Ads Top

‘Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa’ Papar Kisah Cabaran Saudara Baharu Dalam Dunia Perniagaan Makanan

Pelakon terkenal Adam Corrie tampil mempertaruhkan jiwa dan pengalaman peribadi dalam sebuah drama vertikal terbaharu berjudul Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa, yang bakal ditayangkan secara eksklusif di TikTok dan Facebook rasmi Adam Corrie bermula 19 Februari 2026, jam 10.00 malam.

Drama 15 episod ini mengangkat kisah realistik dunia makanan dan minuman (F&B) di Malaysia, dengan penekanan terhadap isu penerimaan saudara baharu, persepsi masyarakat, serta cabaran mempertahankan kejujuran dan integriti dalam dunia perniagaan.

Kisah Penuh Makna Tentang Iman & Kehidupan

Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa mengisahkan perjalanan seorang lelaki mualaf bernama Ah Seng, lakonan Adam Corrie, yang memilih untuk membawa diri jauh daripada keluarganya bagi membina kehidupan baharu. Beliau membuka sebuah gerai Pan Mee sebagai punca rezeki, namun terpaksa berdepan pelbagai cabaran termasuk tentangan keluarga, persepsi masyarakat serta konflik nilai dalam dunia perniagaan makanan.

Watak Ah Seng turut berdepan tekanan daripada bapanya sendiri yang dilakonkan oleh Kenji Sawahii, yang memegang prinsip lama dan sukar menerima perubahan hidup anaknya. Konflik kekeluargaan ini menjadi antara teras emosi utama drama.

Drama ini turut diserikan dengan kehadiran Sheila Mambo sebagai Kak Wani, sahabat baik Ah Seng yang sering menjadi penyokong setia dan pembakar semangat dalam susah senang. Nam Ron pula membawakan watak Pak Long Rahman, seorang figura berpengaruh yang banyak memberi pengajaran dan cabaran kehidupan kepada watak utama.

Sementara itu, Jesse Lim tampil sebagai Jason, watak yang mencetuskan konflik dalam dunia perniagaan, manakala Izuan Razalimemegang peranan sebagai Chef Farid, individu yang mewarnai elemen persaingan dan profesionalisme dalam dunia kulinari.

Turut mencuri perhatian ialah kehadiran Wan Gegau sebagai juri pertandingan masakan dan juga pengacara (emcee) utama dalam drama, membawa elemen santai serta humor tersendiri. Menariknya, drama ini turut menampilkan Adam Fateh Lee, anak kepada Adam Corrie, dalam satu babak khas sebagai penampilan istimewa.

Halal Cookdown & Realiti Dunia F&B

Antara elemen utama yang diketengahkan ialah babak pertandingan masakan “Halal Cookdown”, yang menjadi simbol kepada persaingan sihat dalam dunia kulinari serta kepentingan pematuhan halal dan etika penyediaan makanan. Babak ini menjadi titik penting kepada perkembangan konflik dan mesej utama drama.

Produksi Berkualiti Tinggi & Kerjasama Strategik

Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa merupakan arahan pertama Adam Corrie, dengan kerjasama pengarah bersama Ollyn Khadir. Idea asal dan penerbitan drama ini merupakan cetusan Puan Fazi Fuad, yang membawa pengalaman sebenar dunia perniagaan dan masyarakat ke dalam naskhah ini.

Walaupun diterbitkan khusus untuk platform digital, drama ini menggunakan standard produksi setaraf drama televisyen, lengkap dengan penggunaan peralatan profesional, tenaga produksi berpengalaman, elemen CGI serta sentuhan jurutera bunyi bagi memastikan mutu visual dan audio berada pada tahap terbaik.

Drama ini turut mendapat kerjasama strategik daripada KopiHut, Aji-Ya dan Sentai, sekali gus mengukuhkan lagi nilai produksi serta kredibiliti kandungan.

Pelancaran Produk KopiHut

Majlis pelancaran drama ini turut diserikan dengan pelancaran produk terbaharu KopiHut – Kopi 3 Dalam 1, yang kini boleh didapati di seluruh cawangan KopiHut di Malaysia. Produk ini diperkenalkan sebagai minuman berkualiti yang menepati citarasa pengguna serta selari dengan nilai kejujuran dan kualiti yang menjadi teras jenama KopiHut.

Maklumat Tayangan

Tajuk: Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa
Format: Drama Vertikal (15 Episod)
Platform: TikTok & Facebook – Adam Corrie
Tarikh Tayangan: 19 Februari 2026
Masa: 10.00 malam

Credit photo by Helmi Teh Tarik

The post ‘Pan Mee – Pertarungan Iman & Rasa’ Papar Kisah Cabaran Saudara Baharu Dalam Dunia Perniagaan Makanan appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.