Bolehkah Ada 2 Solat Jemaah Serentak Dalam Satu Masjid
Solat berjemaah adalah lubuk pahala bagi orang yang ingin solat kerana digandakan ganjaran dengan 27 kali darjat. Namun ada kalanya kita perhatikan berlaku beberapa solat jemaah dalam satu masa di satu tempat yang sama.
Hal ini terjadi mungkin kerana makmum tidak perasan bahawa telah ada kumpulan solat jemaah yang didirikan lalu mendirikan solat jemaah yang baru. Apakah hal ini dibenarkan dalam Islam, kerana ada juga yang berkata bahawa tidak boleh ada dua imam dalam satu masa.
Menurut pihak Mufti Wilayah Persekutuan, isu ini boleh diperincikan mengikut tempat.
#1- Masjid
Masjid yang dimaksudkan adalah masjid rasmi yang disediakan untuk jemaah menunaikan solat lima waktu, solat Jumaat dan lain-lain. Masjid ini telah mempunyai imam yang telah dilantik secara rasmi (imam ratib).
Imam Ramli iaitu ulama dalam kalangan Mazhab Syafie berkata bahawa dimakruhkan untuk mendirikan solat jemaah di masjid yang telah mempunyai imam rasmi. Jika imam lambat, disunatkan menunggu untuk bersolat jemaah bersama-sama.
Imam Syafie juga melarang hal ini kerana ia dapat merosakkan hikmah solat berjemaah iaitu tujuan untuk menyatupadukan hati-hati umat Islam.
#2- Masjid Al-Mathruq
Masjid Al-Mathruq adalah masjid-masjid yang ada disediakan di laluan orang ramai seperti di pasar. Di dunia moden hari ini, ia dapat difahami seperti surau-surau di kompleks beli belah, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R), surau-surau di stesen minyak dan seumpamanya.
Menurut Imam Ramli, bagi masjid atau surau jenis ini, maka tidak dimakruhkan untuk mendirikan beberapa solat berjemaah yang dilakukan serentak, sekalipun mungkin tempat itu juga mempunyai imam ratib (rasmi).
Hikmah yang kita dapat lihat, ia memudahkan orang ramai bersegera untuk solat dengan lancar sebelum menyambung semula perjalanan atau urusan lain.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, seseorang itu perlu lebih dahulu mengenal pasti adakah masjid itu mathruq atau tidak. Kemakruhan menjalankan dua solat berjemaah serentak adalah pada masjid yang rasmi sahaja, yang biasanya mempunyai imam rasmi dan jawatankuasa pengurusan masjid yang khusus.
Kata Rasulullah SAW:
وَلاَ تَخْتَلِفُوا فَتَخْتَلِفَ قُلُوبُكُمْ
Maksudnya: “Janganlah kamu berpecah belah, nescaya pastilah jantung-jantung hati kamu juga akan berpecah.” (Riwayat Muslim, no.432)
The post Bolehkah Ada 2 Solat Jemaah Serentak Dalam Satu Masjid first appeared on Tazkirah.
No comments: