Bahayanya Perasaan Hasad Dengki Yang Merebak Di Hati
Hasad dengki adalah penyakit yang boleh merosakkan jiwa manusia. Ia mampu menjejaskan hubungan di antara adik-beradik, rakan sekerja, rakan kongsi perniagaan dan jiran tetangga.
Mengapa Bani Israil atau Yahudi tidak mahu mempercayai risalah kenabian Nabi Muhammad SAW?
Jawabnya adalah kerana hasad dan dengki. Mengapa ia mesti berpindah kepada seorang yang berbangsa Arab sedangkan majoriti nabi dan rasul terdahulu adalah daripada keturunan Bani Israil?
Ibrah yang boleh diambil tentang perasaan hasad dengki ini ialah daripada kisah Habil dan Qabil.
“Dan ceritakanlah (Muhammad) yang sebenarnya kepada mereka tentang kisah kedua-dua putera Adam.” (Surah Al-Maidah 5:27)
Allah SWT menjelaskan tentang besarnya pengaruh kedengkian dan iri hati atas diri manusia di dalam kisah kedua-dua putera Nabi Adam as sehingga sanggup menzalimi saudara sendiri.
Diceritakan setiap kali nenek Siti Hawa melahirkan anak, beliau akan melahirkan anak kembar, seorang lelaki dan seorang perempuan. Bila dewasa anak-anak yang lelaki akan dikahwinkan dengan bukan pasangan kembarnya.
Saudara kembar Qabil bernama Iqlima telah dijodohkan dengan Habil. Qabil mempertikaikan keputusan itu kerana saudara kembar Habil tidak secantik kembarnya. Akhirnya, Nabi Adam as mendapat jalan keluar dengan mengusulkan agar Qabil dan Habil mempersembahkan korban kepada Allah Taala. Siapa yang kurbannya diterima, ia berhak menikahi Iqlima.
Menerusi firman Allah seterusnya dalam Surah Al-Maidah ayat 27 bermaksud, “…iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan korban, maka (korban) salah seorang daripada mereka berdua (Habil) diterima dan daripada yang lain (Qabil) tidak diterima. Dia (Qabil) berkata, “Sesungguhnya aku pasti membunuhmu!”. Dia (Habil) berkata “Sesungguhnya Allah hanya menerima (amalan) daripada orang yang bertakwa.”
Maka, kedua-dua orang adik beradik ini mempersembahkan korban mereka. Qabil seorang petani telah mempersembahkan gandum dan Habil pula sebagai pengembala telah mempersembahkan kambing.
Allah SWT telah menerima korban Habil yang ikhlas. Kambing yang dipilih adalah gemuk sihat tetapi Qabil telah mempersembahkan gandum yang tidak elok. Oleh kerana korbannya ditolak dan dia tidak dapat mengahwini Iqlima, Qabil menjadi marah dan dengki pada Habil.
“…Dia (Qabil) berkata, “Sesungguhnya aku pasti membunuhmu!”.
Habil yang sentiasa redha dan meletakkan pergantungan hanya kepada Allah SWT cuba menenangkan Qabil.
“…Dia (Habil) berkata “Sesungguhnya Allah hanya menerima (amalan) daripada orang yang bertakwa”.
Habil melanjutkan nasihatnya sebagaimana difirmankan oleh Allah SWT dalam ayat 28 Surah Al-Maidah.
“Sesungguhnya, jika engkau (Qabil) menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Aku takut kepada Allah, Tuhan seluruh alam.”
Berkata Habil lagi seperti difirmankan oleh Allah SWT dalam ayat 29 pula yang bermaksud,
“Sesungguhnya aku ingin agar engkau kembali dengan (membawa) dosa (membunuhku) dan dosamu sendiri, maka engkau akan menjadi penghuni neraka; dan itulah balasan bagi orang-orang yang zalim.”
Namun kerana gelora nafsu jahat yang tidak dapat ia kendalikan, Qabil telah tergamak berlaku zalim membunuh saudaranya sendiri. Rayuan daripada saudara kandungnya tidak dihiraukan kerana mendengarkan bisikan syaitan. Maka jadilah ia orang yang rugi di dunia dan di akhirat dan meraih kemurkaan Allah SWT.
“Maka nafsu (Qabil) mendorongnya untuk membunuh saudaranya, kemudian diapun (benar-benar) membunuhnya maka jadilah dia termasuk orang-orang yang rugi.” (Al-Maidah 5:30)
Setelah Habil dibunuh, Qabil kebingungan bagaimana untuk menguburkan mayat Habil, kerana pembunuhan ini merupakan pembunuhan yang mula-mula dilakukan oleh manusia.
Melalui ayat 31 Surah Al-Maidah, Allah SWT telah mengutus seekor burung gagak untuk menunjukkan kepada Qabil bagaimana ia seharusnya menguburkan mayat saudaranya. Melihat perlakuan gagak yang menggali tanah dan kemudian menimbusnya barulah Qabil mendapat ilham dengan meniru perlakuan gagak mengorek tanah dan mengebumikan mayat adiknya.
Setelah itu barulah timbul penyesalan di hati Qabil kerana kehilangan saudara kandung. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya.
Nabi SAW telah diperintahkan untuk membacakan kisah ini “dengan kebenaran” (bil-haqq). Ini menunjukkan bahawa kisah darihal dua anak Adam as ini adalah benar. Ini bukan kisah dongeng atau mitos. Ia mengandungi banyak hikmah dan pengajaran yang patut diterapkan dalam kehidupan seharian kita.
Hasad dengki itu satu realiti. Allah SWT sendiri berfirman dalam Surah A-Falaq ayat 5, “Dan daripada kejahatan orang yang dengki apabila dia melaksanakannya”.
Dengki atau hasad adalah sifat tercela. Ia sinonim dengan cemburu, iri hati, busuk hati, berbulu, jahat hati, khisit, hasud dan bingit (Rujuk Kamus Dewan).
Merasa iri kepada orang lain atas nikmat atau kebahagiaan yang diberikan oleh Allah SWT dan ingin mendapatkan kebahagiaan tersebut atau ingin kenikmatan itu hilang dari orang lain.
Menurut Imam Ghazali dalam kitabnya Bimbingan Mukminin, perasaan dendam, hasad dan dengki ini timbul dari sifat marah. Ia boleh menyebabkan kerosakan dan kebinasaan kepada manusia yang tidak dapat mengawal sifat-sifat ini, yang semuanya berpunca dari segumpal daging (hati).
Daripada Nu’man bin Basyir berkata, aku mendengar Rasulullah saw bersabda: ”Ketahuilah bahawa pada setiap tubuh ada segumpal darah yang apabila baik maka akan baik sekujur tubuh tersebut, apabila rosak maka akan rosak pula sekujur tubuh tersebut; segumpal darah itu adalah hati.” (Sahih Al-Bukhari Hadis, no.52)
Apakah yang boleh menyembuhkan hati yang diserang oleh penyakit dengki ini? Tidak lain adalah dengan ilmu dan pengetahuan. Kita hendaklah bersifat tawadhu’ atau merendah diri. Sentiasa mengucapkan syukur dengan apa yang diperolehi dan sentiasa meminta perlindungan padaNya. Belajarlah untuk tidak mendengki seseorang atas nikmat yang dikecapinya kerana secara tidak langsung kita telah menentang qada Allah dan kemahuanNya, juga menyangkal nikmat Allah ke atas sekelian hamba-hambanya. (Rujuk Surah An-Nisa 4:32)
Hanya ada dua jenis dengki yang dibenarkan di dalam Islam dalam hadis berikut:
Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda: “Tidak dibolehkan iri kecuali pada dua hal; orang yang diajari al-Quran oleh Allah lalu dia membacanya siang dan malam. Tetangga yang mendengarnya berkata, “Andaikan saja aku dianugerahi seperti apa yang dianugerahkan kepada fulan, lalu aku beramal seperti dia.” Kemudian orang yang diberi harta oleh Allah SWT, lalu dia menghabiskannya dalam kebenaran. Seseorang lalu berkata; Andaikan saja aku dianugerahi seperti apa yang dianugerahkan kepada fulan, lalu aku beramal seperti dia.” (Sahih Al-Bukhari Hadis, no.5026)
Tanamlah sifat sentiasa takut kepada Allah SWT seperti Habil bagi menghindarkan diri dari pengaruh hasad dengki ini. Firman Allah dalam Surah Al-Baiyinah ayat 8, Allah meletakkan jaminan yang sangat berharga.
“…Allah redha terhadap mereka, dan merekapun redha kepadaNya, itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Tuhannya.”
Rujukan:
1. Tafsir Fi Zillail Quran Juzu’ Amma (Sayyid Qutb)
2. Bimbingan Mukmin Imam Ghazali
3. Tafsir Al-Azhar Prof Dr Hamka
4. Kerajaan Al-Quran (Almahira)
5. Ensiklopedia Hadits Shahih Al-Bukhari 1
6. Ensiklopedia Hadits Shahih Al-Bukhari 2
7. Ikim.fm
No comments: