Pengalaman Akan Mematangkan Diri Jika Kita Ingin Belajar Darinya
Kata orang, pengalaman akan mematangkan seseorang.
Namun kata saya, pengalaman akan mematangkan kita jika kita sendiri yang ingin belajar darinya.
Jika tidak, ia menjadi pengalaman yang sia-sia.
Perasan atau tidak, kadang-kadang ada perkara yang hampir sama berlaku pada kita berulang kali, bezanya mungkin orang, situasi dan tempat sahaja.
Seorang teman pernah berkata – selagi kita tidak belajar apa yang sepatutnya kita belajar, maka hal yang sama akan berlaku lagi dan lagi.
Bagaimana Kita Memandang Pengalaman
Seorang rakan (perempuan) memberitahu bahawa dia pernah ditipu oleh seorang lelaki. Bercinta bertahun-tahun, akhirnya lelaki itu memutuskannya tanpa sebab yang kukuh dan meninggalkannya begitu sahaja.
Katanya, “Lesson learned” atau “Aku dah belajar sesuatu dari pengalaman ini.”
Tetapi persoalannya, apakah perkara yang telah dipelajari; Adakah lelaki memang tak boleh dipercayai? Adakah menyukai seseorang adalah suatu yang sia-sia? Adakah setiap orang tidak sempurna? Adakah orang boleh melakukan kesilapan? Adakah diri sendiri juga ada silapnya? Adakah hal ini terjadi kerana diri sendiri juga pernah melakukan hal tersebut kepada orang lain?
Dan pelbagai lagi kemungkinan-kemungkinan yang boleh difikirkan.
Apa Yang Kita Pelajari Sebenarnya?
Kadang-kadang kita menyimpulkan sesuatu berdasarkan pengalaman yang lalu. Ada masa kita memahami sesuatu secara separuh masak.
Jadi langkah pertama untuk belajar daripada pengalaman adalah dengan membuka hati kita kepada pengalaman. Tanyakan pada diri; Apa yang sebenarnya perlu aku pelajari daripada hal ini? Adakah kita telah menilai dengan masak dan matang; Adakah kita terlalu susah memaafkan; Adakah kita suka berdendam; Adakah kita perlu lebih berhati-hati; Adakah kita perlu lebih bijak menilai orang, keadaan dan sebagainya.
Di akhirnya, kita perlu pulang jua pada suatu saranan dalam Islam – iaitu bersangka baiklah pada Tuhan dan bersangka baiklah pada orang. Jika kita tidak mampu bersangka baik pada orang, maka bersangka baiklah pada Tuhan yang telah menetapkan sesuatu hal itu terjadi.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain…” (Surah Al-Hujurat 49:12)
Apa yang boleh disimpulkan, pengalaman akan mengajarkan kita sesuatu jika kita mahu belajar darinya, namun kita perlu memahami beberapa perkara;
Pertama, ada banyak hikmah dan pengajaran yang ada dalam satu pengalaman.
Kedua, kita sendiri yang menentukan apa yang ingin kita pelajari.
Ketiga, melalui pengalaman, kita juga akan belajar tentang diri kita sendiri.
Jadi, apa yang telah kita belajar daripada pengalaman setakat ini?
No comments: