Ads Top

Way To Nikah – Salah Satu Aplikasi Untuk Membantu Anda Mencari Jodoh

Jika anda masih lagi dibayangi siapakah pemilik tulang rusuk atau masih lagi berfikir di manakah keberadaan jodoh anda, kami yakin aplikasi ini merupakan salah satu aplikasi yang perlu ada di dalam telefon bimbit anda.

Way To Nikah – Salah satu aplikasi yang boleh membantu anda yang masih lagi bujang tetapi sudah memasang niat untuk membina baitul muslim dan mendirikan rumah tangga dalam masa yang terdekat.

Ia merupakan sebuah aplikasi yang telah dilancarkan pada tahun 2016 dan masih diguna pakai sehingga sekarang.

Buat anda yang tidak mahu terikat dengan mana-mana organisasi atau orang ketiga dalam urusan pencarian jodoh tetapi dalam masa yang sama masih lagi mengekalkan ciri-ciri islamisasi, maka ini adalah aplikasi yang sesuai.

Rata-rata pengguna yang mendaftar mendapati bahawa aplikasi ini adalah di antara yang terbaik dan mampu membantu anda mencari pasangan berdasarkan ciri-ciri yang diinginkan. Ia juga telah mendapat penarafan antara empat ke lima bintang di Play Store.

Apabila anda mendaftar, anda akan diminta untuk melengkapkan profil dan biodata diri terlebih dahulu sebelum perlu melengkapkan bahagian ciri pasangan yang diinginkan seperti taraf pendidikan, umur dan juga berat badan atau tahap ketinggian.

Anda kemudian akan diberikan pilihan untuk memilih berdasarkan carian yang dilakukan dan juga ciri yang diletakkan.

Anda boleh menekan butang ‘chat’ untuk berbual dan bertaaruf dengan pilihan yang dilakukan. Malah, anda boleh memilih untuk meletakkan gambar profil dalam keadaan umum atau tidak.

Aplikasi ini juga mengekalkan syarat-syarat yang ada, iaitu hanya mereka yang berumur 17 tahun dan ke atas sahaja yang boleh mendaftarnya dan ia telah dimuat turun lebih daripada 1000 pengguna di seluruh negara.

Yang paling penting, anda tidak perlu risau kerana hanya maklumat asas yang akan dipaparkan pada profil anda seperti nama, umur dan juga pekerjaan.

Untuk maklumat peribadi seperti nombor telefon atau alamat rumah, ia akan kekal sebagai rahsia jika anda memilih untuk berbuat demikian.

Ia boleh didapati dalam 19 bahasa, antaranya Bahasa Inggeris, Bahasa Perancis, Bahasa Jerman dan juga Bahasa Indonesia.

وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ وَالصَّالِحِينَ مِنْ عِبَادِكُمْ وَإِمَائِكُمْ ۚ إِن يَكُونُوا فُقَرَاءَ يُغْنِهِمُ اللَّـهُ مِن فَضْلِهِ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Mafhum: “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah KuniaNya), lagi Maha Mengetahui.” (Surah An-Nur, 24:32)

Tidak hairanlah jika pada masa kini sesiapa sahaja boleh mencari pasangan berdasarkan ciri-ciri yang diinginkan dengan mudah kerana wujudnya aplikasi yang menarik seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat.

Terdapat banyak lagi aplikasi menarik yang boleh membantu anda untuk mencari jodoh dan mendirikan rumah tangga. Anda boleh terus sahaja ke Play Store untuk mendapatkan kemas kini aplikasi-aplikasi ini.




No comments:

Powered by Blogger.