Ads Top

Kawal Hidup Anda Dengan Mengawal Diri Terlebih Dahulu

Kita sering menyalahkan banyak perkara apabila berlaku hal-hal yang tidak kita sukai dalam hidup.

“Dia yang buat saya jadi macam ni”

“Saya kena marah sebab orang lain yang buat salah”

“Saya tak diberi peluang”

Lama-kelamaan anda akan penat kerana selalu merasakan bahawa hidup anda tidak terkawal, tidak diperlakukan dengan adil, dan anda sering sahaja menjadi mangsa keadaaan. Apa kata cuba 4 perkara di bawah untuk mengawal hidup anda dengan lebih baik:

#1- Minda Yang Membangun

Kata Carol Dweck, jika anda tidak mencipta masalah baru untuk dihadapi, itu tandanya anda tidak melakukan tindakan yang secukupnya.

Orang yang mempunyai cara berfikir yang tetap atau fixed mindset akan sentiasa rasa ingin belajar daripada pelbagai perkara di sekelilingnya seperti mencuba perkara baru, menyelesaikan masalah, mencari maklumat yang tidak pernah diketahui dan sebagainya.

Ia secara tidak langsung akan memberi kesan kepada orang di sekeliling kerana anda sentiasa membawa aura yang positif.

#2- Pilih Perkataan Yang Baik

Kita sering dinasihatkan supaya bercakap baik dengan orang di sekeliling, namun kita selalu saja lupa untuk mengucapkan kata-kata yang baik kepada diri sendiri.

Elakkan daripada mengutuk diri sendiri apabila anda melakukan kesilapan.

Gunakan perkataan yang lebih positif dan proaktif seperti, “Mungkin saya boleh lihat masalah ini daripada sudut lain” atau “Apa yang boleh saya lakukan”

Bukankah bunyinya lebih tenang dan memberikan harapan kepada diri sendiri?

#3- Menerima Realiti

Menerima apa yang terjadi bukan bermakna anda berputus asa. Ia adalah suatu seni ‘acceptance’ terhadap hal yang tidak mampu dielakkan.

Usah lari daripada kenyataan. Terima ia sebagai suatu yang telah terjadi.

Dengan menerima, ia dapat membantu anda lebih tenang dan lebih bersedia mengatur tindakan seterusnya yang perlu dilakukan.

#4- Berhenti Menyalahkan

Menyalahkan orang lain adalah perkara yang cukup mudah dilakukan. Kita tidak mahu mengaku salah kerana jika mengaku salah maka kita perlu berubah.

Tetapi ketahuilah bahawa apabila kita bertanggungjawab, ia akan menunjukkan bahawa kita seorang yang tidak lari daripada masalah dan seorang yang boleh dipercayai.

Usah memakai alasan, “Oh dia pun buat salah” untuk melarikan diri dari masalah. Yang anda perlu fokuskan adalah mengubah diri sendiri dahulu dan bukan orang lain.

Kesimpulan

Jika kita perhatikan baik-baik, sentiasa ada banyak perkara baru yang boleh kita pelajari dalam hidup hatta daripada diri sendiri. Kita sentiasa boleh bereksperimen – jika melakukan tindakan begini, apa yang akan berlaku. Jika buat begitu, apa pula akan berlaku.

Dengan cara ini, bukankah kita boleh mengawal banyak perkara dalam hidup kita? Jadi, selamat mencuba!

The post Kawal Hidup Anda Dengan Mengawal Diri Terlebih Dahulu first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.