Ads Top

Pilihan Ditangan Anda, Antara Telefon Pintar Dan Al-Quran

Hari ini kita semua pasti tidak terlepas daripada menggunakan telefon pintar. Setiap hari pasti kita akan memegang telefon pintar.

Ada yang menggunakannya dalam masa yang singkat dan ada juga yang menggunakannya hampir sepanjang hari. Ia seperti tidak pernah regang dan tidak pernah putus dalam kehidupan manusia. Itulah yang terjadi kepada kita pada era ini.

Setiap orang ada sebabnya menggunakan telefon pintar. Ada yang menggunakannya untuk menambah pendapatan dan ada yang mencari maklumat yang ingin diketahui.

Ada yang mahu membaca berita semasa, ada yang suka melayari media sosial dan pelbagai lagi sebabnya. Tegasnya, masing-masing pasti tidak lari daripada menggunakan telefon pintar.

Namun, bagaimana pula dengan masa kita dengan al-Quran? Adakah sempat membaca al-Quran ataupun tidak?

Adakah al-Quran dibiarkan tidak dibuka walaupun sudah ada aplikasi al-Quran di dalam telefon pintar? Masing-masing ada jawapannya sendiri.

Dan masing-masing tahu berapa banyak masa yang digunakan dan dihabiskan untuk membaca al-Quran berbanding ‘membaca’ telefon pintar.

Artikel ini bukan mahu untuk menuding jari dan menunjuk siapa salah siapa betul. Ia juga bukan untuk menunjukkan orang menggunakan telefon pintar sentiasa salah.

Tetapi artikel ini sekadar memberi peringatan serta muhasabah diri kepada kita semua termasuk juga dengan penulis. Ya, setiap manusia sentiasa memerlukan peringatan dari semasa ke semasa. Sesungguhnya sifat manusia mudah lupa dan alpa.

Telefon Pintar

Menurut statistik daripada Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) pada tahun 2016 mendapati bahawa dalam kalangan semua responden, pelajar menghabiskan masa paling lama dalam talian iaitu pada purata 21 jam seminggu.

Statistik ini turut disokong oleh Kajian Kesihatan Morbiditi Kesihatan Negara 2017, enam daripada tujuh remaja sekolah berumur 13 hingga 17 tahun adalah pengguna aktif internet.

Apa yang membimbangkan mengenai kajian ini ialah dua daripada tujuh remaja sekolah ini mengalami kecanduan dan ketagihan internet dan 94 peratus daripada mereka menggunakan telefon pintar bagi tujuan tersebut.

Ketagihan menggunakan internet melalui gadjet seperti telefon pintar rupanya menjadi penyebab pelbagai masalah dan kesan kesihatan kepada tubuh badan kita.

Salah satu kesan buruk kerana terlalu menggunakan gadjet seperti telefon pintar ialah menyebabkan masalah kekurangan tidur. Kekurangan tidur boleh mencetuskan sikap mudah marah, memori minda yang lemah dan kemahiran sosial yang terjejas.

Risiko untuk mendapat penyakit diabetes, tekanan darah tinggi, penambahan berat badan serta kemurungan juga dilaporkan meningkat kerana kekurangan tidur.

Selain itu, berlakunya pembaziran masa yang boleh menjejaskan aktiviti harian kita. Sehingga ada yang tidak sempat memasak untuk keluarga, tidak memberi kasih sayang secukupnya untuk anak-anak, dan tidak menyelesaikan kerja yang sudah tertunggak dalam beberapa hari dan minggu.

Kesan buruk tidak terhenti di situ sahaja, penggunaan telefon pintar yang kerterlaluan boleh menganggu hubungan suami isteri. Suami isteri sering bergaduh, pasangan saling membuat hal sendiri dan tidak mengambil peduli kerana mata terus menatap telefon pintar. Akhirnya, tanpa disangka penceraian menjadi penamatnya.

Bukan silap telefon pintar tetapi pengguna telefon pintar yang perlu bijak untuk menguruskan penggunaannya. Jika diguna di jalan kebaikan, Insha Allah segalanya akan dipandu dengan baik.

Oleh itu, berpada-padalah menggunakan gadjet seperti telefon pintar. Tidak salah untuk menggunakannya kerana ada yang memerlukannya untuk melakukan kerja yang penting dan mustahak. Jelasnya, janganlah kerterlaluan hingga mengundang keburukan yang tidak diingini.

Al-Quran

Bagaimana masa kita dengan al-Quran? Adakah kita membaca al-Quran setiap hari seperti ‘membaca’ telefon pintar kita? Jika telefon pintar lebih diutamakan, janganlah dibiarkan pula al-Quran tersisih di hati kita.

Cuba tetapkan dan luangkan sedikit masa untuk membaca al-Quran pada setiap hari. Tidak sempat?

Baik, di sini penulis kongsikan beberapa tempat, cara dan keadaan yang boleh kita luangkan masa untuk membaca al-Quran. Tidak sejuzuk, bacalah walaupun satu ayat.

#1- Ketika menunggu bas atau grabcar
#2- Ketika di dalam bas dan dalam kenderaan
#3- Selepas solat fardu
#4- Sebelum tidur
#5- Istiqamah setiap hari membaca satu muka surat

Al-Quran ia adalah wahyu dan petunjuk kepada kita. Janganlah dibiarkan pesanan dan peringatan Allah S.W.T kabur dan berlalu pergi kerana kesibukan kita dengan dunia.

Bacalah al-Quran walaupun sedikit, biar sedikit asalkan berkekalan. Daripada Sayidina Umar bin Al-Khattab R.A., Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah S.W.T mengangkat kedudukan suatu kaum itu dengan al-Quran dan menundukkan suatu kaum itu dengan al-Quran juga.”Hadis Riwayat Muslim

Pada hadis yang lain, Daripada Abu Umamah Al-Bahili R.A., beliau mendengar Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Bacalah al-Quran kerana ia akan datang kepada kamu pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada orang yang membacanya.”Hadis Riwayat Muslim

Sekarang telefon pintar kita pun sudah ada aplikasi al-Quran. Oleh itu, tidak ada lagi alasan untuk kita tidak melihat dan membaca al-Quran.

Telefon pintar kita boleh dibawa ke mana-mana, jadi aplikasi al-Quran juga boleh dibuka dan dibaca di mana-mana tempat yang kita suka dan kita tuju (kecuali di tempat kotor seperti di dalam tandas).

Dengan zaman yang semakin moden, kita sedar bahawa banyak cabaran yang perlu kita tempuhi terutamanya menggunakan masa dengan sebaiknya.

Jadi mari kita cuba disiplinkan diri untuk tidak dibawa arus keasyikkan dunia hingga terlupa kepada tanggungjawab kita sebagai hamba Allah S.W.T.

Rujukan:

1. Adab Berdamping dengan Al-Quran -Karangan Imam An-Nawawi (Penterjemah Hakim Rosly)
2. Kesan Kecanduan Internet
3. Kesan Buruk Gajet




No comments:

Powered by Blogger.