Ads Top

Ezuwan Ismail Lancar Lagu Dan Koleksi Baju Raya Rindu Lebaran

TAHUN kesembilan menceburi dunia fesyen, Ezuwan Ismail yang kini turut bergelar penyanyi kumpulan trio E1 mencipta sejarah baru dalam diari hidupnya.

Tanggal 14 April lalu, bukan hanya setakat mempersembah koleksi raya untuk pentas fesyen Gaya Koleksi Raya 2019 anjuran Andrewsmodel Malaysia, tetapi turut melancarkan single kedua bersempena Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini.

Istimewanya koleksi dan single raya itu dinamakan sebagai Rindu Lebaran.

“Sesuatu yang manis untuk saya kenang bagi bidang fesyen serta nyanyian yang baru disertai. Saya anggap ia sejarah peribadi buat diri.

“Saya dapat ilham menamakan koleksi raya kali ini dengan nama Rindu Lebaran selepas merakamkan lagu dengan komposer S Atan,” katanya yang ditemui selepas pertunjukan fesyen itu berlangsung di The Boulevard, Publika.

Sekalipun berdepan kecaman dan kontroversi termasuk dipertikaikan mutu vokal ketika melancarkan single pertama, Semalam Sahaja pada 14 Februari lalu, ia tidak menghalang penyanyi utama anggota kumpulan trio E1 ini meneruskan minat nyanyiannya.

Malah langkah kumpulan trio berkenaan yang turut dianggotai Zulyasrani dan Ariff Imran bagai dirahmati saat berpeluang menggunakan khidmat komposer otai bernama penuh Hashim Said itu.

Lirik pula nukilan Siso Kopratasa. Proses rakaman dilakukan pada 5 Mac lalu di sebuah studio di Cheras.

“Sejak awal lagi saya memang mendambakan lagu raya ciptaan S Atan. Kalau dulu lagu raya ciptaannya untuk Allahyarham Sudirman, kumpulan Black Dog Bone dan Datuk Jamal Abdillah antara yang terus menjadi malar segar hingga sekarang. Saya dan anggota E1 yang lain memang bangga kerana dapat menyanyikan lagu raya sentuhan emas daripada beliau.

“Tak sangka impian kami itu kini jadi kenyataan. Kami ambil masa rakamkan lagu raya itu dalam tempoh kurang dua jam. Saya sendiri berdepan situasi ‘genting’ semasa hari rakaman apabila dimarahi abang S Atan kerana dia memang diketahui cukup tegas semasa bekerja. Saya tak ambil hati dan anggap semua itu sebagai proses untuk saya belajar dan memperbaiki kelemahan diri.

“Cuak juga sebenarnya. Tapi semasa pertemuan awal lagi dengannya, beliau memang cakap akan tegas demi kebaikan. Jadi memang saya sudah diberi amaran awal. Saya sendiri yang banyak menerima teguran daripadanya semasa proses rakaman kerana biasalah mutu vokal ini tidak sehebat Zulyasrani dan Ariff,” katanya. – KopiPlanet.com

The post Ezuwan Ismail Lancar Lagu Dan Koleksi Baju Raya Rindu Lebaran appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.