Ads Top

Peristiwa Badar ; Pahit Getir Di Bulan Ramadan Demi Meraih Kemenangan (Siri 2)

Ramadan adalah bulan yang penuh kemuliaan. Di dalamnya ada malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan ini jugalah turunnya al-Quran yang merupakan wahyu dan rujukan utama dalam Islam.

Berbalik semula dari sambungan artikel yang pertama, kali ini penulis akan berkongsi pengajaran dan iktibar yang boleh diambil daripada peristiwa perang badar. Selain itu, terselit juga kaitan bulan Ramadan dengan perang Badar.

Pengajaran Dari Peristiwa Badar

#1- Jangan Berhenti Memohon Bantuan Daripada Allah S.W.T

Rasulullah S.A.W tidak berhenti berdoa kepada Allah S.W.T dalam menghadapi musuh di perang Badar. Hal ini menunjukkan betapa hebatnya kesungguhan baginda dalam berdoa. Jangan jemu meminta bantuan dan pertolongan daripada Allah S.W.T.

Sesungguhnya segalanya di atas kehendakNya. Allah S.W.T yang mengizinkan dan menggagalkan sesuatu perkara. Dengan berdoa, kita telah memberi sepenuh pengharapan kepada Allah S.W.T. Dalam hati terasa kuat tatkala doa dipersembahkan dengan penuh keyakinan kepada Allah.

Begitu jugalah dengan bulan Ramadan ini, kita digalakkan memperbanyakkan berdoa. Jangan berhenti berdoa walau lelah dan masih belum dapat apa yang diminta.

Orang yang berpuasa beruntung kerana doanya antara doa yang dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Daripada Ibn Umar R.A., Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka, mempunyai doa mustajab yang pasti tidak ditolak.”Hadis Riwayat Ibn Majah dan al-Hakim dalam al-Mustadrak

#2- Sifat Kemanusiaan Tidak Mengenal Sesiapa

Dalam peperangan Badar, terdapat sekitar 70 orang tawanan dibawa pulang ke Madinah. Rasulullah S.A.W berpesan kepada sahabatnya:

“Layan baik-baik para tawanan.”

Antara tawanan itu Abu Aziz bin Umair. Beliau menceritakan:

“Aku dijaga oleh satu kumpulan Ansar. Setiap kali menyiapkan makan siang atau malam, mereka akan khaskan untukku roti. Mereka pula makan kurma sahaja. Hal ini dek kerana pesanan Rasulullah S.A.W supaya mereka memperlakukan sebaik-baiknya terhadap kami. Walhal pada mereka roti lebih berharga kerana mereka punya banyak kurma dan sedikit gandum dan roti.”Sirah Ibn Hisyam

Begitulah sikap Rasulullah S.A.W kepada para tawanan perang. Walau status mereka adalah musuh namun sifat kemanusiaan para sahabat tidak ditinggalkan. Memberi makanan yang lebih baik pula kepada para tawanan.

Bulan Ramadan antara bulan yang disuruh untuk memperbanyakkan melakukan kebaikan. Lakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja. Jangan memilih bulu atau rupa. Sesungguhnya itulah akhlak yang ditunjukkan Rasulullah S.A.W melalui sirah.

#3- Ramadan Bukan Bulan Bermalasan

Perang Badar berlakunya di bulan yang diwajipkan berpuasa. Rasulullah S.A.W serta para sahabatnya tidak mengalah dan teruskan rentak menghadapi musuh di medan perang. Setelah itu, mereka menang.

Hal ini membuktikan, Ramadan bukan bulan untuk melemahkan umat Islam tetapi ia memberi kekuatan kepada fizikal dan rohani. Lapar dan dahaga membuatkan hati lebih fokus dan terarah. Itulah hebatnya orang berpuasa.

Jika puasa itu disangka membantutkan pembangunan umat Islam, itu kenyataan yang salah. Peristiwa perang Badar telah membuktikan segalanya.

Hakikatnya sebulan Ramadan akan memberi impak hebat apabila kita melaksanakannya dengan penuh semangat.

#4- Setiap Perjuangan Pasti Ada Ujian

Pada mulanya orang Islam hanya ingin menyekat kafilah perniagaan yang membawa barang dagangan sahaja, bukannya ingin berperang. Tetapi apabila kaum musyrikin ingin berperang, maka Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya tidak mudah mengalah dan mempertahankan maruah Islam. Disebabkan itu tercetuslah peperangan Badar.

Itulah lumrah dalam perjuangan. Setiap perjuangan pasti akan menghadapi ujian dan cabaran. Walau perit harus dihadapi dan ditempuhi. Begitu jugalah dengan puasa kita pada hari ini.

Memang berpuasa itu kadang susah bagi kita tetapi kesusahan itu bermakna apabila kita lakukan dengan hati yang ikhlas keranaNya.

Kita perlu yakin dengan janjiNya. Setiap kesusahan pasti ada kesenangan. Tatkala dahaga dan lapar menguasai diri, hati kita lebih tenang menghadap Ilahi.

Ibadah dilakukan terasa lebih nikmat dan lazat ketika hawa nafsu ditundukkan dengan berpuasa.

Kesimpulan

Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.”Surah Al-Baqarah 2:185

Sesungguhnya tiada yang sia-sia dengan pengaturan dan takdir yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. Semuanya pasti ada hikmah dan kebaikan di sebaliknya. Begitu jugalah perang Badar yang ditakdirkan Allah berlaku pada bulan Ramadan al-Mubarak.

Semoga bulan Ramadan kali ini lebih baik dan bermakna dari sebelumnya. Contohilah seperti para sahabat yang menempuhi perang Badar. Tidak menjadikan puasa sebagai alasan untuk berehat dan kalah dalam peperangan. Bahkan ia penguat semangat dan telah membuahkan kemenangan. Waallahu a’lam.

Rujukan:
1. Majalah Solusi Isu 92- Sesegar Ramadan Ahli Badar
2. Mustajab Doa Orang Berpuasa
3. Al-Quran dan Terjemahan
4. Badar Kubra




No comments:

Powered by Blogger.