Ads Top

Bagaimana Untuk Menzahirkan Rasa Cinta Pada Nabi SAW

Mengenali Rasulullah bukan sekadar mengetahui peribadi dan susur galur kehidupannya, namun lebih daripada itu. Baginda meninggalkan ajaran dan perjuangan yang amat dalam Islam.

Mencintai Rasulullah merupakan kewajipan bagi setiap muslim dan mukmin bagi menunjukkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Baginda dalam usaha menyebarkan Islam sehingga ke hari ini.

Tiada guna jika kita sekadar menyambut Maulidur Rasul, berarak sehingga peluh membasahi muka namun kita terang-terangan menolak sunnah dan ajaran yang ditinggalkannya.

Ada juga di kalangan kita yang yang menggunakan alasan sunnah – contohnya poligami itu perlu disebabkan sunnah, wajar memakai serban dan sebagainya namun apabila dilihat terhadap ibadah wajib yang lain seperti solat dan sebagainya, diabaikan seolah-olah ia tidak menjadi suatu kesalahan yang besar.

Jadi, untuk entri kali ini, kita akan melihat bagaima cara yang betul untuk menzahirkan rasa sayang dan cinta bukan sahaja kepada Baginda SAW, malah juga terhadap Islam sendiri.

#1 – Beriman Kepada Allah Dan Mentauhidkannya

Tunjang yang paling utama ialah Allah. Kita mendengar perumpamaan yang menyebut – Solat itu tiang agama. Jika tiada tiang, masakan rumah boleh berdiri dengan sendiri.

Begitu juga dengan cinta kepada Baginda. Allah itu adalah yang Maha Agung. Maka, yang paling utama ialah mengetahui hakikat cintakan Allah perlu melebihi segalanya dan barulah boleh sandarkan cinta kepada Baginda SAW.

Cintakan Nabi SAW semata-mata adalah tidak mencukupi. Yang paling utama ialah kepadaNya terlebih dahulu.

#2 – Menghayati Sunnah Rasulullah SAW

Mengetahui dan menghayati sunnah itu adalah dua perkara yang berbeza. Kini, semua orang boleh tahu apa sunnah yang pernah dilakukan oleh Baginda.

Namun, tidak semua orang memahami dan menghayati sebab di sebalik sunnah tersebut dilakukan. Ada yang mengikut secara membabi buta, namun tiada kesan mendalam yang dapat dirasai oleh si pelaku.

Oleh yang demikian, sebelum sunnah tersebut diamalkan, hayatinya terlebih dahulu agar kesannya dapat dirasai oleh setiap jiwa-jiwa yang mengamalkannya.

#3 – Memperbanyakkan Selawat Dan Salam Ke Atas Junjungan Baginda

Selawat adalah perkara paling mudah yang boleh dilakukan oleh semua orang sama ada sedang bekerja, dalam perjalanan untuk ke kelas, sedang memasak dan sebagainya.

Namun, berapa ramai di antara kita hari ini yang mengabaikan ganjaran besar ini dalam kehidupan. Cuba ambil masa sejenak untuk berselawat kepada Baginda.

Ia bukan sekadar ganjaran pahala yang kita inginkan namun juga untuk melepaskan rindu kepadanya.

#4 – Membela Rasulullah, Keluarga Dan Para Sahabat Baginda

Hari ini kita melihat banyak isu yang timbul mengenai mereka yang tanpa segan silu menghina nabi dan kaum kerabatnya.

Malah, dasyatnya ialah ia datang daripada golongan umat Islam sendiri. Ada di kalangan kita juga yang mendengar perkara ini seolah-olah mengendahkannya seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Sedangkan, jika dilihat sirah, para sahabat sanggup berjuang membela nabi dan ajaran yang disampaikan kerana kuatnya ikatan cinta mereka.

Bela mengikut kemampuan – jika punya kuasa dan mampu mencegahnya, maka itu adalah lebih baik.

Kesimpulan

Banyak lagi cara yang betul untuk menzahirkan rasa cinta kepada Baginda SAW. Yang paling penting ialah sejauh mana hati kita benar-benar mencintai Baginda.

Bukan cinta sekadar mengikut normalisasi yang ada, namun cinta kerana Allah dan Islam.

Wallahu a’lam.




No comments:

Powered by Blogger.