Ini Konsert Terakhir Sebelum Saya Berehat Panjang – Afgan
Penyanyi popular Indonesia, Afgan mengambil keputusan untuk berehat panjang selepas menjayakan konsert berskala besar di Kuala Lumpur pada 5 Oktober ini.
Menurut pemilik nama sebenar Afgansyah Reza itu, konsert Inspirasi Afgan Live In Kuala Lumpur 2019 akan menjadi konsert berskala besar terakhir yang akan dijayakannya.
“Konsert di Kuala Lumpur ini akan menjadi konsert terakhir sebelum saya berehat panjang selepas ini.
“Jika sebelum ini, tiap-tiap minggu saya ada sahaja gig dan konsert tapi saya nekad berehat sebentar untuk mencari peluang lain dalam meneruskan perjalanan karier seni saya,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Inspirasi Afgan Live In Kuala Lumpur 2019 yang diadakan di Common Ground, Menara Ken TTDI, Kuala Lumpur hari ini.
Menurut penyanyi berusia 30 tahun itu, ‘kehilangannya’ dalam industri adalah bagi merakamkan album baharu di Amerika Syarikat pada bulan September ini.
“Selepas ini saya akan berulang-alik dari Jakarta ke San Francisco untuk rakam album baharu yang kesemuanya lagu Inggeris. Saya tak boleh dedahkan banyak maklumat lagi mengenai album ini.
“Saya ambil keputusan untuk bekerjasama dengan komposer dari sana kerana ingin cuba menerokai pelbagai jenis peluang yang ada dalam bidang ini selain mahu keluar dari zon selesa saya,” ujar pelantun lagu Terima Kasih Cinta ini.
Berminat bekerjasama dengan Yuna, Afgan turut berkata dia pernah duduk berbincang bersama penyanyi kelahiran Malaysia itu dan berharap impiannya itu akan menjadi kenyataan satu hari nanti.
“Saya merupakan peminat Yuna dan saya kagum dengan hasil kerja dia. Sudah pasti saya teringin bekerjasama dengan dia malah kami pernah berbincang mengenainya sebelum ini, harapnya ia jadi kenyataan satu hari nanti.
“Selain Yuna, saya juga teringin bekerjasama dengan Bruno Mars dan Justin Timberlake sebab aliran muzik kami selari,” katanya lagi.
Bercerita mengenai konsertnya yang bakal diadakan pada 5 Oktober nanti, Afgan akan menyanyikan 15 buah lagu termasuk lagu-lagu hits seperti Terima Kasih Cinta, Jodoh Pasti Bertemu dan Sudah.
Yang menariknya, konsert ini juga menyaksikan Afgan buat pertama kalinya akam berkongsi pentas bersama idolanya, Datuk Sheila Majid.
“Kami sudah berbincang nak nyanyi lagu apa dan saya sangat menantikan untuk menyanyikan lagu-lagu Sheila Majid dalam konsert ini,” ujarnya lagi.
Tiket yang sudah 75 peratus terjual masih boleh didapati menerusi https://ift.tt/2z9Bk03. Tiket dijual pada harga RM299, RM399, RM599 dan RM1,200 (sesi meet & greet).
Konsert yang bakal diadakan HGH Convention Centre ini dianjurkan Popcorn Studio Sdn.Bhd. – KopiPlanet.com
The post Ini Konsert Terakhir Sebelum Saya Berehat Panjang – Afgan appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: