3 Tips Untuk Menunaikan Solat Dhuha Dengan Mudah
Apabila berbicara mengenai solat sunat Dhuha, pasti ia sinonim dengan rezeki. Dalam pemahaman kita, untuk menaikkan punca rezeki perlulah mengamalkan amalan-amalan sunat seperti solat sunat Dhuha.
Bahkan, apabila diamati akan kebaikan solat Dhuha, banyak sebenarnya kelebihan yang boleh diperoleh bagi mereka yang mengamalkan solat Dhuha.
Bukan sahaja dapat menambahkan rezeki tetapi dalam masa yang sama boleh memberi ketenangan kepada setiap jiwa yang melakukannya.
Pelaksanaannya yang hanya dua rakaat sehari pada setiap pagi, iaitu waktu Dhuha yang sangat mudah dan senang untuk diamalkan. Namun, mungkin ada yang merasakan bahawa melakukannya sedikit sukar kerana mungkin wujud kekangan lain seperti kesibukan kerja dan sebagainya.
Jadi, entri kali ini akan berkongsi kepada anda mengenai beberapa tips mudah untuk menunaikan solat Dhuha.
#1 – Curi Masa Dalam Kesibukan
Kesibukan kita tidak dapat dihalang kerana ia adalah salah satu tuntutan yang perlu diselesaikan. Sama ada ia adalah kerja atau perlu menghadiri kelas di sekolah, ia adalah perkara yang tidak dapat dielakkan.
Walau bagaimanapun, pasti ada sedikit masa senggang pada waktu pagi yang boleh ‘dicuri’ seketika untuk menunaikan solat Dhuha kerana waktu pelaksanaannya tidak lama, kurang dari lima minit.
Waktunya panjang; kalau di Malaysia, bermula pukul 7.30 hingga lebih kurang 11.50 pagi, kita sudah boleh melakukannya. Jadi, boleh sahaja menunaikan pada bila-bila masa yang sesuai.
Ada sesetengah pejabat yang memberi ruang kepada pekerjanya untuk makan pagi antara pukul 10 pagi sehingga 11.00. Jadi, boleh sahaja ‘curi’ masa lima minit untuk menunaikannya.
#2 – Simpan Wuduk Siap-Siap
Bagi kaum perempuan pula, mungkin wujud kekangan terhadap perihal wuduk; bimbang jika mengambil masa yang terlalu lama untuk mencuci make up atau memakai tudung, jadi boleh sahaja menyimpan wuduk siap-siap dari awal sebelum bersiap untuk keluar.
Hal ini adalah untuk memudahkan dan dalam masa yang sama boleh memberi keseronokan untuk menunaikan Dhuha.
#3 – Mula Secara Perlahan
Untuk membuat ibadah, bukan mudah jika ia jarang atau tidak selalu diamalkan. Disebabkan itu, sebagai permulaan, jangan dipaksa diri tetapi mula secara perlahan-lahan.
Sebagai permulaan, boleh sahaja dibuat pada setiap hujung minggu. Peruntukkan masa sekejap setiap Sabtu dan Ahad untuk menunaikan solat Dhuha.
Lama-lama, apabila ia sudah sebati, boleh ditambah bilangan hari sehinggalah kita sudah mula sayang untuk meninggalkan solat tersebut.
Kesimpulan
Kita sedar akan kelebihan Dhuha yang sangat banyak, namun tak ramai dari kita yang bertungkus-lumus menunaikannya.
Yang paling penting ialah niatkan di hati untuk melakukannya, insya Allah, Allah akan membantu anda untuk beramal dengannya.
Wallahu a’alam.
No comments: