Bila Waktu Akhir Boleh Meniatkan Puasa Sunat
Niat merupakan salah satu syarat sah untuk ibadat-ibadat wajib. Sebagai contoh, puasa di bulan Ramadan. Jika ia dilakukan tanpa niat pada malam hari, maka puasanya tidak sah dan perlu digantikan semula amalan tersebut.
Dalam berniat untuk berpuasa, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi, antaranya;
#1 – Al-Jazm: Niat yang benar-benar memastikan tanpa ragu-ragu.
#2 – At-Ta’yiin: Seseorang yang ingin berpuasa perlu menentukan jenis puasanya sama ada ia adalah puasa Ramadan, puasa wajib atau puasa sunat.
#3 – At-Tabyiit: Penetapan niat pada waktu-waktu tertentu. Jika puasa wajib, waktunya adalah selepas tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar sadiq (sebelum habisnya waktu bersahur).
Maksud: “Barangsiapa yang tidak berniat (pada malam hari) sbeelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut).” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Jadi, adakah penetapan waktu niat ini sama dengan niat ketika melakukan puasa sunat?
Dalam hal ini, ada sebuah hadis yang telah diriwayatkan, dari ‘Aisyah Ummul Mukminin, ia berkata:
Maksud: “Nabi SAW pernah menemuiku pada satu hari lantas Baginda berkata: “Apakah kalian memiliki sesuatu untuk dimakan?” Kami pun menjawab: “Tidak ada.” Baginda pun berkata: “Kalau begitu, aku puasa sahaja sejak sekarang.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 1154)
Melalui hadis ini kita dapat lihat bahawa puasa sunat tidak memerlukan niat seperti puasa wajib pada malam hari. Jika terdetik di pagi hari selepas Subuh untuk berpuasa sunat, maka boleh saja meneruskan puasa dengan syarat masih belum menjamah makanan.
Mengenai batasan waktu pula, ada dua pendapat, iaitu:
#1 – Imam Abu Hanifah menyebut tidak boleh dilakukan setelah pertengahan siang (sebelum matahari tegak di kepala).
#2 -Pendapat dari Imam Syafi’e dan Imam Ahmad menyebut boleh meniatkan sebelum atau selepas waktu zawal (waktu tergelincirnya matahari ke barat) kerana tidak disebutkan batasan dalam perkara ini.
Justeru, boleh sahaja meniatkan puasa sunat sebelum waktu zawal, iaitu waktu di mana matahari berada tegak di atas kepala.
Namun, perlu melihat kepada syaratnya, iaitu masih belum menjamah apa-apa makanan mahupun minuman, barulah puasanya itu sah.
Rujukan:
Rumaysho.com
The post Bila Waktu Akhir Boleh Meniatkan Puasa Sunat first appeared on Tazkirah.
No comments: