Ads Top

Big Stage 3 Ketengah Peserta Cacat Penglihatan, Dinie Rashid

Big Stage musim ketiga kali ini menampilkan seorang peserta istimewa iaitu Dinie Rashid, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

Anak jati Pulau Pinang ini berkata dia menyahut cabaran untuk menyertai program realiti ini demi meluaskan bakatnya dalam bidang nyanyian.

“Alhamdulillah saya terpilih sertai Big Stage musim ini, dalam keadaan saya yang macam ini saya kena bertanding dengan orang normal. Saya anggap ia sebagai cabaran, saya sebenarnya hanya boleh nampak sebanyak 20 peratus sahaja.

“Masa pergi audition tempoh hari memang mereka tidak tahu yang saya tidak boleh nampak, lepas sesi ujibakat itu baharu mereka tahu keadaan saya. Saya dilahirkan normal, cumanya nikmat penglihatan saya ditarik secara tiba-tiba ketika berusia sembilan tahun. Sudah ratusan ribu ringgit duit ibu dan bapa saya buat pelbagai pembedahan tapi memang sampai sekarang doktor pakar cakap penyakit saya belum ditemui penawarnya.

“Orang kalau nampak saya dari luaran, memang akan kata saya macam menipu tak nampak. Secara hakikatnya, saya hanya boleh bergerak secara perlahan-lahan dan dibantu oleh kawan saya,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Dinie ditemui pada majlis sidang media pengumuman peserta Big Stage 2020 yang berlangsung di The Nicksman, The Starling Mall, Damansara Utama semalam.

Dinie, 28, bakal bersaing dengan 11 lagi penyanyi iaitu peserta lelaki, Usop, 23, Qody, 26, Hafiz Zainal, 28, Azzam Sham, 23, Fadh Majid, 27, Amir Hasan, 24, Yamani Abdillah, 19, dan empat peserta perempuan iaitu Nana Sheme, 25, Hanie Soraya, 26, Sandra Dianne, 26, dan Farisha Iris, 23.

Dinie berkata bakatnya mula diketengahkan oleh pelakon Fizo Omar yang memberikan ruang buatnya muncul di laman Youtube milik aktor tersebut. Sejak itu, dia menerima lamaran membuat single lagu Bukan Cinta Aku yang pernah menjadi OST untuk drama Bukan Cinta Aku yang dilakonkan oleh Janna Nick dan Syafiq Kyle tahun lalu.

“Sebelum ini Fizo yang discover bakat saya dan dia bagi saya peluang muncul dalam saluran video dia. Selain itu, saya juga giat pergi memberikan motivasi di penjara-penjara dan sekolah-sekolah di seluruh negara berkongsikan pengalaman kehidupan saya yang hilang nikmat penglihatan.

“Ketika beri ceramah itu, saya tidak mahu nampak ia macam terlalu formal sebab itu saya selitkan dengan hiburan dendangan lagu dan dari situ bakat saya mula berkembang secara perlahan-lahan,” ujarnya lagi.

Big Stage 2020 akan bersiaran langsung bermula 16 Ogos ini dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Ia akan disiarkan menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Juara Big Stage akan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 beserta trofi manakala tempat kedua dan ketiga meraih RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi. Persembahan peserta akan diadili tiga juri tetap iaitu Faizal Tahir, Ajai dan Dayang Nurfaizah.

Untuk rekod, dua musim Big Stage terdahulu telah menobatkan Sarah Suhairi dan penyanyi dari Korea Selatan, Han Byul selaku juara. – KopiPlanet.com

The post Big Stage 3 Ketengah Peserta Cacat Penglihatan, Dinie Rashid appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.