Mengapa Amalan Sedikit Tetapi Konsisten Disukai Allah
“Lakukanlah amalan yang sekalipun sedikit tetapi berterusan.”
Inilah anjuran beramal dalam Islam yang sering diingatkan kepada kita semua. Hal ini kerana ia lebih disukai Allah berbanding amalan yang banyak tetapi dilakukan sekali-sekala, mengikut semangat atau ketibaan ‘musim ibadah’ sahaja.
Orang-orang tua selalu berpesan, antara adab dengan suatu ilmu atau amalan adalah terus mengamalkannya bagi memperoleh keberkatan. Jika dibiar terlalu lama, ia sukar menjadi kebiasaan atau rutin dalam hidup.
Selain itu, di sebalik hikmah yang mampu kita ambil daripada anjuran ini adalah Allah ingin kita mengambil peluang mendapat pahala pada setiap masa. Mari kita telusuri beberapa kelebihan yang akan diperoleh daripada amalan yang berterusan sekalipun ia kecil dan sedikit.
#1- Menyesuaikan Dengan Kemampuan Diri
Selain itu, Ibnu Rejab Al Hambali juga menyebutkan bahawa anjuran melakukan amalan yang sedikit tetapi berterusan adalah bagi menyesuaikan dengan kemampuan diri. Seseorang itu juga dilarang daripada memutuskan amalan dan meninggalkannya begitu sahaja setelah ia menjadi amalan.
Dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al ‘Ash r.anhuma, Rasulullah SAW berkata padaku,
يَا عَبْدَ اللَّهِ ، لاَ تَكُنْ مِثْلَ فُلاَنٍ ، كَانَ يَقُومُ اللَّيْلَ فَتَرَكَ قِيَامَ اللَّيْلِ
“Wahai ‘Abdullah, janganlah engkau seperti si fulan. Dulu dia biasa mengerjakan solat malam, namun sekarang dia tidak mengerjakannya lagi.” (Sahih Bukhari, 1152)
#2- Pahala Berterusan Walaupun Musafir
Seseorang yang sudah konsisten melakukan suatu amalan akan tetap mendapatkan pahala apabila tidak dapat melakukannya. Contohnya jika dia sudah konsisten berjemaah di masjid namun tidak dapat melakukannya apabila bermusafir, maka dia masih memperoleh pahala solat berjemaah, sama juga dengan amalan-amalan yang lain.
Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila seorang hamba sakit atau dalam bermusafir (menempuh perjalanan), maka dicatat baginya pahala kebaikan sebagaimana ketika ia bermukim (menetap di suatu tempat) dan dalam keadaan sihat.” (HR Ahmad, no. 18848 – Status Isnad Tsiqah)
#3- Mencegah Perasaan Malas
Biasanya apabila suatu amalan itu telah dilakukan secara konsisten, maka ia dapat mencegah diri daripada tumbuhnya perasaan malas.
Biasanya apabila suatu amalan itu sudah lama ditinggalkan, pasti terasa berat untuk memulakannya semula serta akan timbul rasa malas beribadah. Tetapi jika seseorang telah merutinkan amalan yang sedikit atau kecil tetapi berterusan, maka rasa semangat untuk melakukannya akan sentiasa ada.
Kesimpulan
Tanamkanlah azam untuk sentiasa memperbaiki amalan, bukan hanya dengan cara menambah amalan tetapi juga memastikan ia dilakukan secara berterusan. Sesungguhnya Allah tidak akan bosan dengan amalan seseorang hamba selagi dia juga tidak merasa bosan.
Dari Aisyah, Nabi SAW bersabda,
يَا أَيُّهَا النَّاسُ عَلَيْكُمْ مِنَ الأَعْمَالِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لاَ يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَإِنَّ أَحَبَّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّ
“Wahai sekalian manusia, lakukanlah amalan sesuai dengan kemampuan kalian. Kerana Allah tidaklah bosan sampai kalian merasa bosan. (Ketahuilah bahwa) amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Sahih Al-Jami’, no. 7887)
No comments: