From Saga With Love Dapat Pengiktirafan Menerusi Anugerah Utama Di JFC Awards Ke-11
Viu Malaysia dengan bangganya mengumumkan bahawa drama Viu Original From Saga With Love telah memainkan peranan penting dalam kejayaan Suruhanjaya Filem Saga meraih Anugerah Utama di Japan Film Commission (JFC) Awards ke-11, yang berlangsung di Kobe pada 26 Jun lalu.
Anugerah ini meraikan kejayaan Suruhanjaya Filem Saga yang berjaya memanfaatkan filem dan drama sebagai pemangkin pelancongan serantau, dengan From Saga With Love menjadi pencetus utamanya.
Siri yang menjalani penggambaran di 14 bandar di Wilayah Saga ini telah berjaya menarik minat penonton Malaysia, seterusnya menyumbang kepada peningkatan mendadak sebanyak 198% tahun ke tahun dalam kadar penginapan pelancong Malaysia ke Saga, menurut Agensi Pelancongan Jepun.
Sejak tayangan perdananya pada 2023, Viu Original ini telah menerima sambutan hangat di Malaysia. Kejayaannya turut dibuktikan dengan kemenangan anugerah Program Komedi Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik (Komedi) untuk Siti Khadijah Halim di Asian Academy Creative Awards 2024 (Pemenang Peringkat Kebangsaan Malaysia).
Musim kedua, yang ditayangkan pada 17 Oktober 2024, telah mengukuhkan lagi daya tarikan Saga sebagai destinasi pelancongan dengan menampilkan 30 lokasi ikonik di sana.
Lebih mengagumkan, siri ini telah mencapai lebih 90 juta tontonan dan lebih setengah juta interaksi di semua platform media sosial, berdasarkan data daripada Hootsuite dan TikTok.

Bagi memperluaskan lagi jangkauan budaya, versi dengan sarikata Jepun beserta peta lokasi digital Musim 1 telah mula diedarkan di Jepun sejak musim luruh tahun lalu.
Sementara itu, bahan promosi tempatan untuk Musim 2 dijadualkan akan dilancarkan pada musim luruh 2025.
Kingsley Warner, Pengurus Negara Viu Malaysia, berkata, “Pengiktirafan ini membuktikan betapa berpengaruhnya sebuah penceritaan. Kami gembira From Saga With Love telah menyerlahkan keunikan Wilayah Saga sambil mengukuhkan hubungan budaya Malaysia-Jepun.
“Di Viu, kami akan terus komited dalam mencipta kandungan yang relevan secara lokal tetapi berdaya saing di arena global.”
Tentang Siri Ini
From Saga With Love ialah siri drama romantik Viu Original yang mengisahkan perjalanan empat sekawan dari Malaysia Karma (Siti Khadijah Halim), Sham (Ikmal Amry), Bianca (Sophia Albarakbah) dan Bob (Fimie Don) dalam meneroka cinta, persahabatan dan pencarian diri di pekan-pekan indah Wilayah Saga, Jepun.
Musim kedua memperkenalkan watak baharu, Hadri (Hun Haqeem), yang menambahkan dinamik segar kepada cerita dan memperdalam emosi serta hubungan antara mereka. Dengan gabungan elemen komedi romantik, budaya tempatan, dan kedalaman emosi, siri ini terus meraikan ikatan bermakna yang melangkaui sempadan.
From Saga With Love Musim 1 dan Musim 2 kini boleh distrim secara eksklusif di Viu. – KopiPlanet.com
The post From Saga With Love Dapat Pengiktirafan Menerusi Anugerah Utama Di JFC Awards Ke-11 appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: