Ads Top

Fara Fauzana Rasa Seronok Dapat Kembali Ke Konti Radio

Bekas penyampai radio dan pelakon Fara Fauzana mengakui dirinya berasa seronok apabila mendapat peluang untuk kembali bertugas di konti radio.

Menurut Fara, dia sangat teruja dan bersyukur kerana rata-rata pendengar memberikan maklum balas positif ketika bertugas selama seminggu di radio Suria FM baru-baru ini bersama Issey dan Fizi Ali untuk slot Super8 Team Pagi Suria.

“Walaupun hanya bertugas selama seminggu sahaja, namun saya tetap berasa puas. Malah, pendengar juga dapat menerima, meskipun kembali sekejap sahaja.

“Cuma apa yang merisaukan saya apabila ramai yang akan ingat saya memang sudah betul-betul bertugas di Suria FM. Sehinggakan ada yang hairan dan tertanya-tanya kenapa hanya seminggu sahaja,” ujarnya.

Fara berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui semasa acara rakaman Melodi Raya yang berlangsung di Genting Highland baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai perasaannya semasa berpeluang kembali bertugas di konti radio, Fara menyatakan perkara yang paling utama dirasainya adalah perasaan rindu.

Namun begitu, dia menyatakan apa yang lebih mengembirakan apabila dia dapat berkongsi pengalaman dan idea kepada rakan penyampai radio.

“Alhamdulillah, selepas ke udara selama seminggu di radio, memang saya mendapat beberapa tawaran. Bagaimanapun, kini saya mahu lebih serius kepada program Di Bilik yang dijayakan bersama Faizal Ismail,” ujarnya.

Sebelum ini Fara atau Fafau pernah bertugas di radio Era pada tahun 2003 dan tiga tahun kemudian berpindah ke stesen radio Hot FM selama 10 tahun sebelum mengambil keputusan mengundurkan diri pada tahun 2016. – KopiPlanet.com

The post Fara Fauzana Rasa Seronok Dapat Kembali Ke Konti Radio appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.