Ads Top

Semangat Setiakawan Punca Dayana Roza Berkawan Dengan Mat Rempit

Jika kebanyakan daripada kita sering melabelkan mat rempit dengan pelbagai aktiviti negatif seperti dadah dan jenayah ragut, pelakon Dayana Roza pula berfikiran sebaliknya.

Menurut Dayana atau nama sebenarnya, Nur Dayana Kamsun Baharin, 28, tidak semua mat rempit terlibat dengan aktiviti negatif seperti yang digambarkan ramai, malah dia sebenarnya sangat mengagumi semangat setiakawan yang tunjukkan mereka.

“Saya ada kawan mat rempit dan dia siap kena buli lagi di sekolah. Apa yang boleh saya katakan tidak semuanya jahat. Pandangan saya mula terbuka sejak berlakon filem Minah Motor, ramai mat rempit yang saya kenal baik-baik orangnya.

“Selain itu, saya ‘respect’ mereka sebab hubungan persahabatan di antara mereka sangat kuat. Kalau seorang ada masalah mereka pasti akan sedia membantu, itu antara benda positif yang saya nampak pada mat rempit ini. Saya memang tidak kisah berkawan dengan mat rempit,” katanya kepada KopiPlanet.com

Dayana ditemui pada majlis pengenalan filem Marabahaya Underground yang diadakan di Malaysia Animation Park Studios (MAPS), Ipoh, Perak baru-baru ini.

Bercerita lebih lanjut tentang filem aksi sukan permotoran itu, Dayana berkata minatnya dalam sukan permotoran akan direalisasikan dengan sebaik mungkin menerusi watak Amira yang dijayakan olehnya.

“Watak saya dalam filem ini bukan seorang wanita tomboy, kalau filem aksi mesti orang ingat pelakon wanita kena bergaya ala tomboy tapi tidak dalam filem ini.

“Saya masih menampakkan ciri-ciri fizikal seorang wanita seperti berambut panjang, cuma minatnya sahaja yang lebih terarah kepada sukan drift,” jelasnya.

Selain Dayana, filem terbitan D’Edge Communications itu turut dibintangi Akim Ahmad, Hazama dan Fatin Afeefa.

Penggambaran akan bermula pada minggu pertama Ramadan dan lokasi penggambaran akan berlangsung di sekitar Perak dan Cameron Highland. – KopiPlanet.com

The post Semangat Setiakawan Punca Dayana Roza Berkawan Dengan Mat Rempit appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.