Ads Top

Polis Nafi Video Tular Kompaun Penunggang Motosikal Tak Pakai Pelitup Muka

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Polis Diraja Malaysia menafikan penularan sebuah video tular di media sosial berhubung pelaksanaan operasi pihak polis yang mengenakan kompaun ke atas penunggang motosikal bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata ia sebaliknya merupakan video memaparkan operasi dilaksanakan ke atas penunggang motosikal yang tidak memandu di lorong motosikal pada Jun tahun lepas.

Beliau berkata video itu telah disalah tafsir sebagai tindakan kompaun bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka yang berkuat kuasa pada 1 Ogos lepas.

“Dalam operasi berkenaan, sebanyak 227 saman dikeluarkan atas kesalahan tidak mengikut lorong motosikal pada 12 Jun 2019.

“Orang ramai dinasihatkan agar menghentikan sebarang penyebaran video atau berita tidak tepat untuk dimuat naik atau dikongsi di laman sosial,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nadzri berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati masih dengan sengaja mensensasikan isu itu yang jelas bertujuan mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Semalam, tular video berdurasi 41 saat yang memaparkan pihak polis menahan penunggang motosikal dalam satu operasi di dalam negara.

— BERNAMA

The post Polis Nafi Video Tular Kompaun Penunggang Motosikal Tak Pakai Pelitup Muka appeared first on Siakap Keli.




No comments:

Powered by Blogger.