Ads Top

Pandangan Alam Tentang Rezeki Yang Mendamaikan (Siri II)

Membetulkan Perspektif Terhadap Rezeki

Terdapat satu kisah mengenai ulama besar yang bernama Malik bin Dinar. Saya mendengar cerita ini daripada Dr Zaharuddin Abd Rahman ketika beliau menyampaikan ceramah bertajuk ‘Kerana Rezeki Masuk Neraka’.

Disebutkan bahawa pada satu hari Malik bin Dinar pergi ke pasar dan berhajat untuk membeli buah tin. Beliau menawarkan kepada peniaga tersebut supaya mencagarkan sandalnya sebagai pertukaran kepada buah tersebut.

Peniaga tersebut tidak mengenali beliau pada awalnya, lalu dia telah menolak cadangan Malik bin Dinar. Maka, beliau pun berlalu pergi. Apabila Malik bin Dinar telah pergi, peniaga lain yang menyaksikan situasi tadi menegur peniaga buah tin tersebut dan memberitahu bahawa orang itu ialah seorang ulama besar yang terkenal.

Peniaga buah tin tersebut segera menyuruh hambanya supaya memberikan buah tin kepada Malik bin Dinar dan menjanjikan kebebasan kepadanya jika diterima. Maka, hamba itu terus berlari dan berjaya mendapatkan ulama tersebut.

Namun, Malik bin Dinar enggan menerima buah tin tersebut walaupun mengetahui hamba tersebut akan dibebaskan jika dia mengambilnya. Ini kerana dia tidak mahu manusia melayannya hanya disebabkan nama dan pengaruh yang ada. Sejak dari itu, beliau berjanji tidak akan makan buah tin sehingga hari kiamat.

Berdasarkan kisah Malik bin Dinar ini, kita boleh mengambil pengajaran dalam memahami keberkatan rezeki dan juga rezeki yang baik. Kerana dalam satu hadis, Rasulullah pernah menegur seorang amil zakat yang mengambil lebihan wang untuk diri sendiri.

اسْتَعْمَلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم رَجُلاً مِنْ بَنِي أَسَدٍ يُقَالُ لَهُ ابْنُ الأُتَبِيَّةِ عَلَى صَدَقَةٍ فَلَمَّا قَدِمَ قَالَ هَذَا لَكُمْ وَهَذَا أُهْدِيَ لِي‏.‏ فَقَامَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم عَلَى الْمِنْبَرِ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ ‏”‏ مَا بَالُ الْعَامِلِ نَبْعَثُهُ، فَيَأْتِي يَقُولُ هَذَا لَكَ وَهَذَا لِي‏.‏ فَهَلاَّ جَلَسَ فِي بَيْتِ أَبِيهِ وَأُمِّهِ فَيَنْظُرُ أَيُهْدَى لَهُ أَمْ لاَ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لاَ يَأْتِي بِشَىْءٍ إِلاَّ جَاءَ بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَحْمِلُهُ عَلَى رَقَبَتِهِ، إِنْ كَانَ بَعِيرًا لَهُ رُغَاءٌ، أَوْ بَقَرَةً لَهَا خُوَارٌ، أَوْ شَاةً تَيْعَرُ

Maksud: “Nabi SAW mengutus seorang lelaki dari Bani Asad yang bernama Ibnu Lutbiah sebagai pemungut zakat. Ketika kembali dari tugasnya, dia berkata: “Ini untuk kalian sebagai zakat dan ini pula bahagian untukku”. Maka Baginda pun berdiri di atas mimbar dan memuji Allah dan bersabda: “Cubalah dia duduk saja di rumah ayahnya atau ibunya, dan menunggu adakah akan ada yang memberikan kepadanya hadiah? Dan demi Zat yang jiwaku di tanganNya, tidak seorang pun yang mengambil sesuatu dari zakat ini (secara tidak sah), kecuali dia akan datang pada hari kiamat dengan dipikulkan di atas lehernya berupa unta yang berteriak, atau lembu yang mengeboh atau kambing yang mengembek” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 2597)

Peristiwa ini menjadi larangan kepada kita daripada menggunakan jawatan atau nama yang kita ada untuk kepentingan peribadi semata-mata. Ini kerana tanpa jawatan dan nama, sudah tentu tiada layanan istimewa daripada orang lain.

Selain itu, perkara ini juga untuk mengelakkan daripada terjerumus ke kancah rasuah mengambil kaedah dalam Islam iaitu, sadd adz-dzari’ah (سد الذريعة), menutup pintu ke arah kemungkaran.

Dalam dunia pekerjaan pasti ada yang pernah berhadapan dengan situasi begini. Orang tertentu akan melayan kita baik, ataupun beri kita hadiah kononnya untuk mengeratkan hubungan.

Padahal apabila fikir secara logik, mereka tidak akan berbuat baik dengan kita jika kita tidak ada kuasa dan jawatan. Bagi yang mengikuti perkembangan semasa, Seksyen 17A, Akta SPRM (2009) telah dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020 ini yang meletakkan liabiliti terhadap syarikat walaupun perbuatan rasuah dilakukan oleh pekerja bawahan. Hal ini untuk mengetatkan lagi penguatkuasaan oleh syarikat swasta dan dapat bersama mencegah perbuatan rasuah.

Rezeki bukanlah sekadar apa yang kita dapat tanpa melihat kepada sumbernya. Ada orang yang berkata, “Alhamdulillah, rezeki” padahal menipu dalam borang tuntutan atau menjual produk haram.

Hujah mereka ialah jika bukan rezeki, kenapa Allah beri pada mereka. Isu ini pernah dibahaskan oleh mantan Mufti Wilayah Persekutuan dalam penulisan laman web yang bertajuk ‘Maksud Rezeki Yang Baik dan Cara Mendapatkannya’.

Terdapat sebuah hadis yang menyebut tentang orang yang berdoa memohon bantuan daripada Allah tetapi tidak dimakbulkan kerana makan daripada hasil yang haram.

Pandangan Alam Mengenai Simpanan Rezeki

Rasulullah ialah seorang yang dermawan. Apa sahaja yang Baginda ada akan diinfakkannya untuk kebaikan semata-mata. Dr Zaharuddin juga ada menceritakan hadis berkenaan Nabi membetulkan pandangan alam isterinya, Aisyah, terhadap rezeki.

Diceritakan oleh Aisyah bahawa Rasulullah pernah menyembelih kambing dan diagihkan dagingnya kepada orang yang memerlukan. Setelah itu, Nabi bertanya Aisyah tentang baki daging kambing tersebut.

مَا بَقِيَ مِنها؟ قالت: مَا بَقِيَ مِنها إِلَّا كَتِفُهَا، قَالَ: بَقِي كُلُّهَا غَيرَ كَتِفِهَا

Maksud: “Apakah masih berbaki kambing tadi wahai Aisyah? Aisyah menjawab: Tiada yang tinggal melainkan bahagian bahu sahaja. Lalu Rasulullah membetulkan kenyataan Aisyah: (bukan begitu Wahai Aisyah) kekal semuanya yang telah disumbangkan tadi (sebagai amalan) melainkan bahagian bahunya sahaja (yang tertinggal bukan sebagai amalan).” (Riwayat Tirmizi, no. 2470)

Dalam hadis ini Rasulullah mengajar isterinya untuk melihat dari konteks akhirat. Bahagian bahu kambing yang masih berbaki itu masih tertinggal daripada menjadi amalan untuk hari akhirat.

Jadi, perbuatan sedekah dan amalan baik sangat dianjurkan dalam Islam. Kita tidak boleh berkira-kira untuk bersedekah sekiranya kita mampu. Perkara ini mengingatkan saya pada kejadian yang berlaku pada diri saya sendiri sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda.

Ketika itu cuti semester akhir pengajian diploma. Saya berkeluh-kesah tentang bagaimana ingin sambung belajar kerana wang tidak mencukupi. Pada suatu hari, saya niatkan dalam hati untuk bersedekah ke dalam tabung masjid supaya Allah dapat menggandakan jumlahnya nanti.

Beberapa lama berlalu selepas itu saya mendapat bantuan daripada Perbadanan Islam Johor sejumlah wang tunai yang cukup untuk mendaftarkan diri bagi melanjutkan pengajian.

Sudah tentulah saya perlu berusaha juga kerana saya telah mencari-cari bantuan di dalam internet dan mendapatkan pengesahan daripada Ahli Parlimen di tempat saya untuk keperluan memproses borang.

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ، وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا، وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ للَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ

Maksud: “Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta seseorang dan Allah akan menambahkan kemuliaan bagi orang yang memberi kemaafan. Begitu juga Allah akan mengangkat kedudukan seorang yang bersifat tawaduk.” (Riwayat Muslim, no. 1573)

Kita dianjurkan oleh Allah untuk mencari rezeki di dunia ini. Terutamanya keadaan ekonomi umat Islam yang masih ketinggalan berdasarkan statistik. Hal ini boleh dirujuk dalam buku tulisan Muhammed Abdul Khalid bertajuk The Color of Inequality.

Namun, peringatan keras diberikan oleh Rasulullah supaya mencari rezeki yang baik sahaja. Apabila kita mempunyai rezeki yang lebih, secara logiknya kita boleh membantu mereka yang lebih memerlukan.

Perbuatan ini juga menambahkan lagi pahala amalan kita. Elakkan sombong diri dan merasa riak terhadap rezeki yang Allah kurniakan kepada kita. Sesetengah orang menggunakan alasan ‘tak apalah, dia mampu’.

Jadi, apabila berhadapan dengan situasi tersebut, kaedah berinteraksi dengannya pada saya ialah diam sahaja dan ambil perkara yang baik sahaja. Kerana kita – tidak boleh mengetahui isi hati orang lain sama ada dia sombong atau tidak.




No comments:

Powered by Blogger.