Ads Top

Fenomena Kilat Menurut Perbahasan Ulama’

Tatkala mendengar petir atau guruh yang berdentum, orang tua-tua akan menasihatkan supaya tidak berada di luar rumah atau di bawah pokok kerana ia pasti membahayakan nyawa sendiri.

Malah, ada juga dalam kalangan orang lama-lama yang mengatakan bahawa kilat dan guruh itu bukti Allah sedang membunuh syaitan dan juga kaum kerabatnya.

Namun, adakah benar perkara yang diujarkan ini atau hanya sekadar mitos semata-mata?

Apa Itu Kilat

Pertubuhan Kaji Cuaca Sedunia (WMO) mengatakan kilat dan petir ialah satu atau lebih kejadian nyah-cas eletrik yang berlaku secara tiba-tiba dan menghasilkan lintasan cahaya (kilat) dan bunyi guruh (petir).

Ia biasanya berlaku ketika hujan, ribut, letusan gunung berapi atau juga ribut pasir. Ia juga dikatakan mampu mencapai kelajuan sehingga 216 000 km per jam.

Malaysia dikatakan antara negara yang mempunyai kadar aktiviti kilat yang tertinggi di dunia dengan purata 180 sehingga 300 pancaran kilat setahun.

Ia biasanya terjadi dalam keadaan atmosfera yang tidak stabil. Apabila ribut, ia berpotensi untuk menghasilkan hujan batu, hujan lebat, kilat sabung menyabung dan angin kencang.

هُوَ الَّذِي يُرِيكُمُ الْبَرْقَ خَوْفًا وَطَمَعًا وَيُنشِئُ السَّحَابَ الثِّقَالَ
وَيُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلَائِكَةُ مِنْ خِيفَتِهِ وَيُرْسِلُ الصَّوَاعِقَ فَيُصِيبُ بِهَا مَن يَشَاءُ وَهُمْ يُجَادِلُونَ فِي اللَّـهِ وَهُوَ شَدِيدُ الْمِحَالِ

Maksud: “Dia lah yang memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Ia yang menjadikan awan tebal yang berat (dengan air).

Dan Dia lah juga yang guruh dan malaikat bertasbih memujiNya, kerana takut kepadaNya. Dan Dia lah juga yang menghantarkan petir, lalu Ia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendakinya dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan kuat kuasaNya) padahal Ia amat keras azab seksanya.” (Surah Ar-Ra’d, 13: 12-13)

Dalam bahasa Arab, wujud tiga istilah untuk fenomena ini, iaitu ar-ro’du yang bermaksud petir, as-sowa’iq dan al-barq yang membawa maksud cahaya atau kilat.

مَلَكٌ مِنْ الْمَلَائِكَةِ مُوَكَّلٌ بِالسَّحَابِ مَعَهُ مخاريق مِنْ نَارٍ يَسُوقُ بِهَا السَّحَابَ حَيْثُ شَاءَ اللَّهُ

Maksud: “Ar-ro’du adalah malaikat yang diberi tugas mengurus awan dan bersamanya pemukul dari api yang memindahkan awan sesuai dengan kehendak Allah.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 3117)

Ar-ro’du disimpulkan oleh para ulama’ dan ahli tafsir sebagai malaikat yang ditugaskan untuk mengawal awan dan segala pergerakannya. Malah, ada yang berpendapat bahawa ia adalah suara malaikat yang menghasilkan bunyi dan juga cahaya.

Imam Nawawi berkata, disunatkan terhadap mereka yang mendengar guruh untuk mengucapkan tasbih sebagai doa seperti yang diriwayatkan oleh Imam Malik.

سُبْحَانَ الَّذِي سَبَّحَتْ لَهُ

Maksud: “Maha suci Allah yang semuanya bertasbih kepadaNya.”

Guruh dan kilat itu merupakan ciptaan Allah, bukan untuk menakut-nakutkan manusia atau alam namun sebagai peringatan kepada seluruh alam bahawa Allah itu berkuasa untuk melakukan apa sahaja.

Manakala, tiada perbahasan yang kukuh untuk membuktikan bahawa kilat yang memancar itu adalah untuk membunuh syaitan dan kaum kerabatnya, namun sebahagian ulama’ yang lain percaya bahawa mereka boleh dibunuh dengan cara yang tertentu termasuk guruh atau petir.

Wallahu a’lam.




No comments:

Powered by Blogger.