Ads Top

“Penat Otak” – Fahami Punca Untuk Hidup Lebih Sihat

Pernahkah anda berasa penat yang teramat sangat – balik sahaja dari kerja, anda hanya mahu merebahkan diri di atas katil dan tidur.

Keletihan yang melampau (exhaustion) boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang mengalami stres yang berpanjangan. Ia adalah keadaan di mana anda berasa penat secara emosi, fikiran dan juga fizikal. Anda juga tidak tahu apakah puncanya yang sebenar.

Simptom yang paling biasa dirasakan apabila melalui fasa ini ialah kurang motivasi untuk melakukan sesuatu, makan kerana stres, hilang selera dan sukar untuk tidur. Dalam artikel kali ini, Tzkrh akan menerangkan punca-punca yang ada.

#1- Hidup Dalam Persekitaran Yang Tidak Teratur Dan Berselerak

Hidup dalam persekitaran yang tidak teratur dan berselerak dapat menyebabkan hormon stres (kortisol) meningkat. Maka, semakin berselerak persekitaran di sekeliling anda, contohnya di rumah atau di tempat kerja, maka semakain stres anda akan jadi.

Keadaan tidak teratur juga boleh berlaku pada minda. Contohnya ada terlampau banyak perkara yang difikirkan, keputusan yang masih belum dibuat dan hal yang belum diselesaikan. Ia juga boleh membawa kepada perasaan kacau.

#2- Mengamalkan Sikap Berlengah-lengah

Ramai orang yang berfikir bahawa apabila mereka mengelak daripada konflik atau lari daripada masalah, maka minda mereka tidak akan terganggu. Mereka fikir mereka tidak akan stres kerana tidak perlu berhadapan dengan masalah tersebut.

Namun menurut Dr Boyes, seorang penulis di laman web Psychology Today berkata bahawa apabila kita berlengah-lengah, atau suka menunda, rasa cemas terhadap perkara yang kita elakkan sebenarnya semakin meningkat, sekaligus akan membuatkan fikiran berasa lebih cemas.

#3- Perfectionism

Apabila menyebut perfectionism, biasanya apa yang terbayang di fikiran adalah orang yang melakukan kerja dengan penuh teliti dan sangat teratur. Segala perkara diambil kira hingga ke sekecil benda, pendek kata tidak boleh ada kesalahan dan segalanya mesti sempurna.

Cara kerja sebegini sebenarnya ada kelebihan dan kekurangan. Jika dilihat dari sudut yang lebih positif, kerja yang dihasilkan pasti lebih berkualiti. Namun jika ia digunakan pada keadaan yang tidak sesuai, maka ia juga boleh mendatangkan keletihan minda.

#4- Tidak Mendapat Tidur Yang Berkualiti

Kurang tidur juga memberi kesan yang besar kepada kesihatan mental. Islam mengajar bahawa tidur yang paling baik adalah tidur selepas Isyak, dan bangun semula di penghujung malam untuk melakukan solat sunat Tahajud.

Menurut kajian, tidur yang kurang dan tidak berkualiti dapat membuatkan minda menjadi tidak jelas (foggy), sekaligus dapat mempengaruhi mood, fokus, produktiviti dan kecekapan pada hari tersebut.

#5- Kerja Berterusan Dalam Tempoh Masa Yang Panjang

Kerja yang berterusan dalam tempoh masa yang panjang juga dapat menjadikan minda anda penat. Ia boleh membawa kepada burn out, iaitu satu keadaan penat yang melampau secara fizikal dan emosi yang terjadi disebabkan stres berpanjangan. Ia boleh membawa kepada masalah kesihatan badan yang lain seperti selsema, sakit kepala dan kerap demam.

#6 – Mempunyai Hubungan Yang Tidak Sihat Dengan Orang

Kesejahteraan fikiran dan emosi seseorang juga boleh jadi dipengaruhi oleh orang-orang di sekeliling. Bayangkan jika 24 jam kita berada dengan orang yang positif, pasti sedikit sebanyak tempiasnya juga melekat pada kita.

Sudah tentu kita tidak dapat mengelakkan diri daripada berhadapan dengan orang yang negatif dalam hidup. Di sini penting untuk kita mengingatkan diri bahawa ada perkara yang tidak dapat kita kawal contohnya sikap orang pada kita. Maka adalah lebih baik untuk kita meletakkan limitasi dan sempadan setakat mana kita mampu berurusan dengan mereka.

Kesimpulan

Kadang-kadang kita tidak menyedari bahawa diri sedang melalui tempoh stres dan kepenatan yang berpanjangan. Teliti apa yang sedang dialami oleh badan anda. Adakah anda berasa penat yang biasa atau sudah mengalami kelesuan fkiran, emosi dan juga badan.




No comments:

Powered by Blogger.