Ads Top

Sindrom Peterpan Dalam Generasi Narsistik

Lewat sebelum Raya Haji Aidil Adha yang lalu saya termenung dan terpaku sementara artikel apa yang saya perlu hidangkan buat pembaca di Tzkrh.com kerana sudah agak lama saya berhutang pada cik puan Editor. Fikir punya fikir, saya teringat yang saya pernah terbaca sebuah makalah tulisan Dr Zul Azlin Razali seorang pakar psikiatri di USIM yang menulis di sebuah halaman maya The Malaysian Medical Gazzete bertajuk “Daya Kebingkasan & Anak Muda”.

Bunyi tajuk tulisan agak skema namun jika difahami makna “kebingkasan” secara mendalam kita akan faham mengapa beliau membuat hantaran tentang tajuk begini.

Tajuk ini sangat berkait rapat dengan masalah-masalah yang kita lihat pada hari ini dalam generasi Y (lahir era 1984-kini) dan Z (1996-2010) yang kita dengar dan lihat di sosial media sebagai generasi yang “selalu betul” dan “sentiasa berhak sesuatu”.

Bak kata Dr Ramani Durvasula zaman hari ini gelombang narsistik sudah menjalar ke serata dunia dan jika diberi label tahapan wabak sudah terkatogeri sebagai ‘apademik’ iaitu hampir separuh dunia terpalit dengan penyakit psikologi sebegini.

Selain dari teringat tulisan kritis Dr Azlin, saya ternampak juga baru-baru ini sebuah hantaran yang tular di laman Facebook apabila ada seseorang meremehkan soal pemakaian pelitup muka di kawasan awam seperti pusat membeli belah. Hujah si individu yang meremehkan itu ialah kita hanya perlu mula memakainya pada tarikh 1 Ogos 2020 seperti yang kerajaan isytiharkan sebagai bermulanya penguatkuasaan undang-undang.

Namun yang menjengkelkan ialah bukan soal bila dikuatkuasakan akan tetapi sikapnya yang meremeh-temehkan serta menjeleki sesiapa sahaja yang memakai pelitup muka di luar sana semenjak awal PKP lagi. Dengan disertai perkataan yang bersifat kebudak-budakan, mengejek-ejek serta merendahkan peribadi orang sekelilingnya. Bila saya semak profil pribadi individu tersebut, saya terkejut kerana status beliau sudah berkahwin dan berusia lingkungan 30-an.

Usia yang seperti ini sepatutnya sudah boleh berfikir dengan lebih matang dan dewasa serta sudah tinggalkan budaya sarkastik yang agresif dan provokatif yang melampau.

Setibanya darah saya hendak naik, saya tutup sebentar segala aplikasi sosial media untuk memuhasabah dimana saya berada jika saya pun turut melakukan hal yang sama pada beliau? Bukankah itu sama sahaja. Maka ketap bibir dan masukkan sahaja telefon pintar ke dalam poket sebentar dan merenung tentang generasi hari ini yang begitu bising dengan sikap narsistik masing-masing.

Falsafah Peterpan

Dr Jordan Peterson dalam sebuah klip video syarahan beliau di dalam kelasnya ada menceritakan secara ringkas mengenai falsafah disebalik cerita dongeng Peterpan dalam naratif psikologi “Man-Child”.

Istilah ini diasaskan mula-mula dahulu oleh seorang psikologis iaitu Dan Kiley pada tahun 1983 dalam sebuah buku yang berjudul “Peter Pan Syndrome: Men Who Have Never Grown Up”.

Kata Peterson, Peterpan ialah watak seseorang yang tidak mahu dewasa kerana takut menanggung komitmen bila dewasa kelak sedangkan watak Wendy pula ialah seorang perempuan yang selalu memujuk Peterpan untuk memikul tanggungjawab melawan anasir-anasir jahat diluar sana seperti Captain Hook.

Secara falsafahnya disini hendak atau tidak kita terpaksa memikul beban tanggungjawab kerana jika kita lambat dewasa akan banyak impak buruk akan berlaku disekeliling kita seperti dalam cerita Peterpan, watak antagonis Captain Hook akan terus melakukan kekejaman kepada pari-pari di sekitar kawasan tempatnya. Peterson percaya bahawa setiap individu yang hidup atas muka bumi ini ada perjuangan yang perlu dilunaskan dengan cara dan kekuatan masing-masing.

Kerana sebuah tanggungjawab itu yang akan membentuk karakter insan yang mulia dan berjati diri teguh. Daya kebingkasan sebagaimana yang dikatakan oleh Dr Zul Azlin juga bermaksud perlindungan kukuh dari aspek emosi dan psikologi yang mampu untuk mengelakkan kita dari terjatuh ke dalam kancah kesihatan mental dan masalah berkaitan dengan mental.

Mengapa falsafah dongeng Peterpan perlu dijadikan iktibar? Kerana semakin kita kurang mengambil risiko untuk memikul tanggungjawab, semakin hancur dan musnahlah ekosistem kedewasaan manusiawi. Siapa yang hendak bekerja? Siapa yang boleh selesaikan masalah kebuluran? Siapa yang akan mencipta vaksin Covid19? Siapa yang akan mengajar anak-anak mengenali islam? Semua ini diperlukan penggantinya pada setiap generasi.

Pewaris kepada ekosistem ini semua bakal dilahirkan dengan menekankan soal tanggungjawab untuk belajar dan menjadi dewasa. Timbul lagi persoalan, elok sahaja zaman sekarang? Tidak ada pula yang semuanya menganggur di rumah.

Ya betul, tetapi kalau kita perhatikan generasi Millennial sudah berbeza daya ketahanan dan konsistensi dalam memikul sesuatu tugas. Sehingga muncul sebuah video berdurasi pendek yang bersifat parodi kepada generasi ini dalam meminta pekerjaan.

Simon Sinek juga pernah mendefinisikan generasi Millennial ini dalam naratif pekerjaan sebagai seorang yang mudah terganggu dengan teknologi, mudah lari fokus, terlalu manja dan mudah kebosanan. Semua ini seakan-akan sihir yang terkena pada kesemua generasi Millennial, jadi hendak salahkan pembangunan teknologi?

Tidak boleh juga, inilah hakikat yang perlu kita berdepan bersama. Cuma cadangan yang sesuai yang dianjurkan oleh saintis dan ulama’ moden ialah sentiasa besederhana dengan pencapaian teknologi kerana itu ada di sana peranan agama untuk mengalihkan perhatian kita pada tanggungjawab hidup yang lebih jelas. Bukan hidup sekadar hidup seperti babi bak kata Buya Hamka.

Perumpamaan yang dibawa Buya Hamka berbunyi keras, namun begitulah beliau ingin menggambarkan kepentingan hidup berobjektif dan mempunyai matlamat.

Apakah Penyebab Budaya “Man-Child” (Berperilaku Kanak-Kanak)

Nabi SAW telah bersabda :

عن عبد الله بن عمر رضي الله عنهما عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ، وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ) متفق عليه.

Maksudnya: Daripada Abd Allah Ibn Umar ra, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: “Ketahuilah setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin.

Seorang raja adalah pemimpin bagi rakyatnya, dan dia akan diminta pertanggungjawaban terhadap yang dipimpin. Seorang suami adalah pemimpin bagi anggota keluarganya, dan dia akan diminta pertanggungjawaban terhadap mereka. Seorang isteri adalah pemimpin bagi rumah tangga, suami dan anak-anaknya, dan akan diminta pertanggungjawaban terhadap yang dipimpinnya.

Seorang hamba adalah pemimpin bagi harta tuannya, dan dia juga akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpinnya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawaban atas apa yang kamu pimpin.”

(Bukhari & Muslim)

Makna hadis di atas ialah setiap individu yang hidup akan menggalas tanggungjawab dalam kerangka kehidupan masing-masing. Bahkan terhadap diri kita sendiri pun ada tanggungjawab seperti menunaikan hak Allah, hak manusia dan hak alam sekitar. Tanggungjawab dalam islam ada dibahaskan di dalam subjek Usul Fiqh pada bahagian “Taklif” (Beban) yang menyebabkan lahirnya lima hukum asas iaitu Wajib, Sunat, Harus, Makruh dan Haram.

Dengan kemunculan generasi Milennial, sudah muncul beberapa fenomena liberal dalam arus yang baru seperti tidak mahu terikat kepada apa-apa tanggungjawab hidup. Berteraskan kepada fahaman neo-Nihilistic iaitu hilang makna hidup.

Sudah banyak kebisingan di sosial media dikalangan generasi Milennial mempertikaikan tanggungjawab suami isteri, tanggungjawab sosial dan tanggungjawab kepada diri seperti menutup aurat. Pergaduhan demi pergaduhan silih berganti yang asasnya sama iaitu “AKU, AKU, AKU”.

Dalam halaman sesawang GoodTherapy ada meletakkan beberapa senarai penyebab berlakunya budaya “Kebudak-Budakan” dalam era generasi Milennial iaitu :

1. Stigma Jantina

Kaum wanita selalu diarahkan untuk melunaskan tugas-tugas khas di dapur, kebersihan rumah dan mengambil sedikit beban tanggungjawab menyediakan makanan di atas meja dan membasuh pinggan mangkuk berbanding anak lelaki. Maka lelaki lebih mudah cenderung terkena dengan penyakit “kebudak-budakan” atau lambat dewasa.

2. Kebimbangan

Menjadi dewasa adalah sesuatu yang membimbangkan bagi sesetengah orang. Adalah normal untuk setiap manusia berasa sedikit takut apabila umur kian melonjak kerana sudah mula mencari pekerjaan, menunaikan nafkah dan berkahwin. Maka apabila seseorang mendapati ada suatu jalan untuk melepaskan diri dari memikul tanggungjawab seperti memiliki ibu bapa yang memanjakan serta pasangan yang lebih stabil maka seseorang itu cenderung untuk biar dirinya ditanggung.

3. Kesunyian

Ahli psikologi, Humbelina Robles Ortega mengatakan orang yang menghidap sindrom Peter Pan mungkin takut akan kesunyian. Oleh itu, mereka terus mencari orang untuk menjaga mereka – biasanya pasangan romantis.

4. Takutkan Komitmen

Orang yang ada sindrom Peter Pan sering mempunyai corak hubungan yang tidak stabil. Mereka mungkin menjalin hubungan dengan rakan kongsi yang lebih muda, yang mereka anggap tidak mempunyai rancangan untuk masa depan dan memerlukan pelaburan yang lebih sedikit.

5. Ibu Bapa “Helikopter”

Ortega mengatakan ibu bapa yang terlalu melindungi bakal menjadikan anak mereka terlalu bergantung. Kanak-kanak ini mungkin gagal mengembangkan kemahiran asas yang diperlukan untuk menjadi dewasa, yang menyebabkan mereka memekarkan sindrom Peter Pan.

6. Masalah Kesihatan Mental

Sesetengah penyelidikan menunjukkan lelaki yang cenderung sindrom Peter Pan mungkin mengalami gangguan keperibadian. Sebagai contoh, sebuah kajian pada tahun 1982 berpendapat sindrom Peter Pan sering menjadi sebahagian dari sistem keluarga yang kompleks di mana pasangan lelaki mempunyai keperibadian narsistik dan pasangan wanita mengalami kemurungan.

Selain sebab-sebab yang dinyatakan di atas ada banyak lagi punca mengapa berlakunya budaya “Man-Child” pada generasi Milennial hari ini. Pada pendapat peribadi saya sendiri setelah mengamati beberapa pembacaan sindrom ini amat dekat sekali dengan masalah psikologi keperibadian narsistik.

Seperti kata Dr Zul Azlin era zaman hari ini yang kita lihat ialah pencantuman antara sistem politik dan ekonomi Kapitalisme dan Modernisme maka beranaklah kehidupan berteraskan ‘individualistik’ dan terpecahlah ia menjadi sebahagian narsistik.

Peribadi narsistik telah seakan-akan menjadi epidemik seperti ramalan Jean Twenge dan W. Keith Campbell dalam karya agungnya berkenaan hal ini The Narcissism Epidemic: Living in the Age of Entitlement. Hampir separuh dari muka bumi ini telah mekarnya suasana dan perilaku manusia narsistik, sama ada biasa-biasa atau agresif.

Kemodenan teknologi lebih menggalakkan lagi kerana sudah wujud peranti kamera di hadapan yang menyemaikan lagi kepentingan tentang “aku hebat” sehinggalah kepada membuat kebisingan di sosial media mempertikaikan pasal penguatkuasaan undang-undang pelitup muka yang baru-baru ini berlaku.

Jika Dr Zul Azlin bertanya kepada watak Amy yang lahir pada zaman Milennial, serta melahirkan kegusaran soal siapakah yang membaca tulisannya kerana beliau sudah dianggap golongan tua, saya ingin sahut “Sayalah bangsa Amy itu yang membaca kegusaran tuan doktor.”

Sumber rujukan :
1. Daya Kebingkasan dan Anak Muda – Dr Zul Azlin Razali
2. Peter Pan Syndrome: When Adults Refuse to Grow Up
3. 5 Signs You Might Be Dating A Man-Child
4. The Man-Child And His Long-Suffering Wife: Couples You Meet In Counseling #5
5. JORDAN PETERSON | The “Peterpan” Analogy (Lecture)
6. Matan Hadis & Syarah “Pemimpin & Tanggungjawab”




No comments:

Powered by Blogger.