Ads Top

Bumi Itu Bulat Bukan Kisah Tentang Bentuk Muka Bumi

Tajuk: Bumi Itu Bulat
Tarikh Tayangan: 18 April 2019
Durasi: 1 jam 42 minit
Genre: Romantik Komedi
Pengarah: Ron Widodo
Pelakon: Rayn Wijaya, Febby Rastanty, Rania Putrisari, Kenny Austin, Qausar Harta
Klasifikasi: P13

Ketika melangkah ke dalam panggung untuk menonton filem Bumi Itu Bulat, ternyata berlegar-legar di fikiran penulis bahawa filem terbaru dari Indonesia itu berkisar tentang perbahasan mengenai saiz bentuk muka bumi.

Apatah lagi perkara tersebut menjadi viral dalam kalangan netizen sebelum ini sehingga menimbulkan perdebatan oleh dua orang individu.

Bagaimanapun, sangkaan penulis nyata meleset sama sekali kerana jalan cerita yang dipaparkan langsung tidak menyentuh tentang isu berkenaan.

Sebaliknya, filem arahan Ron Widodo itu lebih berkisar tentang hubungan persahabatan serta konflik keluarga, terutamanya membabitkan hubungan bapa dan anak.

Bumi Itu Bulat berkisarkan tentang sekumpulan anak muda iaitu Rahabi (Ryan Wijaya), Markus (Kenny Austin), Sayid (Qausar Harta), Yusuf (Aldy Rialdi) dan Tiara (Rania Putrisari) yang menubuhkan kumpulan Rujak Acapella dan bercita-cita untuk menjadi artis rakaman.

Kemudian mereka telah bertemu dengan seorang komposer yang menawarkan kontrak rakaman, tetapi dengan meletakkan syarat agar kumpulan itu harus bergabung dengan seorang penyanyi iaitu Aisha (Febby Rastanty).

Demi untuk merealisasikan impian melihat mereka berjaya, Rahabi berusaha mencari jalan agar Aishia menyertai mereka dan dari situlah konflik antara ahli kumpulan Rujak Acapella bermula.

Selain berhadapan dengan cabaran untuk mendapatkan Aisha, hubungan antara Rahibi dan ayahnya juga mengalami masalah sejak sekian lama.

Sepanjang menonton filem ini dalam tempoh 1 jam 42 minit, apa yang penulis boleh katakan tentang Bumi Itu Bulat adalah ia merupakan sebuah filem yang menarik, terutama dari segi jalan ceritanya.

Pertama sekali, mengenai nama Rujak Acapella itu sendiri yang agak menarik minat penulis. Nama tersebut digunakan memandangkan kumpulan tersebut dianggotai oleh ahli yang berbeza agama dan budaya.

Malah, elemen-elemen keagamaan yang dipaparkan juga dapat diolah dengan begitu baik, terutama sekali ‘perdebatan’ antara Aisha dengan ahli kumpulan Rujak Acapella.

Secara kesulurannya, penulis merasakan Bumi Itu Bulat merupakan sebuah filem yang menghiburkan dan memang wajar untuk ditonton, meskipun ia merupakan sebuah filem dari Indonesia.

Namun begitu, sesuatu yang penonton harus tahu bahawa filem ini juga merupakan percubaan sulung buat Astro Shaw yang juga bertindak selaku penerbit bersama melalui kerjasama dengan Inspiration Pictures.

Filem Bumi Itu Bulat sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada hari ini (18 April), manakala tayangan di Indonesia pula seminggu lebih awal. – KopiPlanet.com

The post Bumi Itu Bulat Bukan Kisah Tentang Bentuk Muka Bumi appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.