Ads Top

Emosinya Seorang Wanita

Dialah yang bergelar seorang wanita.

Walau apapun profesionnya ketika ini dialah seorang isteri, ibu dan guru. Apatah lagi jika dia memang seorang guru. Menjadi seorang wanita adalah insan yang paling rumit dan cerewet.

Apatah lagi jika mereka menjadi seorang isteri, ibu dan guru. Pastilah dalam fikirannya sentiasa aktif sel-sel otak yang saling bertarikan antara satu sama lain dek tugasan yang kian menggunung dan tanggungjawab yang semakin banyak hari demi hari.

Namun begitu, Allah S.W.T meletakkan perhiasan paling indah dalam diri wanita iaitu dengan fitrah kelembutan, kasih sayang sebab itulah Allah jadikan emosi wanita lebih kompleks daripada lelaki.

Disebabkan emosi wanita yang begitu kompleks maka apa sahaja yang dilaluinya akan membuahkan hasil yang penuh dengan emosi yang pelbagai.

Saya juga seorang guru. Emosi untuk menghadapi anak-anak pada setiap hari sangat memerlukan kesabaran yang tinggi agar matlamat ingin mendidik dan membentuk keperibadian mereka tidak tersasar sehingga memanipulasi karakter pembinaan diri mereka yang masih kecil.

Analogi yang boleh saya berikan apabila ingin menguruskan bayi. Bayi yang sudah pandai berkata, berlari, melompat sana sini dan pandai pula mengajuk cakap kita. Masya-Allah! Pening kepala.

Ketika saya menulis artikel ini saya juga turut membayangkan karakter semua anak murid saya yang semakin hari semakin membuatkan saya perlu berfikir kaedah terbaik untuk mengawal emosi dan perilaku mereka agar dapat mencapai objektif utama.

Sokongan Moral

Dalam artikel ini, saya menumpukan kepada golongan wanita yang bekerjaya dan berumah tangga. Bagaimana mereka mampu mengawal emosi ketika dalam pekerjaan dan menguruskan emosi ketika di rumah dalam melayani anak-anak.

Salah satunya adalah sokongan moral daripada suami. Hal ini sangat membantu memberikan kerehatan pada emosi seorang wanita. Barulah dalam fikirannya berasa lega dan gembira menguruskan rumah tangga pula walaupun hampir seharian bekerja.

Saling memberi sokongan yang positif terhadap pasangan sama ada isteri bekerja ataupun suri rumah tangga. Mereka tetaplah memiliki tiga tugas utama isteri, ibu dan guru.

Bijak Mengurus Emosi

Pelbagai kaedah dalam pengajaran dan pembelajaran ketika menjadi guru di sekolah. Saya yakin pelbagai metodologi yang digunakan dalam profesion atau kerjaya apa pun.

Maka, dalam menguruskan rumah tangga juga pasti mempunyai pelbagai cara agar semua elemen penting dalam pengurusan keluarga dan anak-anak lebih teratur.

Apa sahaja konflik yang berlaku adalah bermula daripada kawalan emosi yang tidak seimbang. Maka, sentiasa mencari ruang dan cara bagaimana untuk menjadikan emosi kita stabil pada setiap masa. Memang sukar, tapi kita pasti boleh melakukan perubahan.

Keluarga Yang Saling Bekerjasama

Sikap tolong-menolong dan bertolak ansur sangat penting dalam resepi kebahagiaan rumah tangga. Sentiasa biasakan anak-anak dan suami saling membantu dalam sekecil apapun kerja rumah.

Hal ini akan menjadi kebiasaan dalam diri mereka untuk membantu melakukan kerja rumah tanpa dipinta. Sebenarnya, tidak salah untuk bekerjasama dalam melakukan sesuatu perkara meskipun ramai yang menganggap kerja rumah adalah tugas seorang wanita sepenuhnya.

Malah, seorang isteri atau ibu kagum apabila melihat insan kesayangan mereka turut bersama-sama melakukan kerja rumah walaupun dalam hal yang kecil. Bukankah perkara ini dapat menambahkan kasih sayang dalam sesebuah keluarga?

Fleksibel Dalam Semua Perkara

Sebagai seorang wanita, saya selalu memerhatikan rencam keluarga yang adakalanya tenang dan sesekali ditegur badai.

Saya amat mengagumi si ayah yang bersama membantu isterinya dalam pengurusan rumah tangga dan anak-anak meskipun isterinya seorang suri rumah tangga.

Saya juga amat menghormati golongan suami yang sentiasa menghargai isteri mereka dengan selalu mengucapkan ‘terima kasih’ dan ‘minta maaf’ dalam perjalanan bahtera mereka.

Saya juga kagum dengan seorang lelaki yang sering menjadi sebutan isterinya kerana kebaikan yang dilakukannya. Masya-Allah!

Oleh itu, saya berharap agar semua wanita menjadi fleksibel dalam semua perkara agar dapat memudahkan urusan harian yang terlalu banyak untuk diselesaikan.

Itu belum lagi masuk tugasan wajib dakwah dan tarbiyah. Saya berharap agar semua wanita di luar sana sentiasa bijak mengatur urusan kehidupan apatah lagi jika sudah menjadi seorang isteri atau ibu.

Moga Allah memberi kebaikan buat semua wanita yang bersungguh-sungguh dalam menjaga rumah tangga serta memberi kebaikan yang banyak buat sang suami yang bersungguh-sungguh menghargai pengorbanan isteri.

Sungguh, pengorbanan kedua-duanya mendapat tempat di sisi Allah kelak. Amin.




No comments:

Powered by Blogger.