Ads Top

Terasa Hati Tapi Tidak Berterus Terang?

Mana-mana manusia pun tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Ia menandakan bahawa masih ada perkara yang boleh ditambah baik dalam hidup. Orang yang merasa dirinya selalu betul, akan hilang peluang untuk mengubah diri sendiri daripada menjadi lebih baik.

Namun ada kalanya perselisihan yang berlaku sangat samar dan sukar dikesan puncanya. Tahu-tahu sahaja, hubungan telah menjadi dingin. Akhirnya hubungan menjadi renggang, jika tidak disedari, salah seorang pihak akan berjauh hati dan akhirnya menjauhkan diri.

“Apa salah aku?”

Itu persoalan yang akan muncul dalam benak orang yang berbuat salah.

“Takkan tak tahu salah apa?”

Ini pula tanda tanya yang akan dihamburkan oleh orang yang terluka dengan kesalahan yang dilakukan.

Akhirnya kedua-duanya hanya akan tenggelam dalam tanda tanya dan sangka yang tidak berkesudahan. Lebih menyedihkan lagi jika orang yang sudah terluka pula berkeras tidak mahu menerangkan dan memakai sikap ‘passive aggressive’, iaitu tidak mahu mengekspresikan ketidakpuasan hati kepada pasangan atau orang yang melakukan kesalahan.

Apa yang dilakukan adalah memendam, menyimpan marah di dalam hati, melakukan ‘silent-treatment’ dan mengelak daripada berbincang. Mereka sukar memberitahu apa yang dirasai.

Bagaimana jika kesalahan yang dilakukan langsung tidak disedari oleh si pembuatnya?

Dalam kita berinteraksi dengan sesiapa sahaja, perlu kita fahami bahawa, ada masanya orang tersebut memang tidak sedar bahawa dia telah melakukan kesalahan. Mungkin kerana sedang sibuk atau fokus kepada perkara lain ketika itu. Jika kita hanya sekadar bertanya, “takkan tak tahu salah apa?”, ianya tidak akan membawa kepada penyelesaian.

Hakikatnya, dia memang tidak sedar dan tidak tahu apa silap yang telah dilakukan. Manusia bukan makhluk yang boleh membaca isi hati orang lain. Ada masanya mereka barangkali tidak benar-benar perasan apa tindakan yang telah dilakukan yang boleh menyentuh hati.

Elak Bersangka Tetapi Bertanya

Bagi pihak yang melakukan kesilapan pula, bertanyalah kepada orang tersebut jika anda sudah menyedari tanda-tanda bahawa dia sedang merajuk, marah atau terasa hati. Pertanyaan adalah langkah pertama bagi membuka ruang untuk dia meluah atau berbincang. Jangan dibiar terlalu lama sehingga dia ‘sejuk’ sendiri, kerana semakin lama rasa tidak puas hati akan berkumpul dan boleh bertukar menjadi tawar hati. Akhirnya, langsung tidak mahu mempedulikan.

Jika sudah pernah diberitahu apa yang tidak disukai, maka jadilah lebih berhati-hati. Elakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak disenangi oleh orang tersebut. Hal ini menunjukkan rasa hormat kepada dirinya.

Tidak Mahu Membesarkan Masalah

Antara alasan lain yang selalu didengar apabila tidak mahu meluahkan adalah kerana tidak mahu membesarkan masalah yang ada. Sedangkan tanpa disedari, keadaan ini boleh mengundang rasa tidak percaya antara pihak yang terlibat.

Ia juga tidak adil buat orang yang melakukan kesalahan kerana dia tidak dapat menerangkan hal sebenar atau mempunyai ruang mempertahankan diri jika benar tidak bersalah.

Sedangkan orang yang menghadapai pertuduhan di mahkamah juga masih mempunyai ruang untuk membela diri, inikan pula orang yang selalu berinteraksi dengan kita setiap hari.

Jika diberitahu, pihak yang melakukan kesalahan barangkali mahu memperbaiki diri jika dimaklumkan apa yang perlu diperbaiki. Dalam masa yang sama, pihak yang terasa hati pula juga perlu menilai adakah hal yang diperselisihkan tersebut merupakan perkara yang sepatutnya diperselisihkan atau hanya timbul kerana diada-adakan.

Tuntasnya, perbincangan dalam keadaan tenang dan rasional perlu diwujudkan bagi membolehkan keduanya mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan masalah, dan bukan bertujuan mencari salah dan menuding jari semata-mata. Belajarlah berterus-terang supaya komunikasi dapat berjalan lancar dan keharmonian perhubungan dengan orang di sekeliling mampu diwujudkan.




No comments:

Powered by Blogger.