Ads Top

Bakal Suami Memahami, Tak Marah Elly Mazlein ‘Disindir’ Used Car

Pelakon dan pengacara, Elly Mazlein mendedahkan bakal suaminya seorang yang sangat memahami dan tidak cepat melatah berikutan kontroversi dirinya dipanggil ‘used car’ (kereta terpakai) oleh rakan pengacara, Datuk AC Mizal menerusi majlis Anugerah Bintang Popular ke-32 (ABP32).

Menurut Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 39, dia mengambil pendekatan menerangkan perkara tersebut kepada teman lelakinya agar tidak timbul sebarang masalah kelak.

“Sebaik habis sahaja majlis anugerah itu, saya terus telefon dia dan dia okay sahaja. Saya kena jelaskan pada dia sebab dia bukan orang dalam industri seni, tapi dia cakap yang dia faham kerja saya malah memahami benda itu merupakan gurauan semata-mata.

“Lepas kejadian itu pun, Datuk Ac ada minta maaf secara peribadi pada saya dan saya faham benda itu adalah satu gurauan. Dia terlepas cakap dalam nak bergurau tapi salah penggunaan ayat. Saya faham perkara itu dan tidak mahu mengeruhkan keadaan saya minta peminat bertenang sebab perkara-perkara sebegini lebih-lebih lagi live show memang kita tak boleh nak jangka,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Elly ditemui pada majlis sidang media program Mentor Milenia yang diadakan di Hotel Hilton, Petaling Jaya, semalam. Elly sekali lagi diberi tanggungjawab mengacarakan rancangan itu dengan hos Shuk Sahar.

Ketika ditanya tidakkah dia berasa serik untuk bekerjasama dengan Ac lagi selepas ini, Elly berkata, “Saya tidak berasa serik untuk bergandingan lagi dengan Datuk Ac, kalau kita rasa serik kita akan jadi tidak profesional. Lagipun ini periuk nasi saya, kalau sikit-sikit nak sentap dan terasa, lebih baik saya duduk rumah sahaja.”

Ac sebelum ini dikecam netizen kerana memanggil Elly sebagai ‘used car’ dalam majlis anugerah yang bersiaran langsung pada 22 September lalu. Tindakan Ac itu disifatkan sebagai tidak sensitif dengan status Elly yang merupakan ibu tunggal kepada seorang cahaya mata, Putri Sara Sefhia yang kini berusia tiga tahun.

Elly sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah drama, Azmi Hatta pada 9 November 2014 namun disahkan bercerai pada 15 Oktober 2015. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.