Ads Top

Bolehkah Menggunakan Patung Harimau Untuk Menghalau Monyet

Saya teringat di kawasan belajar saya, ada terlalu banyak monyet dan haiwan liar yang seumpamanya yang kadang-kadang boleh mengganggu mahasiswa yang ada terutamanya di kawasan kediaman mereka.

Kadang-kadang, kumpulan haiwan ini sangat berani sehingga boleh mencuri makanan dan masuk ke dalam bilik para mahasiswa sehingga boleh merosakkan harta benda yang ada.

Ada pihak yang telah meletakkan patung harimau yang besar di kawasan lapang atau kawasan yang sering diganggu haiwan itu bagi mengurangkan gangguan tersebut. Ia dilihat berkesan kerana haiwan ini takut kepada haiwan yang lebih besar dan berkuasa darinya.

Namun, persoalannya di sini ialah; apabila melihat kepada hukum penggunaan patung, ia adalah dilarang kerana malaikat Rahmat tidak akan masuk di dalam kawasan yang terdapatnya.

Sebagaimana beberapa hadis yang diriwayatkan;

Maksud: “Sesungguhnya malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 3225)

Menurut perbincangan ulama seperti Al-Mubarakfuri menyebut, malaikat yang dimaksudkan adalah malaikat rahmat, bukannya malaikat yang pencatat pahala dan dosa.

Ertinya, rumah yang tidak dimasuki malaikat rahmat akan kelam tanpa rahmat dan ampunan Allah. Salah satu sebabnya adalah kerana ia sama dengan gaya hidup orang kafir yang meletakkan berhala dan patung sebagai sembahan.

Dalam masa yang sama, ia merupakan ciptaan yang seolah-olah menyerupai dan meniru ciptaan Allah. Ia dibimbangi jika akan diagungkan sehingga membawa kepada penyembahan.

Namun, melihat kepada persoalan patung harimau yang diletak di kawasan luar rumah dengan tujuan menghalau haiwan liar daripada mengganggu-gugat keamanan, ia adalah dibolehkan.

Hal ini memperlihatkan kepada tujuannya sendiri dan bukan untuk penyembahan atau dihormati.

Sebagaimana kita melihat para petani yang meletakkan orang-orang di kawasan sawah padi untuk menghalau burung, maka ia adalah situasi yang sama.

Hal ini juga adalah berdalilkan kepada sebuah situasi di mana Aisyah RA yang pernah bermain patung mainan ketika kecilnya dan Baginda tidak melarangnya,

Dalam hal ini, tujuannya adalah sebagai alat pendidikan dan hiburan buat kanak-kanak. Namun, apabila mereka sudah dewasa dan tidak memerlukan alat mainannya, maka ia hendaklah dibuang. (Fath Al-Bari, 10/527)

Justeru, dalam hal ini, penggunaan patung bagi menghalau haiwan liar adalah dibolehkan selagi ia tidak dijadikan sebagai alat penyembahan.

Namun, jika masih ada cara lain lagi yang boleh digunakan dengan mengelakkan penggunaan patung, maka lebih baik diutamakannya.

Baca Juga:
Mengapa Malaikat Tidak Masuk Ke Dalam Rumah Yang Ada Patung Dan Mainan

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan

The post Bolehkah Menggunakan Patung Harimau Untuk Menghalau Monyet first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.