Ads Top

Dosa Dan Pahala Diberatkan Pada Bulan Muharram?

Kita sedang berada dalam bulan Muharram, iaitu bulan pertama bagi permulaan tahun Hijrah yang baru. Pasti setiap dari kita sudah pun meletakkan azam dan niat yang baru untuk dilakukan sepanjang tahun baru Islam ini.

Walaupun azam itu boleh sahaja diperbaharui setiap hari, namun tidak salah menjadikan Muharram sebagai titik tolak kepada permulaan dan nafas yang baru.

Sama ada azam itu yang berbentuk kerohanian mahupun bukan, semuanya boleh sahaja diniatkan asalkan yang membawa kepada kebaikan.

Jika sebelum ini solat lima waktu tidak lengkap, apa kata mulakan secara perlahan-lahan untuk melengkapkannya.

Jika sebelum ini kita sering datang lambat ke pejabat, apa kata cuba untuk datang tepat pada waktu atau lebih awal sedikit berbanding kebiasaan.

Siapa tahu, mungkin dengan usaha yang sedikit itu mampu menjadikan anda manusia yang baru dan lebih baik dari sebelumnya. Kerana masih belum terlambat untuk pembaharuan.

Bahkan, ada beberapa dalil yang menyebut bahawa jika kebaikan itu dilakukan pada bulan-bulan haram, maka Allah akan memberatkan ganjaran ke atasnya.

Maksud: “Sebagaimana Allah SWT melarang perbuatan zalim (maksiat) di dalam bulan-bulan haram. Sekalipun ia dilarang sepanjang tahun, cumanya ia lebih berat apabila dilakukan di dalam bulan-bulan haram.” (Tafsir Al-Quran, Al-‘Azhim, Ibn Katsir, 1/545)

Jumhur ulama berpendapat bahawa setiap maksiat atau keburukan yang dilakukan dalam bulan-bulan haram akan diberatkan ganjarannya.

Ia bukanlah bermaksud dosanya dilipatgandakan, namun dosanya lebih berat berbanding dilakukan pada bulan-bulan lain.

Begitu juga dengan kebaikan dan amalan soleh yang dilakukan, maka ganjarannya juga adalah lebih besar.

Ia adalah bagi menghormati bulan mulia ini supaya beringat sebelum melakukan dosa dan sentiasa semangat melakukan pahala.

Imam Ibn Rejab Al-Hanbali juga menyebut daripada pendapat Ibn Abbas:

Maksud: “Allah telah mengkhususkan empat bulan dan menjadikan mereka sebagai bulan-bulan haram dan membesarkan kehormatan mereka. Dia juga menjadikan dosa-dosa padanya itu lebih berat serta menjadikan amalan soleh dan ganjaran pahala (di dalamnya) juga lebih besar (berbanding bulan-bulan lain). (Katha’if al-Ma’arif, Ibn Rejab Al-Hanbali, 115).

Kesimpulan

Justeru, melihat kepada kenyataan yang diberikan oleh Mufti Wilayah juga, dalil ini adalah benar.

Ia bukanlah untuk menakut-nakutkan kita, namun untuk memberi penghadang kepada kita dalam melakukan maksiat. Dalam masa yang sama ia adalah untuk memberi ruang dan motivasi supaya berbuat baik.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.