Ads Top

Kaka Azraff & Suami Selesa Pilih Nama Ringkas Untuk Bayi Sulung

Penyanyi Kaka Azraff dan suaminya, Adam Azriff kini hanya menanti masa untuk menimang cahaya mata sulung mereka yang dijangka lahir pada minggu hadapan.

Menurut penyanyi kelahiran Klang itu, dia dan suami sudah mempunyai nama untuk anak mereka yang sudah diketahui jantina lelaki menerusi pengumuman dalam majlis baby shower yang diadakan Kaka sebelum ini.

“Kami dah ada nama anak dan ia cukup ringkas hanya ada satu nama sahaja, tidak panjang dua atau tiga nama. Kami lebih selesa pilih nama ringkas sebab Adam pun hanya ada satu perkataan nama sahaja.

“Bab nama memang saya serahkan pada suami, dia yang teliti semua mana-mana nama yang membawa maksud baik untuk cahaya mata kami.

“Nama anak kami akan umumkan sebaik sahaja saya selamat melahirkan dan mengikut tarikh jangkaan, saya akan bersalin pada 9 Oktober ini. Doakan semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan ya,” kata Kaka kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran single terbaharunya, Diamonds yang berlangsung di Black Pearl Events, Glenmarie, Shah Alam semalam.

Bercerita mengenai perancangan pantang, Kaka berkata dia akan menggunakan khidmat pusat jagaan pantang yang beroperaso di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

“Saya akan berpantang di sana selama 28 hari, semua keperluan saya akan dijaga oleh mereka. Saya sebenarnya tak mahu menyusahkan ibu atau ibu mertua jadi saya rasa ini keputusan yang tepat untuk saya berpantang di bawah jagaan pusat tersebut.

“Saya harap dalam tempoh berpantang, saya akan dapat balik berat badan saya yang dulu. Sejak mengandung, berat badan saya dah naik sampai 15 kilogram, jadi ketika waktu berpantang, saya akan berpantang bersungguh-sungguh,” ujar Kaka lagi.

Kaka mendirikan rumah tangga dengan Adam, yang merupakan seorang usahawan pada 15 Disember tahun lalu.

Walaupun sarat hamil, Kaka atau nama sebenarnya, Noor Atiqa Azraff, 30, tetap mengagahkan diri melancarkan single terbaharunya itu bagi mengubati kerinduan peminat.

Mengulas mengenai perkara itu, Kaka berkata, “Memang saya rasa ini adalah waktu yang tepat untuk melancarkan single Diamonds sebab selepas ini saya akan berehat panjang untuk berpantang.”

“Kiranya lagu ini ibarat buah tangan terbaharu daripada saya buat peminat. Kali terakhir saya keluar single Sibuk pun pada bulan Mac tahun lalu.

“Saya cukup suka lagu Diamonds ini sebab ia mengisahkan tentang harta yang paling bermakna dalam diri seseorang. Ia tidak semestinya harta benda, macam saya, saya dah rasa cukup bahagia dengan anugerah anak selain suami dan keluarga yang sentiasa berada di sisi saya,” katanya lagi.

Diamonds merupakan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Alif Sleeq.

Diamonds sudah boleh didapati menerusi semua pelantar digital bermula 13 September lalu selain muzik video Diamonds yang diarahkan Izzat Zulkefli dan Zuliana Eusoff boleh ditonton menerusi saluran Youtube Warner Music Malaysia. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.