Ads Top

Pandangan Alam Tentang Rezeki Yang Mendamaikan (Siri I)

Saya pernah mengalami satu fasa keluh-kesah dengan diri sendiri ketika masih lagi bergelar mahasiswa di sebuah institusi pengajian tinggi awam. Apa yang merisaukan saya waktu itu ialah mengenai masa depan.

Pekerjaan apa yang boleh saya dapat, bagaimana untuk melepasi sesi temuduga kerja, adakah saya mempunyai kelayakan yang cukup dan sudikah majikan di luar sana untuk menerima saya.

Ketika itu ayah saya masih lagi hidup dan apabila saya kelihatan merungut serta sering risau akan perkara tersebut, beliau seringkali membacakan potongan ayat al-Qur’an untuk membetulkan perspektif saya yang sering risau, namun kurang berusaha.

Hasil daripada perbuatan ayah saya yang selalu meyakinkan diri saya membuatkan saya sentiasa bersemangat untuk mencari tips dan panduan sebagai graduan dalam terhadap pekerjaan.

Sempat juga saya membeli buku bertajuk ‘Jom Cari Kerja!’ terbitan Telaga Biru serta membuat carian di dalam internet tentang peluang memasuki mana-mana syarikat.

Secara kebetulan, ketika mengambil subjek Strategic Management for Public Sector, kami diberi tugasan untuk membentangkan isu di Malaysia yang sedang dijalankan oleh pelan kerajaan untuk menyelesaikannya.

Saya pun memilih isu pengangguran graduan yang sukar mendapat kerja dan langkah kerajaan ialah mewujudkan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) ketika itu kerana isu itu dekat dengan hati.

Kami sempat menemu ramah pegawai tinggi di Unit Pembangungan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menyelia operasi keseluruhan SL1M sambil dijamu nasi lemak dan sempat menunaikan solat Jumaat di Masjid Putrajaya sebelum menyambung lagi sesi temuramah tersebut.

Hasil daripada perjumpaan dengan beliau menjadikan semangat saya makin bertambah untuk menyiapkan diri sebelum tamat belajar agar terus dapat pekerjaan.

Apa yang berlaku selepas itu, sebaik sahaja tamat belajar saya terus sahaja menyertai aktiviti sukarelawan dan dalam masa yang sama mendapat peluang latihan untuk graduan baru di bank tempatan. Mungkin berkat daripada mengubah pemikiran dan berusaha menyediakan diri.

Beza Ketetapan Rezeki Supaya Kita Berusaha

Rutin yang saya gemar lakukan sambil beriadah ialah dengan mendengar kata-kata motivasi yang berbentuk ‘podcast’ di Youtube.

Perkara yang ingin saya kongsikan di sini ialah ucapan pelakon utama American Gangster dan Malcolm X, Denzel Washington, sewaktu majlis konvokesyen tahun 2015 di Dillard University.

Dalam ucapan beliau, perkara yang menarik perhatian saya ialah apabila beliau berkata – “Just because you’re doing a lot more, doesn’t mean you getting a lot more done. Don’t confuse movement with progress”.

Apa yang saya faham ialah usah kita melakukan sesuatu tanpa ada perancangan yang rapi kerana itu akan membawa kepada pembaziran masa tanpa membawa kepada hasil yang baik.

Kita boleh bergerak tetapi tidak semestinya kita maju ke hadapan. Berapa ramai orang yang hidup dalam kancah rat race, tanpa ada kemajuan dalam hidupnya.

Rezeki ada dua jenis, iaitu rezeki yang memang telah ditentukan oleh Allah terhadap kita tanpa kita dapat mengubahnya dan lagi satu ialah rezeki yang Allah tetapkan kepada kita jika kita berusaha mencarinya.

Menurut pendapat mantan Mufti Wilayah Persekutuan melalui artikelnya yang bertajuk ‘Adakah Allah Sekat Rezeki Saya’, beliau mengulas dengan lebih lanjut mengenai konsep rezeki itu, iaitu;

#1 – Rezeki jenis pertama contohnya apabila kita lahir dalam keluarga yang kaya raya sehinggakan kita tidak perlu atau tidak meletakkan usaha yang lebih untuk mendapatkannya. Ini ialah konteks wang dan harta benda.

Dalam konteks rezeki pancaindera atau tubuh badan, seperti kebanyakan orang kita dikurniakan tanpa usaha pun. Kerana ada orang terpaksa berusaha untuk mendapat tubuh badan sihat dan ada orang lain pula mengalami kecacatan.

#2 – Rezeki jenis kedua contohnya ialah mendapat pekerjaan yang bagus dari segi gaji dan kemudahan oleh syarikat. Atau pun berjaya mengembangkan perniagaan sendiri sehingga dapat membuka cawangan baru di tempat lain.

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّـهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُّبِينٍ

Mafhum: “Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).” (Surah Hud 11:6)

Kata kunci kepada ayat ini ialah ‘bergerak’. Dalam konteks rezeki ialah berusaha mendapatkannya. Kita tidak boleh duduk sahaja kemudian berharap duit masuk ke dalam akaun, kecuali jika kita ialah anak raja sepertimana saya jelaskan mengenai rezeki jenis pertama yang telah ditetapkan oleh Allah.

Bahkan kisah Maryam yang disebutkan dalam Al-Qur’an juga menyuruh beliau menggegarkan pohon tamar supaya buahnya jatuh dan dapat diambil untuk santapan walaupun Allah boleh berikan makanan di hadapan matanya.

Ini kan pula kita insan biasa yang tiada keistimewaan, jika kita tidak berusaha mencari rezeki bagaimana ia akan sampai kepada kita.

Hari ini begitu banyak munculnya skim cepat kaya yang menjanjikan keuntungan tanpa ada usaha kemudian akhirnya hanyalah berlandaskan penipuan. Sebaik sahaja mereka menerima wang yang kononnya bertujuan untuk dilaburkan, terus sahaja jejak mereka hilang tanpa kesan.

Bersambung: Pandangan Alam Tentang Rezeki Yang Mendamaikan (Siri II)




No comments:

Powered by Blogger.