ACGAS Sasar Kuasai 10 Peratus Pasaran LPG Malaysia, Lantik Rosyam Nor & Erra Fazira Sebagai Duta
ACGAS melangkah ke fasa baharu dalam mengukuhkan jenamanya apabila memilih dua nama besar industri hiburan tanah air, Dato’ Rosyam Nor dan Erra Fazira sebagai Duta Jenama ACGAS 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif ACGAS, Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman, berkata pelantikan dua ikon ini selari dengan aspirasi syarikat untuk membawa perubahan dalam persepsi masyarakat terhadap penggunaan gas domestik.
“Produk gas bukan sekadar keperluan, tetapi melibatkan aspek keselamatan keluarga.
“Dengan kehadiran Rosyam Nor dan Erra Fazira sebagai duta, kami mahu membina hubungan yang lebih kukuh antara jenama dan pengguna, berasaskan kepercayaan, keyakinan serta kesedaran tentang teknologi silinder komposit yang lebih selamat dan moden,” katanya.
Tambah Nik, langkah ini juga dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh kedudukan ACGAS sebagai penyedia silinder LPG komposit yang selamat, ringan dan inovatif untuk pasaran Malaysia.
Silinder komposit yang diperkenalkan bukan sahaja lebih ringan dan tidak berkarat, malah direka untuk meningkatkan tahap keselamatan penggunaan di dapur serta memudahkan pengendalian oleh pengguna.
Dalam mendepani cabaran industri tenaga yang semakin kompetitif, ACGAS terus menyesuaikan strategi perniagaannya dengan memberi tumpuan kepada inovasi produk dan pendigitalan perkhidmatan.
Syarikat kini giat memperkenalkan penggunaan silinder komposit bagi sektor komersial selain memperluaskan fungsi aplikasi mudah alih ACGAS bagi memudahkan urusan pembelian dan pengurusan bekalan gas oleh pengguna.
Sejak diperkenalkan, ACGAS telah mencatat pelbagai pencapaian yang mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran Malaysia yang menjadi perintis dalam pengedaran silinder LPG komposit bersubsidi serta memperluaskan rangkaian pengedaran ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Integrasi teknologi Internet of Things (IoT) dan RFID pada setiap silinder membolehkan pemantauan inventori secara masa nyata, penjejakan pengedaran serta ketelusan dalam proses pengisian semula, sekali gus meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.
Melangkah ke hadapan, ACGAS menunjukkan pertumbuhan fizikal yang progresif menerusi kerjasama pelaburan bernilai hampir RM100juta untuk membangunkan fasiliti pembuatan silinder komposit tempatan.
Kemudahan ini bakal meletakkan Malaysia sebagai hab eksport bagi pasaran Asia, sekali gus mengukuhkan peranan ACGAS bukan sahaja sebagai pengedar, tetapi juga pengeluar strategik dalam industri LPG serantau.
Dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, ACGAS menyasarkan untuk menguasai sekurang-kurangnya 10 peratus pasaran LPG Malaysia dengan menggantikan secara berperingkat silinder besi tradisional kepada silinder komposit yang lebih selamat dan mesra pengguna.
Syarikat turut merancang memperkukuh ekosistem “Smart Energy” melalui pendigitalan menyeluruh, termasuk keupayaan menjejak silinder dan memudahkan pesanan gas secara pintar.
“Visi jangka panjang kami adalah untuk menjadikan silinder komposit sebagai standard keselamatan baharu di Malaysia.
Kami mahu memacu revolusi keselamatan dalam penggunaan LPG, sambil memastikan rakyat mendapat akses kepada produk yang lebih moden, selamat dan berkualiti tinggi,” ujarnya. – KopiPlanet.com
The post ACGAS Sasar Kuasai 10 Peratus Pasaran LPG Malaysia, Lantik Rosyam Nor & Erra Fazira Sebagai Duta appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: