Ads Top

Betulkah Tidak Boleh Masuk Tandas Ketika Azan

“Masa azan, jangan duduk dalam tandas lama-lama, syaitan ada dekat situ sebab nak lari dari azan.”

Mungkin kita pernah ditegur oleh orang tua-tua berkenaan perbuatan tersebut, iaitu memasuki atau berada di dalam tandas ketika sedang azan.

Namun, adakah benar kita dilarang untuk memasuki tandas saat berkumandangnya azan? Dalam hal ini, kita perlu melihat kepada beberapa perkara, iaitu;

#1 – Yang pertama, tempat tinggal syaitan ialah di dalam tandas. Jika kita lihat tandas ialah tempat yang kotor dan untuk membuang kekotoran. Dan kita mengetahui bahawa syaitan menyukai tempat-tempat sedemikian.

Dalam sebuah hadis daripada Zaid bin Arqam RA, Baginda SAW bersabda:

إِنَّ هَذِهِ الْحُشُوشَ مُحْتَضَرَةٌ ، فَإِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ الْخَلَاءَ فَلْيَقُلْ : أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ

Maksud: “Sesungguhnya tempat membuang hajat didiami oleh syaitan. Jika salah seorang di antara kalian ingin memasuki tandas, maka ucapkanlah: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 5)

Disebabkan itu, orang tua selalu berpesan bahawa jangan berlama-lama di dalam tandas, tidak boleh menyanyi mahupun melakukan perkara-perkara pelik kerana di situlah tempat syaitan tinggal.

Apabila memasuki tandas, laksanakan hajat dengan segera dan jangan mengambil masa yang lama di dalamnya.

#2 – Yang kedua, kita perlu melihat bahawa syaitan itu takut kepada azan atau nama-nama Allah. Apabila mendengar azan, mereka akan lari bertempiaran bagi mengelakkan bunyi tersebut.

Sebagaimana sebuah hadis yang telah diriwayatkan yang bermaksud;

“Sesungguhnya syaitan, jika mendengar laungan azan untuk solat, dia akan berpaling dan berundur sambil terkentut dengan kuat agar tidak didengari laungan azan itu.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 389)

#3 – Yang ketiga, apabila seseorang manusia itu mendengar azan, maka disunatkan kepadanya untuk menjawab azan tersebut dan diakhiri dengan doa.

Namun, apabila berada di dalam tandas, makruh hukumnya menjawab azan tersebut kerana sebahagian ulama menyebut bahawa ia adalah untuk menjaga kebesaran nama Allah.

Hal ini sebagaimana disebutkan oleh Imam Nawawi – “Dikecualikan daripada hal ini (menjawab azan) bagi orang yang solat dan yang berada di dalam tandas serta melakukan jimak. Apabila sudah selesai daripadanya (menunaikan hajat dan jimak), maka ikutilah ia (menjawab azan).” (Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab, 3/118)

#4 – Secara kesimpulannya, difahami di sini bahawa memasuki tandas ketika azan berkumandang itu bukanlah sebuah kesalahan yang boleh membawa kepada hukum haram.

Jika punya hajat yang perlu ditunaikan dan tidak boleh ditahan, maka boleh sahaja untuk masuk ke tandas. Seeloknya, didahului dengan bacaan doa sebelum memasuki tandas atau dengan isti’azah.

اللهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الخُبُثِ وَالخَبائِثِ

Maksud: “Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada syaitan lelaki dan syaitan wanita.”

Tambah lagi, perlu dijaga adab semasa di dalamnya, iaitu tidak menjawab azan semasa berada dalam tandas.

Tetapi, jika tiada hajat yang mendesak, seeloknya tunggu sehingga azan selesai dengan tujuan menghormati syiar tersebut. Dalam masa yang sama, ia juga memberi peluang kepada anda untuk menjawab azan dan membaca doa.

Justeru, sentiasa amalkan adab untuk masuk ke tandas.

Wallahu a’alam.




No comments:

Powered by Blogger.