Ads Top

Susah Ubah Diri Daripada Melakukan Dosa? Amalkan Doa Ini

Buat dosa kemudian bertaubat. Tidak lama kemudian, kembali kepada dosa tersebut. Namun, Allah jentik kembali hati untuk bertaubat. Maka, seseorang itu kembali memohon ampun kepadaNya. Tetapi, disebabkan oleh pengaruh yang masih ada, manusia itu kembali lagi melakukan dosa. Dan apabila dijentik lagi hati, dia kembali bertaubat kepadaNya.

Begitulah lumrah manusia. Tidak pernah lekang daripada dosa. Setiap hari, pasti ada kesilapan yang dilakukan walau kecil. Tetapi, manusia yang sedar akan kesilapan tersebut ialah manusia yang sentiasa dijentik hatinya oleh Allah.

Sebenarnya, setiap manusia di muka bumi ini, Allah sentiasa jentik hati mereka untuk kembali kepadaNya. Ada yang sedar melalui ujian, ada yang sedar melalui asbab manusia lain yang hadir dalam hidupnya. Ada yang sedar sebab perkara-perkara sekeliling. Namun, ada juga yang tidak sedar sedangkan Allah sentiasa menghantarkan kepadanya petunjuk supaya berubah.

Apabila berada dalam keadaan sedemikian, jangan putus asa. Dosa itu boleh dihapuskan dengan taubat. Apabila menyedari kesalahan yang dilakukan, ubahlah diri agar tidak kembali kepada dosa tersebut.

Perubahan dan taubat itu mudah. Namun, untuk kekal ke jalanNya itu yang memerlukan perjuangan yang lebih tinggi dan hati yang kental.

Yang lebih penting ialah sentiasa berdoa kepada Allah agar setiap dosa yang dilakukan itu sentiasa mendapat keampunan Allah agar ia tidak menjadi hijab untuk kita memasuki syurgaNya.

Terdapat sebuah doa yang diajar oleh Baginda SAW untuk meminta keampunan daripada Allah. Ia juga diajar untuk dibaca setiap kali selepas solat kerana pada waktu itulah waktu yang terbaik untuk kita meminta ampunan darinNya.

وَعَنْ أَبِي مُوْسَى رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ كَانَ يَدْعُو بِهَذَا الدُّعَاءِ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي خَطِيئَتِي وَجَهْلِي، وَإِسْرَافِي فِي أَمْرِي، وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي جِدِّي وَهَزْلِي، وَخَطَئِي وَعَمْدِي، وَكُلُّ ذَلِكَ عِنْدِيْ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي، أَنْتَ المُقَدِّمُ وَأَنْتَ المُؤَخِّرُ، وَأَنْتَ علَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ.مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ

Maksud: “Wahai Rabbku, ampunilah kesalahanku, kebodohanku dan perkara yang telah aku lampaui batas dalam setiap urusanku dan juga apa yang lebih Engkau ketahui daripada diriku. Ya Allah, ampunilah kesungguhanku (dalam dosa), senda gurauku, kesalahanku, kesengajaanku dan semua yang ada pada diriku. Ya Allah, ampunilah apa yang telah aku lakukan dan apa yang akan aku lakukan. Apa yang aku rahsiakan dan apa yang diperlihatkan dan apa sahaja yang Engkau lebih mengetahui dari diriku. Engkaulah yang Mendahulukan dan Engkaulah yang Mengakhirkan dan Engkau Yang Maha Kuasa atas setiap sesuatu.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 6399)

Kesimpulan

Manusia itu tidak luput daripada kesalahan dan dosa, sama ada kepada sesama manusia dan juga kepada Allah. Yang paling penting ialah kita tidak mengabaikannya begitu sahaja.

Tanggungjawablah di atas setiap perkara yang anda lakukan. Jika anda berbuat kesalahan kepada manusia, selesaikannya dengan cara yang baik.

Jika anda berbuat kesalahan kepada Allah, minta ampunlah dengan cara yang terbaik dan taubat yang ikhlas. Yang pasti, kedua-dua dosa yang dilakukan itu perlu disertai dengan azam untuk tidak melakukannya lagi.

Wallahu a’alam.




No comments:

Powered by Blogger.