Ads Top

M.Nasir Letak Kriteria Penyanyi Kena Bagus Jika Nak Lagu Karyanya

Berpengalaman menghasilkan lebih daripada 2,000 buah lagu, penyanyi dan komposer terkenal Datuk M. Nasir, 62, berkata beliau mempunyai satu kriteria yang mudah untuk mana-mana penyanyi sekiranya mereka mahu menyanyikan lagu ciptaannya.

Menurut M. Nasir, seseorang penyanyi itu perlulah mempunyai bakat nyanyian yang baik selain turut mengakui ada beberapa penyanyi generasi baharu yang bagus teknik nyanyian pada pengamatannya.

“Kriteria dia mudah sahaja, kalau penyanyi itu rasa dia bagus (menyanyi), okaylah (saya boleh ciptakan lagu untuk dia).

“Saya tidak nafikan ada beberapa penyanyi generasi baharu yang bagus-bagus tapi tak perlulah saya nyatakan di sini,” katanya kepada KopiPlanet.com.

M. Nasir ditemui pada majlis sidang media Konsert M. Nasir Satu Hikayat – 40 Tahun Perjalanan yang berlangsung di Hotel Alila, Bangsar hari ini.

Konsert tersebut dianjurkan Shiraz Projects bersempena meraikan lebih empat dekad perjalanan seni M. Nasir yang bermula sejak tahun 1979.

Bercerita lanjut mengenai persiapan konsert, M. Nasir berkata setakat ini sebanyak 70 peratus persediaan sudah dilakukan bagi menjayakan konsert yang bakal berlangsung pada 23 November ini bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

“Saya cukup teruja untuk konsert ini dan sudah merancang suatu persembahan cukup istimewa buat peminat yang sentiasa menyokong perjalananan karier saya.

“Saya akan menyanyikan lebih 20 buah lagu untuk konsert kali ini termasuk juga lagu-lagu ciptaan saya untuk penyanyi lain, saya akan nyanyikan khas untuk anda yang datang pada malam konsert itu nanti.

“Saya mengharapkan satu sesi konsert yang intim bersama peminat dan mereka boleh sama-sama ikut saya menyanyi sepanjang dua setengah jam konsert itu berlangsung nanti,” katanya yang pastinya akan menyanyikan lagu-lagu hits seperti Tanya Sama Itu Hud-Hud, Mentera Semerah Padi dan Keroncong Untuk Ana.

Tiket berharga RM860 (meet & greet), RM460 (Diamond), RM360 (Plantinum), RM260 (Emas), RM200 (Perak) dan RM160 (Gangsa) boleh didapati menerusi www.myticket.asia bermula Rabu ini. – KopiPlanet com

No comments:

Powered by Blogger.