Ads Top

Penat Dengan Leteran Ibu Anda? Cuba Amalkan Tips ini

Mengapa ibu anda berleter?

Mungkin persoalan di atas pernah mengacau benak minda anda setiap kali leteran ibu anda menjengah ke cuping telinga dan kadang-kadang sehingga membuatkan jiwa dan emosi anda kacau.

Mungkin anda juga pernah bertanya kepada diri – ‘Adakah ibu aku ini, hobinya berleter? Setiap kali memandang wajahku, pasti dia akan melontarkan leteran yang hampir sama.’

Menurut pakar-pakar kesihatan yang menyebut mengenai leteran mengatakan bahawa, ia mampu mengurangkan tekanan darah dan membantu membuang segala tekanan yang ada dalam diri seseorang.

Oleh itu, leteran itu sebenarnya sesuatu yang baik untuk ibu anda atau mungkin untuk anda sendiri. Walau bagaimanapun, bukan kebaikan mengenai leteran yang ingin diceritakan, namun apa peranan dan tugas yang perlu anda lakukan apabila ibu anda melemparkan leteran kepada anda.

Jika difikirkan, seseorang itu tidak akan bertindak tanpa sebab. Mengikut hukum alam ini juga, ia tidak akan terjadi tanpa alasan yang kukuh. Begitu juga dengan ibu anda. Mereka tidak akan berleter jika tiada alasan yang kukuh kerana leteran itu suatu yang memenatkan.

Ia bermain dengan emosi. Jika kita memasamkan muka, 46 otot muka yang akan memainkan peranan untuk membentuk air muka tersebut berbanding degan senyuman yang hanya memerlukan sebanyak 16 otot muka sahaja.

Begitulah dengan leteran. Ia akan memainkan emosi yang banyak berbanding dengan bercakap secara biasa atau dalam keadaan gembira.

Jadi, fikirkan semula, mengapa ibu anda berleter. Tidak mungkin mereka akan berleter tanpa sebab dan alasan yang kukuh atau setiap kali melihat muka anda, mereka akan rasa ingin berleter. Mustahil bukan?

Ibu Dan Anak Memainkan Peranan

Menurut Cikgu Yaser Mohd Akhir, salah seorang Motivator Telaga Biru dan Consultancy, beliau mengatakan bahawa, jika para ibu mula melemparkan leteran, maka si anak perlu memainkan peranan yang sangat penting bagi mengelakkan leteran tersebut menjadi semakin besar.

Hal ini kerana, kebiasaan yang paling mudah untuk kita fikirkan ialah, leteran berlaku kerana kesalahan seseorang yang ditonjolkan dengan semakin kerap setelah beberapa kali nasihat secara baik dilontarkan namun tidak diendahkan atau dipandang ringan.

Sebagai contoh, setiap hari ibu anda menasihati supaya jangan bermain permainan video sehingga lewat malam sehingga mengabaikan solat Subuh. Apabila terlalu kerap anda ‘Subuh gajah’ disebabkan tidur terlalu lewat, ia bermaksud anda mengabaikan nasihat ibu anda.

Sebenarnya, mereka tidak kisah jika anda ingin bermain permainan video sehingga pukul berapa hatta tidak tidur pun tidak mengapa, selagi mana anda tidak mengabaikan yang wajib, iaitu solat dan juga kesihatan sendiri. Namun, apabila melihatkan keadaan anda yang begitu taksub dengan permainan tersebut, itu yang akan menukarkan nasihat kepada leteran.

Oleh itu, jangan salahkan ‘hobi’ ibu anda yang suka berleter itu, tetapi salahkan diri anda sendiri dan mula berfikir untuk berubah. Berubah ke arah yang lebih baik.

Jika hobi anda ialah bermain permainan video, maka jadikan ia sebagai sesuatu yang mendisiplinkan diri anda dan mampu menambahkan pahala dengan mengikut aturan Allah dan juga senyuman di bibir ibu anda. Jangan sampai ia mengakibatkan kepada kemudaratan diri sendiri.

Bagaimana caranya? Terdapat beberapa tips yang dikongsikan oleh Cikgu Yaser, iaitu:

#1 – Sabar Dan Fikir

Perkara pertama yang perlu dilakukan apabila berada dalam situasi ini ialah, sabar. Jangan terus memberontak, bimbang anda akan dilabel sebagai ‘anak derhaka’. Bersabar dan faham dengan sikap seorang ibu yang penat menguruskan rumah ditambah pula dengan memikirkan perangai anda.

Kemudian fikir, mengapa ibu anda berleter. Adakah leteran itu datang dari kebencian terhadap anda atau perangai anda. Mustahil kerana mereka membencikan darah daging mereka sendiri.

Jadi, alasan yang paling kukuh ialah ia datang dari perangai atau tabiat anda yang kurang disenangi.

Oleh itu, bermula dari saat tersebut, cuba ubah sikap dan perbuatan anda secara perlahan-lahan. Jika anda seorang yang suka bermain permainan video sehingga mengabaikan kewajipan, mula untuk kurangkan bermain dan cuba untuk bangun awal pagi.

Jika anda seorang yang suka melepak dengan kawan-kawan sehingga ke lewat malam, cuba untuk kurangkan waktu melepak dan lebih banyak luangkan masa dengan ibu dan keluarga anda. Atau, anda mungkin boleh juga lepak sehingga tengah malam, namun hanya sekali seminggu berbanding dengan setiap hari. Itu adalah lebih baik.

#2 – Ibu Juga Perlu Bersabar

Sabar ini bukan sahaja untuk si anak atau si pendengar yang terpaksa mendengar leteran tersebut, namun untuk si ibu juga. Anda perlu faham, terutamanya remaja yang lebih banyak memberontak apabila dimarahi kerana mereka tidak suka apabila kesalahan mereka diperbesar-besarkan.

Oleh itu, cuba bersabar denga setiap perkara yang berlaku dan fikir solusi yang terbaik untuk membentuk disiplin anak anda apabila berlakunya masalah-masalah seperti ini.

Pada waktu ini, yang paling penting ialah cuba menjadi kawan dan sahabat terbaik buat mereka. Komunikasi ialah suatu perkara yang sangat penting untuk memahami jiwa-jiwa ini.

Jangan terus-menerus menghukum dan menambah kekacauan emosi mereka, namun berusahalah untuk melihat dari sudut amak anda.

Mengapa anak anda gemar bermain permainan video atau mengapa mereka lebih kerap melepak dengan kawan-kawan? Cuba tanya soalan tersebut kepada diri anda dan faham mereka.

Mungkin, disebabkan tekanan yang dialami di sekolah atau masalah dengan rakan sejawat menyebabkan mereka ingin melepaskan tekanan terhadap sesuatu. Jadi, mereka memilih untuk bermain sehingga puas atau melepak dan berseronok dengan kawan untuk melupakan masalah yang dihadapi.

Seperti ibu yang berleter disebabkan oleh asbab yang muncul kerana tabiat anak-anak, maka pasti anak-anak juga punya alasan yang tersendiri mengapa mereka boleh berkelakuan sedemikian.

Oleh itu, dalam setiap situasi, komunikasi memainkan peranan yang sangat penting. Cuba sabar dan faham seperti mana tugas si anak yang perlu sabar dan fikir. Ia adalah saling berkait.

Jangan terlalu kerap berleter, bimbang ia menimbulkan kesan yang negatif terhadap mental dan jiwa seseorang seperti masalah tekanan atau kemurungan yang melampau disebabkan perasaan tiada yang memahami dan sebagainya.

Sebaliknya, cuba untuk ajar mereka berdasarkan perbuatan anda. Anak-anak lebih mudah belajar berdasarkan penglihatan berbanding pendengaran.

Oleh itu, tunjukkan dahulu perkara yang elok sebelum anda berkata-kata.

Kesimpulan

Untuk membina jiwa dan mental yang sihat dalam diri seseorang, ibu bapa memainkan peranan yang sangat besar sebelum guru dan kawan-kawan.

Jika baik didikan dari rumah, maka anda tidak perlu risau untuk melepaskan mereka bertebaran di muka bumi. Pasti mereka akan menjadi sebaik-baik ummah untuk membantu mereka yang memerlukan.

Komunikasi yang baik adalah aspek yang perlu dititikberatkan sebelum leteran dilemparkan untuk menunjukkan bahawa anda ibu bapa yang memahami anak-anak. Ini bukanlah bermaksud, tidak boleh memarahi mereka langsung, namun perlu berpada-pada kerana didikan itu bermula dari rumah.

إِلَّا يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ وَيُنَصِّرَانِهِ وَيُشَرِّكَانِهِ

Maksud: “Tidaklah seorang bayi yang dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua orang tuanya yang bertanggungjawab untuk mencorakkannya Yahudi atau Nssrani.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 2658)

Wallahu a’lam.

Rujukan:
Berdasarkan perkongsian yang disampaikan oleh Cikgu Yaser Mohd Akhir melalui majalah Gen-Q, Isu no.7 yang bertajuk: Ibu Suka Berleter?




No comments:

Powered by Blogger.