Hukum Guru Tidak Menghalalkan Ilmu Terhadap Muridnya
Seringkali kita mendengar ungkapan daripada para guru seperti – “Belajar biar beradab atau saya tidak menghalalkan ilmu kalian.”
Bahkan, di musim graduasi ini, ramai juga di kalangan pelajar yang akan meminta maaf dan berterima kasih dengan para guru bagi mengucapkan syukur dan meminta keberkatan – “Semoga ilmu yang disampaikan oleh puan dihalalkan ya.”
Banyak lagi situasi yang kita dengar berkenaan ilmu dan halal. Malah, situasi seperti ini membuatkan penulis sedikit berhati-hati dengan ilmu dan adab dengan guru agar segala apa yang diperoleh ialah sesuatu yang halal dan berkat.
Bagi penulis, ia berkait dengan ketenangan jiwa kerana ia merupakan hubungan dengan manusia yang perlu dijaga terutamanya adab pelajar dengan orang yang telah menyampaikan ilmu.
Malah, di dalam al-Quran juga ada diceritakan bahawa mereka yang menyampaikan ilmu itu mempunyai kedudukan yang tinggi.
وَإِذَا قِيلَ انشُزُوا فَانشُزُوا يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّـهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Mafhum: “Dan apabila diminta kamu bangun, maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Mujadalah, 11:58)
Bolehkah Guru Tidak Menghalalkan Ilmu
Ilmu itu milik Allah dan ia Maha Luas. Tiada apa yang boleh menandinginya. Semakin anda belajar, semakin anda merasakan bahawa anda perlu terus belajar kerana sikitnya ilmu yang diketahui berbanding dengan ilmu Allah.
Dalam konteks ini, tugas guru itu ialah untuk menyampaikan ilmu. Ia merupakan sebuah profesion perguruan yang profesional.
Kebiasaannya istilah tidak menghalalkan ilmu itu digunakan untuk mengugut pelajar yang bermasalah atau untuk mengurangkan kesalahan dan kebiadaban pelajar.
Menurut perkongsian yang telah dikeluarkan oleh Mufti Wilayah, para guru tidak digalakkan untuk menggunakan ugutan tersebut kepada pelajar walaupun ia boleh meninggalkan kesan yang mendalam kepada murid.
Pelajar yang mempunyai masalah perlu diselesaikan secara profesional oleh kedua-dua belah pihak bagi mengelakkan timbulnya isu yang tidak diingini seperti kurang keyakinan diri terhadap pelajar.
Ilmu yang bermanfaat itu merupakan salah satu amalan yang akan sentiasa mengalir walaupun setelah seseorang itu meninggal dunia.
Oleh itu, sebagai guru yang menggalas tanggungjawab untuk membentuk generasi yang berilmu dan beradab, sifat tawaduk perlu sentiasa disemat di hati.
Ilmu itu bukan milik mutlak guru atau seseorang, tetapi ia adalah milik Allah dan bila-bila masa sahaja boleh ditarik olehNya seperti mana Allah mematikan para Ulama untuk menghilangkan ilmu.
Justeru, penulis berpendapat bahawa cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah pelajar yang bermasalah seperti tidak datang ke kelas atau lambat menghantar tugasan perlu dilakukan secara profesional, bukan dengan ugutan.
Sebagai pelajar pula, menjadi tugas kalian untuk menghormati guru, bukan sahaja di dalam kelas malah selepas anda telah bergraduasi.
Ilmu yang ada dalam diri anda akan sentiasa tersemat dan untuk digunakan buat kegunaan anda. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kedua belah pihak untuk sama-sama beradab dalam penyampaian dan penerimaan ilmu.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah
No comments: