Bilakah Perlu Mengangkat Jari Telunjuk Ketika Duduk Tahiyyat
Solat adalah hal yang paling utama dalam agama Islam. Justeru setiap perkara yang membentuk sebuah solat perlu diambil perhatian bermula dengan mengambil wuduk hinggalah selesai salam. Untuk memastikan solat dilakukan dengan penuh penghayatan, maka tidak dapat tidak kita perlu memahami setiap perbuatan yang dilakukan dalam solat.
Untuk kali ini, kita akan cuba memahami pula tentang perbuatan mengangkat telunjuk ketika duduk tasyahud atau duduk tahiyyat awal dan akhir.
Perlakukan ini sebenarnya adalah suatu amalan yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW sendiri. Hal ini kerana bagindalah yang menerima pensyariatan solat dan lebih tahu tentang cara-cara serta tindak tanduk dalam solat. Kita dapat mengetahuinya daripada sebuah hadis iaitu:
“Rasulullah SAW apabila duduk untuk tasyahhud, Baginda meletakkan tapak tangan kanan di atas peha kanan sambil menggenggam kesemua jari, dan mengangkat jari telunjuk iaitu jari disebelah ibu jari, dan meletakkan tapak tangan kiri di atas peha kiri.” (Sahih Muslim, no.580)
Menurut penjelasan tambahan daripada Mazhab Syafie, jari telunjuk hendaklah diangkat ketika mengucapkan kalimah إلا الله sewaktu tasyahud. Ibnu Hajar Al-Haitami pula memperincikan lagi hal tersebut dengan berkata bahawa jari telunjuk hendaklah diangkat ketika huruf hamzah pada kalimah إلا.
Jari telunjuk yang mengarah ke arah kiblat tersebut perlu dibengkokkan sedikit (tidak terlalu lurus) dalam masa sama diniatkan mentauhidkan Allah dan mengikhlaskan diri kepadaNya. Jari telunjuk yang telah diangkat perlu dikekalkan dalam keadaan begitu hingga bangun jika dia dalam tahiyyat (tasyahud) awal atau hingga memberi salam jika dalam tahiyyat akhir.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
No comments: