Didakwa Cuba Tiru Nama Jenama Lain, Asfan Shah Perjelaskan Maksud Sebenar ‘Juz Coffee’
Penyanyi popular Asfan Shah menafikan Juz Coffee cuba meniru nama yang sebutannya seolah-olah hampir sama seperti jenama sebuah rangkaian kopi lain.
Asfan selaku Co-Founder Juz Coffee menjelaskan, perkataan ‘juz coffee’ adalah bermaksud ‘hanya coffee’ dengan ejaan yang lebih komersial.
“Aku nak bagitau sikit ni… kecoh ek kat media sosial. Ramai salah faham ni pasal sebutan ‘Jus’ ini. Juz tu bukan disebut ‘jus’ tapi ‘jaz’.
“Idea asal ‘Just Coffee’ yang maksud dia ‘hanya kopi’. Saja nak bagi urban dan komersial sikit, kami simplekan kepada ‘Juz Coffee’ sebab lebih dekat dengan bahasa harian,” ujarnya.

Dalam pada itu, Asfan yang ditemui ketika pelancaran rangkaian baharu Juz Coffee di Shah Alam, Selangor baru-baru ini memberitahu dia telah dilantik sebagai Co-Founder serta menghasilkan lagu jingle untuk kedai kopi tersebut.
Ujarnya, biarpun pernah mengalami kegagalan dalam menjalankan perniagaan sebelum ini, dia nyata tidak patah semangat untuk terus menceburi bidang perniagaan.
“Sebelum ini saya pernah menjalankan perniagaan F&B, termasuk memiliki sebuah restoran. Namun, ia terpaksa ditutup akibat PKP sewaktu Covid-19 dahulu.
“Kemudian pengasas Juz Coffee, Mohd Irfan Raziq Zakaria menawarkan saya untuk menyertainya dalam membangunkan rangkaian kedai kopi ini,” jelasnya.

Asfan berkata, antara yang membuatkan dia tertarik menjadi untuk menjadi Co-Founder Juz Coffee kerana tertarik dengan konsep ‘mesra rakyat’ yang diperkenalkan.
“Konsep sebegini adalah untuk dekat dengan komuniti dengan menawarkan harga mampu milik. Selepas Shah Alam, kami akan buka cawangan di Puncak Jalil pula dalam masa terdekat,” ujarnya.
Mengenai sasaran untuk tahun 2026, Asfan memberitahu pihak Juz Coffee merancang untuk membuka sehingga 50 rangkaian pada tahun ini. – KopiPlanet.com
The post Didakwa Cuba Tiru Nama Jenama Lain, Asfan Shah Perjelaskan Maksud Sebenar ‘Juz Coffee’ appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: