Ads Top

Azhan Rani Terima Ugutan Bunuh Gara-Gara Watak Ustaz Hamadi

Kebiasaannya bagi setiap filem atau drama, watak hero dan heroin sering mendapat perhatian daripada peminat namun ia berlainan sekali buat pelakon Azhan Rani, 43, yang telah menjadi bualan hangat peminat gara-gara watak antagonis, Ustaz Syed Hamadi yang dibawakannya menerusi drama rantaian Nur dan Nur 2.

Disebabkan keberkesanan watak yang dijayakannya itu, Azhan mendedahkan dia pernah menerima mesej berbaur ugutan bunuh daripada penonton menerusi laman sosialnya.

“Saya memang dah menjangkakan akan menerima kecaman menerusi watak Ustaz Hamadi dalam Nur 2 sebab musim pertama lagi, perkara itu sudah berlaku.

“Untuk kali ini watak Ustaz Hamadi diberi agak berlebihan oleh pengarah hingga membuatkan penonton benar-benar membenci watak tersebut sampaikan ada penonton yang mesej saya kata mahu membunuh saya.

“Tapi saya tak kisah pun sebab tahu dia bukan tujukan diri saya yang sebenar sebaliknya pada watak Ustaz Hamadi. Ia sekali gus memunjukkan watak yang saya bawakan berkesan kepada penonton,” kata Azhan kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Kempen Ramadan Raya Media Prima 2019 yang diadakan di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Walaupun drama Nur dan Nur 2 menjadi fenomena, Azhan bagaimanapun secara peribadi tidak mahu drama itu dipanjangkan kepada Nur 3 atau pun diterbitkan dalam versi filem.

“Kalau boleh saya tak mahu drama ini berlarutan sehingga ke Nur 3 atau pun dibikin dalam versi filem. Sebab bagi saya bila mereka kata nak buat Nur 2 ini pun saya kata tak nak pada mulanya. Tapi disebabkan pengarah dah pujuk selain saya sendiri rindukan suasana bekerja dalam keluarga Nur itu yang buat saya terbuka hati untuk berlakon Nur 2.

“Kalau boleh biarlah drama Nur 2 berakhir di sini sahaja. Kita ‘move on’ sahaja dengan cerita yang baharu,” katanya lagi.

Selain Azhan, Nur 2 turut dijayakan Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Norkhiriah, Azar Azmi dan Raja Atiq. Ia ditayangkan pada setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Azhan Rani

No comments:

Powered by Blogger.