3 Tip Kekal Istiqamah Walau Sedang Dilanda Musibah
Allah tidak akan membiarkan hambaNya terkapai-kapai dalam kehidupan. Walaupun anda melakukan dosa yang banyak, namun apabila anda memilih untuk kembali kepada Allah, nescaya Allah akan menerima taubat anda.
Salah satu tandanya ialah apabila Allah menimpakan anda ujian dan nikmat sedikit demi sedikit.
Ia adalah untuk memberi kekuatan bagi menguji iman anda dan dalam masa yang sama untuk menunjukkan bahawa Allah tetap mengingati anda dengan menghantarkan nikmat tersebut.
Namun, jarang di antara manusia yang menyedari perkara tersebut. Kadang-kadang, kebanyakan dari kita hanya melihat kepada ujian yang ada sedangkan nikmat Allah itu lebih luas dan besar dibandingkan dengan ujian tersebut.
Itulah ujian. Allah akan sentiasa menimpakan ujian buat hambaNya kerana ia adalah salah satu tanda bahawa kita mampu menerimanya.
Namun, kadang-kadang ujian tersebut datang apabila kita baru berjinak-jinak untuk mendekati Allah.
Jadi, bagaimana untuk kekal istiqamah dalam ibadah dan perkara kebaikan yang lain?
#1 – Anggap Bahawa Ujian Itu Jambatan KepadaNya
Mafhum: “Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka; secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat.” (Surah Ar-Rad, 13:22)
Ujian merupakan salah satu perkara yang boleh mendekatkan kita kepadaNya. Kuncinya adalah percaya dan sabar dengan apa yang diberikan.
Allah menguji kerana Allah ingin melihat pergantungan yang kita letakkan kepada Allah.
Waktu inilah iman dalam diri kita perlu berfungsi untuk mencegah daripada tersasar ke jalan yang tidak diingini.
#2 – Elakkan Bersendiri
Bersendirian ini berbahaya kerana pada waktu ini fikiran kita percaya bahawa tiada siapa yang melihat sedangkan hati dan iman kita percaya bahawa Allah itu Maha Melihat.
Apabila dilanda musibah, fikiran dan perasaan kita bercampur baur kerana emosi pada waktu itu lebih berfokus kepada masalah.
Jadi, adalah lebih baik untuk mengelakkan diri daripada duduk bersendirian. Cari kawan atau orang yang diyakini untuk membantu anda.
Maksud: “Dari Tsauban, Nabi SAW berkata: “Sungguh, aku mengetahui suatu kaum dari umatku datang pada hari kiamat dengan banyak kebaikan seperti Gunung Tihamah. Namun, Allah menjadikan kebaikan tersebut menjadi debu yang bertebaran.” Tsauban kemudian berkata: “Wahai Rasulullah, cuba sebutkan sifat mereka pada kami supaya kami tidak menjadi seperti mereka sedangkan kami tidak mengetahuinya.”
Baginda SAW bersabda: “Adapun mereka adalah saudara kalian. Kulit mereka sama dengan kulit kalian. Mereka menghidupkan malam (dengan ibadah) seperti kalian. Akan tetapi, mereka adalah kaum yang jika bersendirian, mereka akan merobek tirai untuk melakukan maksiat kepada Allah.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 4245)
#3 – Yakin Dengan Janji Allah
Yakin dan bertawakkal hnaya kepada Allah merupakan salah satu perkara yang perlu diletakkan dalam hati.
Dalam masa kita ditimpa musibah, kita meletakkan pergantungan dan bertawakkal kepadaNya, jadi apabila kita sedang dilimpahi rahmat dan nikmat yang tak terhingga, pasti keimanan kepadaNya sudah kukuh.
Mafhum: “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan).” (Surah At-Talaq, 65:2)
Kesimpulan
Ujian dan musibah itu adalah asam garam yang sebahagian daripada kehidupan. Ada masanya hari kita dipenuhi dengan warna-warna menarik dan cerah, ada kalanya ia dihiasi dengan warna yang kelam.
Namun, itu semua adalah hiasan yang mewarnai kehidupan kita. Jadi, bergantung kepada kita untuk menerimanya dengan cara yang terbaik atau sebaliknya.
Wallahu a’alam.
The post 3 Tip Kekal Istiqamah Walau Sedang Dilanda Musibah first appeared on Tazkirah.
No comments: