Seorang Mukmin Melihat Dosa Kecil Yang Dilakukan Besar Seperti Gunung
Dosa dan pahala termasuk dalam perkara ghaib yang tidak dapat kita lihat dengan mata kasar atau dikira setiap kali kita melakukannya. Namun ia wajib dipercayai kerana Allah telah menyebutkannya dalam Al-Quran serta dikhabarkan melalui hadis-hadis Nabi SAW.
Sekalipun ia tidak dapat dilihat, ia tidak bermakna kita boleh meringan-ringankan setiap suruhan dan larangan Allah SWT. Usah memandang enteng perihal dosa pahala dalam kehidupan seharian. Untuk menjauhkan diri daripada melakukan dosa besar, terlebih dahulu kita perlu tahu apakah jenis-jenis dosa besar yang ada dalam Islam.
Bagaimana Untuk Mengenal Pasti Dosa Besar Dan Dosa Kecil
#1- Dosa Yang Disebutkan Sebagai Dosa Besar
Semua dosa yang disebutkan secara tegas oleh Allah dan Rasulullah SAW sebagai dosa besar atau perbuatan yang boleh membawa kebinasan, maka ia tidak disangkal lagi merupakan dosa besar.
Imam Al-Qurtubi mengatakan bahawa dosa besar adalah dosa yang dimutlakkan oleh nas Al-Quran dan As-Sunnah atau ijma’ sebagai dosa besar. (Fathul Bari, 15/709)
Contohnya dosa syirik, sihir, membunuh, menuduh wanita baik berzina, derhaka kepada orang tua dan lain-lain.
#2- Setiap Dosa Yang Diancam Dengan Neraka, Kemurkaan Allah, Laknat Atau Azab
Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu, dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga). (Surah An-Nisa, 4:31)
Ulas Al-Hasan Al-Basri ketika menafsirkan ayat di atas, setiap dosa yang digandingkan dengan neraka maka itu adalah dosa besar. (Tafsir Ibnu Katsir, 2/285)
Antara dosa lain yang disebutkan secara jelas tentang larangan melakukannya adalah seperti dosa mengumpat. Beratnya dosa tersebut diumpamakan seperti memakan daging saudara sendiri, bahkan Rasulullah SAW juga menyebutkan bahawa lisan yang tidak dijaga sehingga menyakiti orang lain mampu mengheret seseorang ke jurang neraka.
#3- Dosa Yang Terdapat Hukuman Khusus
Syeikh Salih Al-Utsaimin berkata bahawa dosa besar juga adalah dosa yang tidak sekadar dilarang atau diharamkan, namun diancam dengan suatu hukuman yang khusus. Manakala dosa kecil adalah dosa yang tidak diancamkan dengan hukuman yang khusus.
Contohnya dosa qazaf iaitu menuduh seseorang yang baik dan memelihara maruah melakukan perbuatan zina. Hukuman yang dikenakan kepada orang yang menuduh adalah sebatan sebanyak 80 kali serta tidak diperakui sebagai saksi.
#4- Dosa Yang Mengakibatkan Keimanan Seorang Dinafikan Atau Nabi Tidak Mengaku Sebagai Umat
Dosa besar juga adalah apabila pelakunya dikatakan tidak beriman atau tidak dianggap sebagai umat Nabi SAW.
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan bahawa dosa besar itu apabila terdapat penafian keimanan. Syeikh Abdurrahman bin Hasan mengulas bahawa termasuk dosa besar ialah apabila Nabi mengatakan bahawa “bukan golongan kami yang melakuka itu dan itu” (Fathul Majid, 418)
Contohnya dalam satu hadis yang membicarakan tentang keperluan menyeimbangkan antara ibadah dan juga keperluan diri seperti makan dan berbuka, waktu solat dan waktu tidur, serta mengahwini perempuan. Lalu diakhirnya Nabi SAW mengingatkan bahawa sesiapa yang tidak suka dengan sunnah baginda maka dia bukan daripada kalangan baginda.
“…maka sesiapa yang tidak suka akan sunnahku maka dia bukan dari kalanganku…” (Sahih Al-Bukhari, no.5063)
Kesimpulan
Adakah kita masih memandang remeh dosa yang dilakukan selama ini? Ia mungkin tidak disedari oleh orang di sekeliling, namun usah lupa Allah sentiasa melihat. Seorang mukmin melihat dosa yang dilakukan sekalipun kecil di mata manusia sebagai suatu yang besar, bahkan mengumpamakannya seperti gunung yang mampu menghempap.
Ibnu Mas’ud r.anhu mengatakan,
إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ قَاعِدٌ تَحْتَ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ ، وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ مَرَّ عَلَى أَنْفِهِ
“Sesungguhnya seorang mukmin melihat dosanya seakan-akan ia duduk di sebuah gunung dan khuatir gunung tersebut akan menimpanya. Sedangkan seorang yang fajir (yang gemar maksiat), ia akan melihat dosanya seperti seekor lalat yang lalu begitu saja di hadapan batang hidungnya.”
Bilal bin Sa’ad rahimahullah mengatakan, “Janganlah engkau melihat kecilnya suatu dosa, namun hendaklah engkau melihat siapa yang engkau durhakai.”
Rujukan:
1. Muslim.or.id
No comments: