Ads Top

Pengalaman Naik Gunung Di Nepal Menginsafkan Saya – Azhan Rani

Pengalaman mendaki Everest Base Camp (EBC) di Nepal, baru-baru ini ternyata membuka perspektif baharu buat pelakon Azhan Rani dalam mensyukuri nikmat yang ada di Malaysia.

Menurut pelakon berusia 43 tahun itu, sepanjang berada di sana dia dapat melihat sendiri kesukaran dan kepayahan hidup yang dialami penduduk di sana yang terpaksa bercatu penggunaan air untuk kegunaan seharian mereka.

Azhan memulakan ekspedisinya bermula 31 Ogos lalu dan telah berjaya menawan puncak Kala Patthar dan EBC pada 9 dan 10 September sebelum pulang ke tanah air pada 17 September lalu.

“Banyak perkara menginsafkan saya sepanjang berada di Nepal. Kalau di sini kita mewah boleh guna air sesuka hati tapi di sana mereka terpaksa bercatu untuk guna air.

“Perkara-perkara sebegini yang membuatkan saya menginsafi diri dan menjadi lebih hargai apa yang kita ada dalam kehidupan ini.

“Bayangkan di sana, ketika berada di puncak pendakian kalau kita tak cukup oksigen, kita akan dikenakan caj sebanyak AS$178 (RM744) sejam untuk gunakan bantuan oksigen.

“Kita tengok kehidupan mereka macam susah tapi saya percaya mereka tidak pernah menjadikan kesusahan itu sebagai penghalang untuk mereka teruskan kehidupan seperti biasa. Jadi, syukurilah nikmat yang kita dapat rasai di Malaysia dengan sebaik mungkin,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Azhan ditemui pada majlis pratonton filem terbaharu lakonannya, Motif yang berlangsung di MM2 Cineplexes, E-Curve, Mutiara Damansara, semalam.

Filem Motif arahan Nadiah Hamzah itu turut dibintangi Datuk Rosyam Nor, Sharifah Amani, Taqim Zaki, Iedil Dzuhrie Alaudin dan Emma Tosh. Ia akan memulakan tayangan di pawagam seluruh negara bermula 26 September ini. – KopiPlanet.com

The post Pengalaman Naik Gunung Di Nepal Menginsafkan Saya – Azhan Rani appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.