Wacana Jawi – Penjelasan Kalimah Bahasa Jawi Dan Pelancaran Pameran Pustaka Jawi
Semalam telah berlangsung satu Wacana Jawi – Penjelasan Kalimah Bahasa Jawi dan Pelancaran Pameran Pustaka Jawi bertempat di pusat operasi Klasika Media, Bangi. Bagi mengetahui dengan lebih mendalam seputar isu berkaitan bahasa Jawi, tim Tzkrh.com berkesempatan untuk hadir ke sana.
Akademi Jawi Malaysia dan juga Syarikat Penerbitan Klasika Media sebenarnya merupakan entiti yang sama, namun nama Akademi Jawi Malaysia mula diguna pakai pada tahun 2016. Sejak tahun 2011 lagi, Akademi Jawi Malaysia telah melakukan usaha yang giat untuk mengumpulkan naskhah-naskhah Jawi yang nadir dan langka lalu disimpan dalam koleksi Perpustakaan Jawi.
Bagi menjayakan misi ini, Pustaka Jawi juga telah menjalankan kerjasama dengan Perpustakaan Negara Malaysia, Arkib Negara dan juga pihak-pihak persendirian. Antara naskhah Jawi yang kini terdapat dalam simpanan Pustaka Jawi seperti kitab-kitab lama karangan para ulama Tanah Melayu.
Contohnya Kitab Hidayat al-Salikin fi Suluk Maslak al-Muttaqin karangan Shaykh ‘Abd al-Samad al-Falimbani, Kitab Al-Durr al-Thamin karangan Al-Shaykh Dawud bin al-Shaykh ‘Abdullah al-Fatani dan juga keratan akhbar Utusan Melayu lama dalam bahasa Jawi.
Selain itu, beberapa projek penting juga sudah dilakukan oleh akademi ini contohnya projek Perumian dan Pengarkiban Digital 228 Edisi Majalah Qalam dengan kerjasama Center for Integrated Area Studies (CIAS), Kyoto University, Jepun dan juga Projek Perumian dan Pengarkiban 40 Manuskrip Jawi Perpustakaan Negara Malaysia.
Sejarah Jawi, Hanya Sekadar Tulisan Atau Bahasa
Berdasarkan kajian dan sejarah, bukan negeri-negeri di Tanah Melayu sahaja yang menuliskan bahasa Melayu dalam bentuk tulisan yang mempunyai pengaruh huruf-huruf Arab. Sesetengah tempat di Afrika, Parsi dan China yang menerima pengaruh Islam juga ada menuliskan bahasa mereka masing-masing dalam bentuk tulisan yang mempunyai unsur huruf-huruf Arab. Ia kemudian dipanggil Bahasa Arab-China (Uyghur), Bahasa Arab-Farsi dan Bahasa Arab-Arwi.
Sesetengah orang menganggap bahawa Jawi hanya tulisan dan bukan bahasa. Alasannya, jika ia adalah bahasa maka ia perlu dipertuturkan, sedangkan yang dipertuturkan sekarang masih bahasa Melayu walaupun tulisannya Jawi.
Encik Muhammad Syukri Rosli, Pengerusi dan Pengasas Akademi Jawi Malaysia dalam wacana semalam menerangkan bahawa Jawi adalah suatu disiplin ilmu yang perlu difahami secara menyeluruh dan bukan hanya diperdebatkan sekadar tulisan atau bahasa. Jawi dianggap sebagai bahasa kerana mempunyai sekurang-kurangnya 12 disiplin ilmu sendiri seperti ilmu sejarah, ilmu ketokohan, ilmu kamus, ilmu khat, morfologi dan sebagainya.
Tambah beliau lagi, isu tulisan khat yang kini hangat diperbualkan, kerana dimasukkan dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Pelajar Tahun 4 yang akan bermula pada tahun hadapan, adalah hanya sebahagian kecil daripada Bahasa Jawi iaitu ‘ilmu khat’.
Sesetengah orang yang memainkan sentimen perkauman dan agama dengan menganggap bahawa tulisan khat yang dimasukkan ke dalam sukatan mata pelajaran ini adalah satu proses Islamisasi, adalah tidak benar sama sekali.
Berdasarkan pendirian beliau, ia hanya sekadar satu daripada aspek kesenian, kerana Bahasa Jawi lebih besar daripada itu. Hanya aspek tulisan khat yang diajarkan dan bukan aspek-aspek yang lain.
Penganjuran Wacana Jawi semalam sedikit sebanyak telah memberikan pencerahan yang lebih mendalam berkenaan Bahasa Jawi. Beliau berharap usaha Akademi Jawi dapat diteruskan dengan lebih giat dalam memberi pendedahan kepada orang ramai berkenaan ilmu bahasa Jawi, mengumpulkan naskhah dan manuskrip Jawi dan juga penerbitan buku dalam usaha memelihara ilmu dan tradisi bahasa Jawi.
Pelancaran Pameran Pustaka Jawi
Pustaka Jawi telah melancarkan Pameran Pustaka Jawi dan membuka pintu kepada orang ramai untuk mengadakan lawatan ke sana. Ditetapkan bilangan minimum bagi pelawat adalah sebanyak 5 orang dan maksimum 20 orang, dan tempoh lawatan pula antara satu jam hingga satu jam setengah. Waktu lawatan bermula dari pukul 10.00 pagi hingga 6.00 petang (setiap hari Isnin hingga Khamis).
Bagi mereka yang ingin mengunjungi Pustaka Jawi bagi melihat sendiri koleksi yang ada, temu janji boleh dilakukan melalui saluran berikut:
– Emel: ibu.pejabat@akademijawi.my
– Facebook: Akademi Jawi Malaysia: Klasika Media
– Telefon: 03-8928 9899
– Whatsapp: +6017 274 5347
Sewaktu menyatakan hasrat untuk mengadakan lawatan, pelawat perlu juga menyatakan maklumat seperti di bawah:
– Tujuan lawatan
– Institusi diwakili
– Bilangan peserta
– Masa lawatan
No comments: