Ads Top

Checklist Diri – Mengapa Merasa Rezeki Sentiasa Sempit

Apabila merasa rezeki sempit atau tidak cukup, kebanyakan orang akan mengeluh dan cuba untuk menyalahkan tuhan.

“Mengapa ini semua berlaku?” atau “mengapa aku dilahirkan miskin” dan sebagainya akan menjadi persoalan yang berlegar-legar di minda anda.

Sebenarnya, apabila muncul masalah dalam hidup anda, yang paling penting ialah dengan muhasabah diri sendiri.

Jadi, kali ini, apa kata anda cuba checklist gaya hidup anda. Mana tahu, anda akan menemukan jawapan kepada persoalan-persoalan yang anda kemukakan.

#1 – Lihat Tujuan Anda Hidup

Semak semula mengapa tujuan anda hidup di muka bumi ini? Mengapa anda bangun pagi untuk pergi kerja atau mengapa anda berjaga sehingga tengah malam untuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah anda.

Adakah disebabkan matlamat dunia semata-mata atau untuk mencapai akhirat. Jika anda hidup untuk akhirat, maka dunia akan mengikuti anda. Dalam erti kata lain, Allah akan mempermudahkan urusan dunia anda untuk meraih akhirat.

مَنْ كَانَتِ الدُّنْيَا هَمَّهُ ، فَرَّقَ اللهُ عَلَيْهِ أَمْرَهُ ، وَجَعَلَ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ ِ، وَلَمْ يَأْتِهِ مِنَ الدُّنْيَا إِلَّا مَا كُتِبَ لَهُ ، وَمَنْ كَانَتِ الْآخِرَةُ نِيَّـتَهُ ، جَمَعَ اللهُ أَمْرَهُ ، وَجَعَلَ غِنَاهُ فِيْ قَلْبِهِ ، وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِيَ رَاغِمَةٌ.

Maksud: “Barangsiapa cita-citanya adalah untuk dunia, maka Allah akan cerai-beraikan urusannya. Allah jadikan kefaqiran di depan matanya dan ia tidak mendapatkan dunia kecuali sesuai apa yang telah ditetapkan baginya. Barangsiapa yang cita-citanya adalah untuk akhirat, Allah akan mempermudahkan urusannya. Allah akan jadikan kekayaan di hatinya dan dunia akan mendatanginya dalam keadaan tidak disangka-sangka.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 950)

#2 – Adakah Lebih Banyak Memberi Atau Takut Memberi

Melalui hasil gaji atau kewangan anda, apa perkara utama yang anda akan lakukan? Adakah lebih banyak memberi atau takut untuk memberi?

Sebenarnya, apabila anda memberi, anda tidak akan sedikit pun rugi. Kerana harta yang anda laburkan di dunia ini akan menjadi saham untuk anda di akhirat kelak.

Bahkan, Allah sudah menjanjikan bahawa sekali anda memberi, maka ia akan digantikan dengan ganjaran yang lebih besar lagi. Jadi, janganlah takut untuk melaburkan wang anda ke arah yang baik seperti bersedekah kepada anak yatim atau memberi makan orang yang berpuasa.

Perasaan takut itu hanyalah salah satu tipu daya dan godaan syaitan kepada anak cucu Nabi Adam.

الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُم بِالْفَحْشَاءِ ۖ وَاللَّـهُ يَعِدُكُم مَّغْفِرَةً مِّنْهُ وَفَضْلً

Mafhum: “Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya.” (Surah Baqarah, 2:268)

#3 – Dengan Siapa Anda Bergaul

Jika anda orang kaya-raya atau hartawan, pergaulan anda tidak boleh terbatas kepada golongan yang sama dengan anda juga.

Luaskan sosial anda dengan melihat juga kepada orang-orang di bawah. Sekali-sekala, lawat dan lihatlah golongan miskin dan juga anak yatim.

Sebenarnya, apabila kita bergaul dengan golongan ini, hati anda akan mudah lembut dan merasa bersyukur. Apabila anda melihat orang yang susah, anda dapat sedar bahawa segala masalah atau kesusahan yang dialami oleh anda sebenarnya tiada apa untuk dibandingkan dengan mereka.

Jika anda hanya bergaul dengan orang yang sama taraf dengan anda, kemungkinan besar anda akan sentiasa merasa kurang bersyukur dan mencuba untuk bersaing menjadi lebih lagi daripada mereka.

أنَّ رجلا شكا إلى رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ قسوةَ قلبِه فقال له إنْ أردتَ تَليينَ قلبِكَ فأطعمِ المسكينَ وامسحْ رأسَ اليتيمِ

Maksud: “Ada seorang yang mengeluh bahawa hatinya telah keras. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Jika engkau ingin melembutkan hatimu, berilah makanan kepada orang miskin dan usaplah kepala anak yatim.” (Hadis Riwayat Ahmad, 2/263)

#4 – Halal Atau Haram Sumber Rezeki Anda

Perkara halal dan haram perlu dititikberatkan kerana hasilnya akan digunakan untuk kehidupan anda. Makanan yang anda beli daripada hasilnya, pakaian yang anda pakai dan bukan itu sahaja, ahli keluarga anda yang turut menerima faedahnya, semuanya akan menjadi darah daging dalam diri anda.

Lama-kelamaan, apabila anda sebati dengan perkara haram, ia akan menjadi kebiasaan sehingga hati anda sudah dibutakan dengannya dan tidak dapat membezakan antara yang haram dan halal lagi.

لا يَدْخُلُ الجنةَ لحمٌ نبت من السُّحْتِ، وكلُّ لحمِ نبت من السُّحتِ ؛ كانتِ النارُ أوْلَى به

Maksud: “Tidak masuk syurga daging yang tumbuh dari harta haram. Setiap daging yang tumbuh dari harta haram, maka api neraka lebih layak baginya.” (Hadis Riwayat Ahmad, no. 15284)

#5 – Malas Bekerja

Malas bekerja, namun anda mengharapkan rezeki yang besar. Apabila bekerja pula, anda merupakan seorang yang curi tulang. Dari situ sudah cukup menunjukkan sukarnya untuk mendapat rezeki yang berkat.

Apabila kita menginginkan sesuatu, kita perlu rajin berusaha. Jangan jadi seperti menunggu bulan jatuh ke riba. Doa dan usaha itu perlu selari.

Jika malas, bagaimana rezeki itu akan masuk dengan berkat dalam kehidupan anda?

Maksud: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah. Namun, setiap mukmin itu baik. Semangatlah pada perkara yang bermanfaat bagimu dan mintalah pertolongan kepada Allah (dalam perkara tersebut) dan jangan malas.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2664)

Kesimpulan

Bukan senang nak senang, namun bukan susah untuk menjadi muslim yang senang. Usaha, doa dan tawakkal itu perlu selari. Jangan tahu mengeluh dengan rezeki yang sempit, sebaliknya periksa amal dan perbuatan anda. Di mana silapnya yang boleh menjadi hijab kepada sumber rezeki anda.

Rezeki yang sedikit namun berkat itu lebih bahagia dan menjadikan hati pemiliknya tenang berbanding dengan rezeki yang banyak, namun tidak berkat. Justeru, pastikan rezeki anda berkat dengan mengubah gaya hidup anda terlebih dahulu.

Wallahu a’alam.




No comments:

Powered by Blogger.