Ads Top

7 Tanda Anda Hidup Dalam Keadaan ‘Autopilot’

Adakah anda berasa bosan dengan hidup yang dilalui setiap hari?

Kadang-kadang anda tidak jelas dengan apa yang sedang dilakukan?

Jika ini yang dirasakan, anda mungkin sudah masuk ke dalam mod ‘autopilot’.

Apakah Itu ‘Autopilot’

Frasa autopilot pada asalnya banyak digunakan dalam aspek pemanduan. Contohnya kenderaan seperti kereta atau pesawat terbang yang menggunakan pemanduan-kendiri (auto-pilot) tanpa memerlukan orang.

Walau bagaimanapun frasa ‘autopilot’ kini digunakan juga dalam hal lain dan membawa maksud yang agak berbeza. Pernah dengar penceramah atau mana-mana pakar motivasi yang mengingatkan agar – Jangan hidup dalam mod ‘autopilot’?

Hidup dalam keadaan ‘autopilot’ bermaksud anda menjalani kehidupan tanpa membuat pilihan yang penuh sedar tentang apa yang diingini. Anda seperti sedang berjalan dalam tidur. Anda berjalan, tetapi anda tidak sedar anda sedang berjalan. Keesokan harinya, apabila bangun, anda langsung tidak ingat apa-apa. Begitulah juga dalam kehidupan, anda hidup tetapi tidak sedar atau tanpa kesedaran yang sebenar.

Contohnya anda tidak berfikir dengan siapa anda menghabiskan masa yang berharga, apa kerja yang dilakukan setiap hari, atau anda tidak sedar perkara bermakna yang terjadi.

Kata orang – “Just go with the flow”

Ada pengkaji yang mengemukakan pendapat bahawa minda manusia akan membuat lebih kurang 35,000 keputusan setiap hari. Otak manusia secara asasnya beroperasi secara automatik, bermakna dalam banyak keadaan, minda akan cenderung beroperasi dalam mod membuat keputusan-secara-automatik bagi menyimpan tenaga untuk badan.

Contohnya minda tidak akan berfikir panjang untuk hal seperti bangun daripada tidur, mandi, makan, dan sebarang perkara yang lain.

Ia sebenarnya suatu yang bagus untuk badan, namun jika proses berfikir begini mula mempengaruhi aspek kehidupan lain yang lebih memerlukan anda untuk berfikir, maka ia akan memberi kesan jangka masa panjang kepada kegembiraan anda sendiri. Sedar-sedar sahaja 3 tahun telah berlalu, 5 tahun telah berlalu, 10 tahun telah berlalu dan anda tidak gembira dengan apa yang dilalui.

#1– Anda Banyak Termenung

Ada bezanya antara berfikir untuk melakukan perancangan dan berfikir tanpa sebarang tujuan. Anda banyak termenung dan berfikir tanpa objektik. Fikiran anda seperti berada di awangan.

#2- Sukar Untuk Mengingat Sesuatu

Anda sukar untuk mengingat sesuatu kerana tidak sedar apa yang sedang dilakukan. Anda tidak sedar pukul berapa anda makan, dengan siapa anda bercakap atau apa yang dibualkan.

#3- Banyak Melakukan Sesuatu Tanpa Berfikir

Anda banyak melakukan sesuatu tanpa berhenti sejenak untuk berfikir apa yang sedang dilakukan, mengapa dan bagaimana anda melakukan hal tersebut. Segalanya menjadi terlalu ‘automatik’ sehingga tidak berfikir langsung tentangnya.

#4- Tidak Ada Progres

Tidak ada perubahan atau progres yang positif dalam hidup, terutama dalam mengejar cita-cita atau sesuatu yang dimahukan. Anda dapat merasakan bahawa diri anda hari ini sama sahaja dengan diri anda semalam, minggu lepas, bulan lepas bahkan beberapa tahun sebelumnya.

#5- Anda Tidak Rasa Bermotivasi Memulakan Hari

Anda tidak rasa bersemangat atau bermotivasi memulakan hari. Tidak ada rasa ‘excited’, tidak ada kemahuan untuk menjadikan hari anda lebih baik daripada semalam. Tidak ada apa-apa yang menarik dan istimewa yang anda harapkan berlaku setiap hari.

#6- Mengharapkan Suatu Yang Baik Berlaku Dalam Hidup

Anda sentiasa mengharapkan suatu yang baik berlaku dalam hidup. Anda ingin mencuba sesuatu yang baru, anda mahu hidup berubah, namun ia tinggal sebagai harapan sahaja kerana anda langsung tidak melakukan apa-apa tindakan.

#7- Anda Suka Mengalihkan Perhatian (Distract) Diri Sendiri

Orang yang hidup dalam keadaan ‘autopilot’ cenderung untuk mengalihkan perhatian dengan melakukan hal-hal yang dapat melekakan seperti banyak menghabiskan masa dengan media sosial, menatal telefon pintar(scroll) tanpa tujuan, bermain video-game dan sebagainya.

Demikian tujuh perkara yang dapat menjadi tanda bahawa seseorang sedang menjalani hidup dalam keadaan ‘autopilot’. Jangan risau, apabila anda telah menyedarinya dan berazam untuk berubah, tidak ada apa yang mustahil. Latih minda untuk berfikir dengan teratur supaya anda dapat mengawal kehidupan dengan lebih baik.

“A human mind is a wandering mind, and a wandering mind is an unhappy mind” (Pakar Psikologi Harvard, Matthew Killingsworth and Daniel Gilbert)




No comments:

Powered by Blogger.