Teater Projek ‘Tentang Rasa’ Gabungkan Empat Kisah Berbeza Dalam Satu Pementasan
Empat Karya Unik Dalam Satu Pementasan
Projek Tentang Rasa menggabungkan pelakon arus perdana bersama penggiat industri teater, sekali gus mewujudkan pertembungan dua dunia seni persembahan dalam satu pentas.
Keunikan projek ini turut terserlah melalui empat naskhah teater yang dipersembahkan dalam satu pementasan dan dengan setiap naskhah membawa elemen rasa yang berbeza namun saling melengkapi secara holistik.
Selain itu, pementasan ini turut mengetengahkan luahan hati sebenar Dafi Ismail Sabri yang diterjemahkan secara jujur dan intim melalui bentuk monolog.
Bagi Pengarah Persembahan, Syawal Azrai Mokhtar, beliau menggabungkan elemen teater moden, monolog dan monodrama dalam Projek Tentang Rasa bagi mencipta pengalaman emosi yang berlapis dan mendalam.
“Cabaran utama Projek Tentang Rasa adalah kekangan masa dan jadual pelakon untuk menggarap empat naskhah dalam satu pementasan.
“Tambahan pula, skala persembahan di DPAC menuntut satu standard produksi yang tinggi. Namun, kerjasama erat antara semua pihak menjadikan projek ini satu pengalaman yang bermakna,” katanya.
Tambah Alumni Fakulti Filem, Teater & Animasi (UiTM) ini lagi, empat naskhah ini dipilih kerana kekuatan penceritaan dan keupayaannya mewakili elemen rasa yang berbeza.
Setiap naskhah membawa sudut pandang emosi tersendiri yang disatukan dalam satu pementasan.
Penyusunan emosi yang turun naik mencerminkan realiti kehidupan manusia dan mengingatkan bahawa di penghujung setiap rasa, manusia tetap perlu kembali kepada Sang Pencipta.
SINOPSIS NASKHAH
1.POSESSIF
Karya: Faten Syamimie
Lakonan: Zaid Erakad, Adriana Adnan & Syazwan Razak
“Aku takut kehilanganmu, hingga aku lupa caranya mencintaimu.”
Di sebuah kota kecil, Eddy jatuh cinta bermula daripada sepasang baju kurung. Perasaan yang tercetus daripada keinginan untuk melindungi akhirnya bertukar menjadi obsesi untuk memiliki.
Kehadiran Haziq yang mencintai dengan tenang mencetuskan konflik dua jiwa dengan dua cara mencinta. Apabila rasa takut kehilangan menguasai diri, cinta berubah menjadi luka.
2.PALING COMEL
Karya: Seri Dewi
Lakonan: Maryam Tarmizi & Amir Mirza
“Cinta adalah elemen rasa yang indah. Adakala ianya juga racun yang berbisa. Teruslah menikmati rasa cinta dengan corak dan pola ukiran kita.”
Mengangkat kisah cinta monyet zaman persekolahan, Paling Comel mengisahkan Aidil dan Ainul yang mengenal cinta buat pertama kali dengan penuh kepolosan. Daripada perkenalan ringkas, mereka mencipta memori dan resipi cinta sendiri untuk terus bercinta hingga ke akhirnya.
⸻
3.MONOLOG AKU
Karya: Seri Dewi (Berdasarkan luahan hati Dafi Ismail Sabri)
Pelakon: Dafi
“Ada rasa yang perlu terus tersimpan, namun ada juga yang bisa dikongsikan sebagai teladan.”
Monolog AKU menyelami perasaan terdalam seorang individu yang memilih untuk meluah bukan demi simpati, tetapi demi kelangsungan jiwa. Sebuah naskhah tentang rasa yang terpendam, tentang “aku” yang jarang dilihat dan tentang keberanian untuk berhadapan dengan diri sendiri.
⸻4.GUGURNYA BUNGA RINDU
Karya: Seri Dewi
Lakonan: Syawal Azrai
“Apakah wujud memori terindah yang sentiasa kita ulang agar kita terus tersenyum menikmatinya.”
Diinspirasikan daripada kisah benar, naskhah ini mengisahkan kehilangan seorang ibu dan kerinduan yang tidak pernah padam. Bagi Adik, mama sentiasa hidup dalam dunianya sendiri, menjadi sumber kekuatan untuk terus hidup bersama rasa yang diciptakan daripada memori dan kasih yang tidak pernah gugur. – KopiPlanet.com
The post Teater Projek ‘Tentang Rasa’ Gabungkan Empat Kisah Berbeza Dalam Satu Pementasan appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: