Kisah Tentera Abrahah – Mengapa Kaabah Ingin Ditumbangkan
Sejak dari kecil kita telah diajar mengenai sirah sama ada dijadikan sebagai bed time stories oleh ibu bapa kita atau sebagai topik pembelajaran di sekolah oleh para ustaz mahupun ustazah.
Salah satu cerita yang masih berada di ingatan kita ialah peristiwa sebelum kelahiran Baginda SAW, iaitu tentera bergajah di bawah pimpinan Abrahah yang cuba untuk meruntuhkan Kaabah.
Ia diceritakan berlaku sebelum kelahiran Baginda SAW dan menurut perbincangan para ilmuwan, ia dikatakan merupakan irhas kerasulan Baginda SAW.
Irhas membawa maksud peristiwa ajaib yang berlaku sebelum kelahiran Nabi atau sebagai petanda sebelum para rasul dilantik secara rasmi.
Ia dikatakan merupakan sebuah peristiwa besar yang berlaku sebelum kelahiran Baginda SAW kerana tentera bergajah tersebut telah gagal dalam misinya untuk meruntuhkan Kaabah disebabkan oleh beberapa kejadian ajaib yang berlaku.
وَأَرْسَلَ عَلَيْهِمْ طَيْرًا أَبَابِيلَ
تَرْمِيهِم بِحِجَارَةٍ مِّن سِجِّيلٍ
فَجَعَلَهُمْ كَعَصْفٍ مَّأْكُولٍ
Mafhum: “Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung secara berpasukan – Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras – Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.” (Surah Al-Fil, 105: 3-5)
Tahun tersebut terkenal dengan Tahun Gajah disebabkan oleh peristiwa tersebut. Peristiwa ini pula dikatakan berlaku 50 hari selepas kejadian tersebut. Ada beberapa riwayat lain mengatakan bahawa ia berlaku 55 hari sebelum kelahiran Baginda SAW.
Imam Al-Qurtubi juga mengatakan bahawa hikmah tentera bergajah ini merupakan sebagai suatu bukti bahawa satu kejadian besar bakal terjadi di bumi Mekah dan ia juga irhas yang berlaku sebagai bukti kerasulan Nabi Muhammad SAW.
Mengapa Abrahah Menyerang Kaabah
Abrahah merupakan raja kepada Yaman. Nama sebenarnya ialah Raja Abrahah Al-Ashram. Abrahah telah mendirikan sebuah gereja di Shan’aa (Sana’a, sebuah bandar terbesar di Yaman) yang diberi nama Qullais.
Gereja itu telah didirikan dengan binaannya yang sangat indah dan tiada mana-mana binaan yang dapat menandinginya pada waktu itu.
Tujuan gereja tersebut dibina adalah untuk menjadikannya sebagai rumah ibadat pertama buat pemeluk agama Kristian dan menandingi kehebatan Kaabah pada waktu itu.
Menurut ahli sejarawan, Abrahah juga berasa isi hati dengan kemakmuran Mekah pada waktu itu kerana ia sentiasa dilawati oleh semua masyarakat Arab dan juga para pedagang.
Disebabkan itu, dia membina sebuah gereja yang sangat gah bagi memakmurkan tanah Yaman dengan menarik perhatian seluruh masyarakat Arab pada ketika itu.
Apabila gereja tersebut siap dibina, Abrahah telah menghantar surat kepada pembesar Mekah ketika itu untuk mengkhabarkan mengenai gereja tersebut.
Namun, usahanya sia-sia kerana gereja tersebut tidak mendapat sambutan. Kaum Quraisy bukan sahaja tidak memandang gereja tersebut, bahkan ada yang membuat kerosakan kepadanya seperti membuang air besar di sana.
Kejadian-kejadian ini membuatkan Raja Abrahah marah dan ingin membalas dendam. Disebabkan itu, dia telah membuat keputusan untuk menyerang Kaabah dengan tentera bergajah.
Walau bagaimanapun, belum sempat Kaabah diserang oleh gajah-gajah Abrahah, pertolongan Allah telah sampai untuk menghalang hasratnya itu.
Kisah ini dirakamkan melalui surah Al-Fil bagi membuktikan keesaan Allah SWT.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Academia.edu
Mufti Wilayah
No comments: