِقَ الْإِنْسَانُ مِنْ عَجَلٍ ۚ سَأُرِيكُمْ آيَاتِي فَلَا تَسْتَعْجِلُونِ 

“Manusia telah dijadikan (bertabiat) tergesa-gesa. Kelak akan Aku perIihatkan kepada kalian tanda-tanda (azabKu), Oleh sebab itu, janganlah kalian minta kepadaKu untuk mendatangkannya dengan segera!” (Surah Al-Anbiya’ 21:37)

وَكَانَ الْإِنْسَانُ عَجُولًا 

“Dan manusia bersifat tergesa-gesa.” (Surah Al-Isra’ 17:11)


Nabi Muhammad SAW pun ada bersabda:

لَا يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ, مَالَمْ يَسْتَعْجِلْ, قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الِاسْتِعْجَالُ؟ قَالَ يَقُولُ: قَدْ دَعَوْتُ وَقَدْ دَعَوْتُ فَلَمْ أَرَ يَسْتَجِيبُ لِي فَيَسْتَحْسِرُ عِنْدَ ذَلِكَ وَيَدَعُ الدُّعَاءَ 

“Doa seorang hamba sentiasa diterima selagi mana dia tidak memohon suatu dosa, memutuskan silaturrahim dan tidak tergesa-gesa.” Rasulullah SAW ditanya, “Apakah makna tergesa-gesa (dalam berdoa)?” Beliau SAW menjawab, “Orang yang berdoa tersebut mengatakan, ‘Saya telah berdoa. Dan saya benar-benar telah berdoa, tetapi Allah Azza wa Jalla tidak mengabulkan doaku.’ Kemudian dia berhenti berdoa dan meninggalkannya” (HR. Muslim, 2735/92)

Dari Ibn Abbas, beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda pada Asyaj ‘Abdul Qois :

إن فيك لخصلتين يحبهما الله : الحلم والأناة

“Sesungguhnya dalam dirimu terdapat dua sifat yang dicintai oleh Allah, iaitu ketenangan dan tidak tergesa-gesa.”(Diriwayatkan oleh Bukhari dalam Adabul Mufrod, no. 586 – Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadis ini sahih)

Dalil daripada al-Quran dan Sunnah di atas jelas menunjukkan yang manusia itu secara fitrahnya cenderung kepada sikap ketergesaan, kegopohan dan mahu segalanya cepat untuk mendapatkan sesuatu hasil.

Kelajuan Dan Kemajuan Yang Membimbangkan

Maka kebimbangan yang berlaku pada masa kini ialah bila mana enjin carian Artificial Intelligence (Kecerdasan Buatan) semakin menggalakkan tingkah laku gelojoh dan tidak sabar dikalangan manusia.

Kita tidak menafikan yang kemajuan aplikasi teknologi yang dibangunkan oleh para jurutera perisian (software engineer) telah memberi sumbangan besar dalam memberdaya ketamadunan manusia serta mempercepatkan capaian maklumat.

Sekalipun pencapaian maklumat cuba disegerakan selaju boleh, ia tetap terdedah kepada paradoks yang kita semua gusarkan seperti kurangnya nilai-nilai “al-Tabayyun” (selidik/semak/tapis/kaji) malah lebih memberanakkan sikap sadistic seperti ‘kaki tibaiyun’ dan salah faham yang menebal. 

Saya pernah menonton sebuah dokumentari di Netflix yang bertajuk The Social Dilemma. Disana penerbit rancangan telah mengumpulkan beberapa orang penting yang mengasaskan aplikasi sosial media seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya.

Mereka ini adalah pereka-pereka halaman tersebut dari berbagai cabang bidang seperti pereka grafik, pereka enjin carian, pereka butang Likes dan berbagai lagi yang telah pencen pada hari ini.

Sebelum semua memulakan perbahasan dan pengalaman mengenai sisi gelap media sosial, mereka sendiri ada mengatakan yang mereka pun kadangkala leka dan terperangkap ke dalam masalah ketagihan dan dimanipulasi dengan fungsi yang mereka sendiri cipta. Apatah lagi orang biasa?

Yang mencetuskan Arab Springs, demonstrasi Hong Kong, dan perbalahan besar-besaran hingga menumpahkan darah adalah aktivis yang aktif di dalam laman sosial media berkenaan.

Informasi sangat laju dan mudah dicapai namun penapisan dalam konteks yang tepat tidak mampu dilakukan oleh enjin carian yang mereka cipta. Kerana keputusan adalah bertitik tolak pada kemahiran manusia yang tiada pada robot.

Namun begitu, apabila maklumat terlalu berlambak sehingga membanjiri keseluruhan hidup kita, ini akan mempengaruhi tingkah laku dan kepercayaan kita juga. Seorang ahli psikologis turut dijemput dalam temu bual rancangan ini antaranya Dr Jonathan Hath, beliau turut bimbang kepada masalah manipulasi dan ketagihan serta kegopohan masyarakat lagi pada masa akan datang.

Berbalik pada tajuk tadi, kegilaan kepada masalah yang dijemput dan disemarakkan oleh aplikasi media sosial ini sedikit sebanyak bakal memberanakkan lagi sebuah kumpulan manusia yang takut kepada komitmen perhubungan sesama manusia.

Kenapa takut? Sebab kegopohan hendak mendapat nikmat perkahwinan seperti sebuah frasa yang dipopularkan “Goal Relationships” walhal di dalam perkahwinan tiada makna semua itu bak kata Dr Jordan Peterson, sebab makna perkahwinan yang paling besar ialah mencari sesuatu makna secara bersama-sama.

Bagi kita umat islam, makna bagi kita ialah keredaan Allah SWT dengan memperjuangkan dakwah, pendidikan, dan sebagainya.

Punca Orang Yang Takutkan Komitmen 

Berdasarkan kajian klinikal yang dikemukakan oleh sebuah halaman sesawang Psych Central seseorang yang ada tingkah laku fobia kepada komitmen berasaskan kepada beberapa punca :

  1. Takut bahawa hubungan yang sedang dimetrai akan kecundang tanpa sebarang tanda.
  2. Takut bahawa dia berada di dalam perhubungan yang salah.
  3. Takut bahawa dia berada dalam hubungan yang tidak sihat seperti penderaan, kecurangan dan diabaikan.
  4. Mempunyai isu kepercayaan kerana trauma dengan hubungan yang lepas.
  5. Trauma atau penderaan zaman kanak-kanak.
  6. Tidak dipenuhi dengan keperluan emosi sewaktu kanak-kanak (diabaikan).
  7. Dibesarkan dalam keluarga yang bermasalah dan konflik.

Selagi mana punca kepada masalah mereka ini tidak diuruskan dengan baik seperti mendapatkan khidmat kaunseling, mereka akan mempunyai gaya tingkah laku yang sama sahaja dalam apa-apa perhubungan sekalipun.

Maka menurut Dr John Grohol (Pengasas Psych Central) orang yang memiliki punca-punca seperti ini perlu mendapatkan khidmat kaunselor atau psikoterapi yang berkemahiran dalam isu-isu kecelaruan kognitif.

Pun begitu, bukanlah kerja kita yang baru berkenalan dengan seseorang yang ada isu fobia-komitmen untuk membantu si dia mendapatkan kaunseling. Butiran ini sekadar perkongsian jika kita mahu mengenali orang yang ada simptom takutkan komitmen dalam perhubungan, mungkin kita boleh terus mencungkil dari punca-punca seperti zaman kanak-kanaknya.

Tanda Kebiasaan Orang Yang Takutkan Komitmen 

Menurut penulis perhubungan Stephen Hussey di halaman sesawangnya Get The Guy, ada 10 senarai yang menunjukkan seseorang itu memiliki tanda bahawa si dia takutkan komitmen, tetapi saya hanya memetik beberapa point yang berkaitan dengan adat ketimuran kita kebiasaannya :

  1. Si dia tidak berminat untuk bercakap soal masa hadapan berkenaan dengan hubungan ini.
  2. Si dia acapkali mengungkapkan bahawa dia sekadar untuk berseronok.
  3. Bertemu dengan ahli keluarga anda amat menakutkan dan menggelisahkan si dia.
  4. Kadangkala dia menghilang begitu sahaja dan kadangkala muncul tiba-tiba.
  5. Dia memandang sinis dengan kawan yang sedang ada hubungan yang serius.

Perhubungan Mesti Ada Nilai Tanggungjawab

Dato’ Dr Mohammad Zulkifli al-Bakri pernah menulis sebuah artikel bertajuk “Tanggungjawab Sebuah Perkahwinan” yang mana kita sebagai orang Islam mesti berpegang kepada falsafah ini sampai bila-bila.

Apabila kita hendak memutuskan yang kita mahukan seseorang pasangan masuk ke dalam hidup kita, kita mesti pasakkan yang kita akan bertanggungjawab dari segala aspek seperti nafkah, pendidikan, kasih sayang dan seumpamanya.

Kerana itulah Ahl Sunnah wal Jamaah berbeza dengan mazhab Syiah seperti Nikah Mut’ah (kontrak) walaupun secara asalnya dalil berkenaan pernah wujud dan amalan tersebut sememangnya ada ketika zaman awal-awal Nabi Muhammad SAW bersama para sahabat, namun pensyariatan tersebut telah di mansuhkan oleh Allah SWT melalui dalil yang lain. Hal ini kita ada belajar di dalam subjek Ulum al-Quran dalam bab Nasikh wal Mansukh.

Sebab apa Nikah Mut’ah dihilangkan dari syariat? Sebab pernikahan secara kontrak bukanlah tujuan dan matlamat yang paling besar dalam ajaran islam. Tujuan perkahwinan ialah memegang erat tanggungjawab, kerana isteri bukan seperti barangan lain, Isteri adalah aset yang akan membawa kita semua ke Syurga.

Justeru nilai muamalah dalam perkahwinan dan barang tidak sama sampai bila-bila. Nabi SAW ada bersabda :

Diriwayatkan dari Ibnu Umar R.anhu bahawa dia berkata :

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ فَالْإِمَامُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ زَوْجِهَا وَهِيَ مَسْئُولَةٌ وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ

“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Seorang pemerintah adalah pemimpin, dan ia bertanggung jawab atas rakyat yang dipimpinnya. Seorang lelaki  adalah pemimpin di dalam keluarganya, dan ia bertanggung jawab atas keluarga yang dipimpinnya. Seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya, dan ia bertanggung jawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pelayan adalah pemimpin terhadap harta milik tuannya dan ia bertanggung jawab atas apa yang dipimpinnya. Masing-masing kalian adalah pemimpin, dan akan bertanggung jawab atas orang yang dipimpinnya.” (Muttafaq ‘alaih)

Rujukan :

  1. What is Commitment Phobia & Relationship Anxiety?
  2. 10 Signs He Has A Commitment Phobia
  3. AL-KAFI #1064: TANGGUNGJAWAB SEBUAH PERKAHWINAN
  4. Nasehat Berharga, Janganlah Tergesa-gesa

The post Wabak Fobia-Komitmen Terhadap Perkahwinan Pada Era Digital first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.