Kisah Benar Kehidupan Mas Idayu Diangkat Menerusi Lagu Air Titik Ke Batu
Masidayu Binti Mesnun, atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Mas Idayu, mula mencipta nama sejak era 90-an, terkenal sebagai ikon dangdut Malaysia dengan deretan lagu popular seperti “Cintaku 100%” dan “Senggol Senggolan”.
Beliau bukan sahaja dikenali kerana vokalnya yang lantang dan bertenaga, tetapi juga sebagai seorang juri profesional dan figura penting dalam memperjuangkan muzik dangdut.
Manakala Farez Adnan pula merupakan nama baharu dalam industri, namun telah mula mencuri perhatian dengan bakat vokal yang unik serta kebolehannya membawakan genre pelbagai termasuk pop dan etnik. Anak muda ini dilihat sebagai pelapis berbakat yang mampu mengangkat muzik dangdut.
Ratu dangdut negara, Mas Idayu, kembali menghangatkan industri muzik tanah air dengan kolaborasi istimewa bersama bakat baharu berbisa, Farez Adnan.
Mas Idayu yang sebelum ini merupakan juri di dalam rancangan D’Academy Asia dan manakala Farez Adnan merupakan peserta bagi rancangan tersebut. Dari situ, bermulanya persahabatan mereka bersama perancangan single terbaru yang berjudul Air Titik Ke Batu.
Farez yang juga pencipta lagu dan lirik berkata, Air Titik Ke Batu sebenarnya mengangkat kisah benar mengenai kehidupan Mas Idayu.

“Saya sentiasa berada di sisi beliau, sama ada ketika susah atau senang. Jadi, saya tahu banyak perkara yang terjadi dan lirik lagu ini berdasarkan apa yang saya lihat.
“Memang di luar orang melihat Mas Idayu ini seorang yang garang, namun dia sebenarnya seorang yang cukup penyayang dan saya sudah anggap beliau seperti ibu sendiri,” ujarnya.
Hasil karya yang dicipta oleh Farez Adnan sendiri dengan bimbingan dari Cikgu Kaber, single Air Titik Ke Batu bukan sekadar gabungan suara dua era, tetapi juga penyampaian emosi yang mendalam tentang kisah cinta yang mematahkan hati.
Air Titik Ke Batu mengisahkan harapan yang musnah, cinta yang dikhianati, dan juga janji-janji yang dimungkiri.
Single Air Titik Ke Batu kini boleh didengarkan di semua pelantar digital muzik termasuk Muzik Video di YouTube MVM Music.
The post Kisah Benar Kehidupan Mas Idayu Diangkat Menerusi Lagu Air Titik Ke Batu appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: